Loading...
Isteri Lahirkan Bayi Perempuan Terakhir Sebelum Meninggal
BATU PAHAT: Seorang isteri di Taman Soga, di sini, sempat melahirkan satu-satunya anak perempuan yang sekian lama ditunggu sebelum menghembuskan nafas terakhir, awal pagi tadi.
Roslina Ariffin, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas kira-kira jam 2 pagi tadi, selepas melahirkan anak kelimanya, Nur Aishy Amanda, 19 hari lalu.
Empat lagi anak pasangan berkenaan adalah lelaki berusia antara 5-16 tahun.
Suami Allahyarham, Azrow Othman, 43, berkata dia tidak menyangka isterinya meninggalkan mereka selepas melahirkan anak bongsu.
Katanya, isterinya yang melahirkan anak bongsu menerusi pembedahan tiada penyakit atau sebarang masalah ketika mengandung.
“Namun kira-kira jam 11.45 malam tadi, isteri tiba-tiba mengadu sesak nafas sebelum pengsan. Saya membawa isteri ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun doktor mengesahkan isteri meninggal dunia jam 2 pagi.
“Saya tidak sangka isteri akan pergi selepas 19 hari melahirkan anak bongsu yang juga satu-satunya anak perempuan yang sudah kami nantikan sejak empat tahun lalu.
“Saya sendiri buntu dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan tanpa isteri di sisi,” katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya.
Azrow turut dilihat tidak mampu menahan kesedihannya apabila beberapa kali menangis ketika menceritakan kisah isterinya kepada wartawan BH.
Sementara itu, anak sulung arwah, Muhammad Aniq Azriel, 16, berkata mengikut perancangan ayah, arwah ibu serta adik beradiknya yang lain hendak menghantarnya pulang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian hari ini.
“Namun tidak sangka ibu akan pergi meninggalkan kami adik-beradik termasuk Baby (Nur Aishy) dan tidak sempat menghantar saya ke MRSM seperti selalu, ” katanya.
Sumber: Berita Harian
0 Ulasan
jerit kat sini