Umpama Berada DiPelbagai Negara Ketika Berada DiFlat Remaja OKU Muhammad Firdaus

Umpama Berada DiPelbagai Negara Ketika Berada DiFlat Remaja OKU Muhammad Firdaus

Loading...
                                           
Pelbagai persoalan kini berlegar termasuk bagaimana jiran tidak peka dengan keadaan Muhammad Firdaus

NILAI – Kisah remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan amat menyedihkan; dalam keadaan kurus kering, dipercayai kerana kekurangan zat makanan, sudah menjadi buah mulut orang ramai.

Pelbagai persoalan kini berlegar termasuk bagaimana jiran tidak peka dengan keadaan Muhammad Firdaus.

Seandainya Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Omar tidak melancarkan operasi memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Rumah Pangsa Taman Semarak, Nilai, Sabtu lepas, mungkin sehingga hari ini, nasib malang Muhammad Firdaus tidak akan diketahui umum.

Justeru itu malam kelmarin, untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, FMT pergi ke rumah remaja terbabit dijumpai.

Sejurus selepas memasuki kawasan perumahan rumah pangsa itu, penulis merasakan seperti berada di negara asing.

Rasa seperti berada di negara Bangladesh pun ada; ibarat berada di Indonesia pun ada; rasa singgah sebentar di Vietnam pun ada.

Kawasan perumahan tersebut dibanjiri dengan warga asing dan difahamkan mereka mempunyai permit pekerja sah dan kebanyakannya pekerja kilang di kawasan perindustrian Nilai.

Ketika penulis melangkah masuk ke blok bangunan rumah pangsa remaja terbabit ditemui itu, keadaan kebersihan bangunan tidak begitu bersih. Tercium bau yang kurang enak.

Hanya separuh lorong sahaja di tingkat satu itu bercahaya, manakala sebahagian lorong terutama bahagian rumah remaja malang ditemui itu gelap.

Pintu geriji besi (Grill) rumah remaja yang ditemui itu berkunci. Apabila salah seorang penduduk setempat yang menemani penulis, menolak pintu kayu rumah tersebut yang tidak berkunci, bau busuk menusuk hidung kami.



Keadaan rumah tersebut sebenarnya memberikan gambaran, ibu remaja malang itu, Lolanopita, 40, mungkin menghadapi masalah kekangan kewangan.

Yang kelihatan hanyalah sebuah tilam buruk tanpa katil, sebuah kerusi kusyen lama, periuk memasak nasi dan sebuah televisyen lama.

Kenal begitu sahaja

Salah seorang jiran Mohamad Ridzuan Abdul Rahman, 43, yang menetap di rumah pangsa itu sejak 18 tahun lepas, mengakui mengenali ibu kepada Muhammad Firdaus.

“Dia (ibu Muhammad Firdaus) sudah lama menetap di sini. Tetapi kami cuma mengenali begitu-begitu sahaja, sebab dia pun tidak bergaul dengan kami.”

“Saya selalu nampak dia bawa keluar anaknya yang seorang lagi (7 tahun). Tetapi saya tidak pernah terserempak dia membawa keluar remaja OKU tersebut.”

“Pada tanggapan saya mestilah remaja itu dijaga baik oleh ibunya.”

“Selepas kisah remaja ini didedahkan dalam media, saya memang terkejut.”

“Jika kami tahu keadaan Muhammad Firdaus sebegini rupa (lebih awal), tentu kami sudah melakukan sesuatu,” kata Mohamad Ridzuan.

Seorang lagi jiran wanita yang tidak mahu namanya dikenali juga memberikan versi yang sama.

“Saya kadang-kadang nampak juga dia balik dari kerja. Tetapi biasanya dia bawa anak lelaki yang kecil itu.

“Saya kenal dia, macam itu sahaja.

“Saya memang tidak tahu keadaan sebenar remaja itu, sebab saya belum terserempak ibunya membawa remaja itu keluar,” katanya.

Jiran hadapan rumah tersebut pula warga Bangladesh dan ketika FMT melakukan tinjauan, mereka tidak berada di dalam rumah dan pintu rumah tertutup.

Sementara itu hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati tiada unsur penderaan.


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. kita sebagai pembaca tidak mengerti kisah sebenar...Sedangkan jiran yang duduk di blok berkenaan juga begitu....samar-samar akan kisah sebenar...kita hanya mampu berdoa....memohon kepada Allah agar segalanya dapat dirungkai sepenuhnya.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. benar...kejadian sebenar akan terungkai apabila ibunya bersuara

      Padam

jerit kat sini