Penemuan Ikan Berbisik Di Pulau Pinang

Penemuan Ikan Berbisik Di Pulau Pinang

Loading...
                                     
DI PEKAN kecil nelayan di Kuala Muda, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, terdapat satu aktiviti yang mungkin akan dilihat sebagai pelik dan mungkin tidak lagi diamalkan di kebanyakan tempat atau jeti nelayan di negara kita.

Penulis juga pada mulanya berasa pelik tetapi setelah menyaksikannya sendiri, memang benar, ia adalah satu amalan yang pelik tetapi masih tetap diteruskan "suka sama suka" di antara nelayan dan pembeli ikan.



“Bisik Ikan” - itulah aktiviti yang masih diguna pakai di antara nelayan dan para pembeli ikan di sini untuk membeli dan menjual ikan.

                                   
Tidak ada harga tetap yang menentukan harga ikan dan hasil laut yang dibawa naik ke darat untuk dijual di sini.

Hasil laut juga tidak diasing-asing melainkan ia datang dalam keadaan yang sangat banyak. Jika tidak ikan, ketam, udang dan apa sahaja dilonggokkan sekali dan selepas itu nelayan akan mula memanggil pembeli untuk 'membisik' di telinganya secara sulit berapakah harga bidaan yang ditawarkan.

Dari situ bermulalah aktiviti membisik sehingga pembida tertinggi berjaya membuat taruhannya dan penjual bersetuju dengan harga bidaan tersebut.

Jadi siapa buat bidaan tertinggi (secara sulit dan hanya diketahui oleh nelayan berkenaan) dialah yang dapat.

Penulis terpanggil untuk melihat sendiri aktiviti ini pada suatu pagi Ahad, yang sering menjadi bualan ramai terutama pada hujung minggu.

Deretan kereta sudah menuju masuk ke perkampungan nelayan menjelang jam 8.30 pagi seolah-olah ada majlis kenduri atau keramaian sedang berlangsung.

Jalan kecil menuju ke jeti pendaratan hasil nelayan Kuala Muda itu adalah jalan mati tetapi jumlah kereta yang menuju masuk tidak mencerminkan ia adalah jalan mati.

Sebaik sahaja penulis sampai di tempat yang dituju, dari jauh lagi, suasana riuh rendah serta kesibukan orang ramai mundar mandir di jeti pendaratan tersebut sudah kelihatan dan sibuk sekali.

                                       
Hasil tangkapan yang masih segar akan dijual terus secara bidaan berbisik.

Hasil daratan ikan dari pelbagai jenis dan spesies serta udang besar, sedang dan kecil, ketam dan sotong yang masih hidup diletakkan di atas karung guni di celah-celah orang ramai dan dari situ bermulalah aktiviti membisik.

Dalam loghat tempatan, nelayan yang menghamparkan hasil tangkapan mereka bermula dengan berkata; "Mai (mari) lekas, mai lekas, haaa, bisik mai kat saya..."

Dengan segera seorang pembeli yang kelihatan seperti peraih ikan merenung sedetik ke arah longgokan hasil tangkapan laut tersebut lalu bergerak menuju ke arah nelayan tersebut lalu merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya ke telinga nelayan itu dan membisikkan sesuatu.

Yang lain melihat dengan penuh suspen aktiviti pertama itu. Kini giliran mereka pula membuat bidaan.

                                      

Longgokan ikan yang menanti bidaan berbisik daripada pelanggan.

Penulis difahamkan yang pembida yang lain harus pandai mengagak berapakah nilai bidaan yang dibuat oleh pembida pertama dengan memerhatikan gerak mulutnya.

Jika dia seorang yang sudah biasa dengan aktiviti bidaan membisik ini, dia sudah boleh mengagakkan berapakah nilai bidaan untuk selonggok ikan dan lain-lain hasil tangkapan laut yang diletakkan oleh nelayan tersebut.

Bagi seorang pembeli yang pandai, dia akan terlebih dahulu duduk memerhatikan aktiviti bidaan ini dibuat oleh orang lain dan selepas itu dia boleh secara diam-diam pergi kepada pembida yang berjaya dan bertanya berapakah bidaan yang dibuatnya itu.

Dari situ, dia sudah boleh membuat kiraan, berapakah harga yang wajar dibidanya nanti ke atas longgokan yang hampir sama yang diletakkan oleh nelayan seterusnya.

                                     

Ikan segar yang dibida oleh pengunjung.

Aktiviti ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja termasuklah orang baru seperti penulis sendiri.

Jika seseorang pembeli itu tidak biasa dan terus melakukan bidaan, hanya ada dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku. Pertama dia akan meletakkan bidaan yang terlalu rendah dan kedua, dia akan meletakkan bidaan yang terlalu tinggi.

Mungkin percubaan yang pertama, kedua dan ketiga dia tidak akan berjaya tetapi dari situ kita akan belajar di manakah silapnya dengan bidaan kita dan boleh memperbaiki teknik bidaan dengan bertanyakan berapakah bidaan yang dibuat daripada orang yang berjaya.

Tetapi bagaimanakah caranya untuk kita ketahui yang bidaan kita itu terlalu rendah?

Mudah sahaja. Sebaik sahaja kita membisikkan harga bidaan kita di telinga nelayan yang mempertaruhkan hasil tangkapan dia itu, jika dia buat tidak endah dengan bidaan kita, maka dia menganggap yang bidaan kita itu sama ada terlalu rendah atau 'tidak masuk akal'.

                                    
Tetapi pada masa yang sama selepas kita membuat bidaan dan selepas orang lain juga membuat bidaan dan nelayan itu kembali kepada kita dan berkata, "sikit lagi...sikit lagi" itu bermakna dia tertarik dengan harga bidaan kita dan mahukan kita membuat taruhan baru dengan sedikit tambahan.

Dalam situasi ini, kembali berbisik ke telinga dia (jangan menjerit depan semua orang pula) dengan membuat tambahan sebanyak RM5 atau RM10 lagi, nescaya dia akan menerima bidaan anda.


                                
Tangkapan dibawa oleh nelayan untuk bidaan pelanggan.

Penulis sendiri tidak melepaskan peluang dengan turut mengambil bahagian dalam aktiviti berbisik ini, apabila melihat salah seorang nelayan membawa lebih kurang dua puluh ekor ikan senangin untuk dijual.

Lucu pun ada, rasa gemuruh pun ada. Antara yakin dan tidak, perlahan-lahan penulis membisikkan ke telinga nelayan itu dengan harga RM28 bagi dua puluh ekor ikan senangin itu sebaik sahaja dia melonggokkannya di hadapan penulis.

                                     
Inilah ikan senangin yang dibida penulis di jeti pendaratan Ikan Kota Kuala Muda baru-baru ini.

Nelayan yang menjual melihat wajah penulis dan berkata, “tambah sikit lagi...sikit lagi bagi cukup” dan penulis seakan-akan menerima mesej dia dengan jelas untuk menaikkan bidaan kepada RM30.

                                     
Tahap kesegaran ikan memang tidak boleh dinafikan lagi apabila ia jelas dibawa oleh nelayan yang baru pulang dari laut.

Antara percaya dengan tidak, nelayan itu terus mengangguk kepalanya tanda setuju.

Dan dengan RM30 bagi dua puluh ekor ikan senangin yang masih segar dan belum pun dimasukkan ke dalam ais, penulis merasakan bidaan penulis sudah cukup berbaloi.

Salah seorang nelayan yang mahir dengan jualan bisik membisik ini, Mohd Asri Ismail, 43, (gambar bawah) memberitahu penulis bahawa amalan membisik ini sudah berpuluh tahun dilakukan di sini dan menurutnya lagi nelayan tidak mahu mengubah cara hidup ini dengan sistem harga tetap kerana ini memberi kebebasan kepada mereka untuk menyerahkan harga bidaan kepada pembeli - tidak kira peraih, pemborong atau individu.

“Siapa saja boleh dapatkan ikan segar atau hasil tangkapan laut di sini tapi kena bisik harga la,” katanya dalam loghat utara.

Penulis juga sempat bertanya salah seorang pengunjung tetap bernama Jasilan (gambar bawah) dari Butterworth yang datang ke sini pada setiap hujung minggu untuk mendapatkan ikan segar.

“Saya selalu datang ke sini pada hujung minggu bersama keluarga untuk membeli ikan, sotong, ketam dan udang segar kerana harganya kita yang tawarkan,” kata Jasilan.

Sesungguhnya pengalaman berbisik dan membida ikan dengan cara pelik ini tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini buat pertama kali.

Silalah datang dan merasai sendiri pengalaman unik ini.



Catat Ulasan

0 Ulasan