Loading...
PENEMUAN ini bukan penemuan biasa. Saat pintu terkuak, dia mengesot dari kurungannya dalam keadaan terpinga-pinga. Bibirnya ingin menjerit, tapi dia tidak bersuara.
Dia memandang sekeliling. Kaku, bisu, tiada satu pun daripada wajah-wajah di ruang itu yang dia kenal. Suara-suara beristighfar kerana terkejut melihat wajahnya berlegar-legar memenuhi suasana. Penemuan apakah ini?
Meneroka setiap saat dan inci pusingan video yang dikongsikan rakan di Facebook, mengundang sarat remuk dan sentuhan pedih di naluri wanita ini.
Adik Muhamad Firdaus mungkin sekali pandang dalam keadaan kelaparan, kesakitan, tertekan, asing dan hairan. Pada minit-minit terakhir video terdengar jeritan lemah remaja itu sepertinya memanggil-manggil perkataan emak.
Aduhai ... air mata siapakah yang tidak menitis?
Betapa sebaknya melihat seseorang dikurung sebegitu rupa. Kurus kering, baju rabak mereput dan busuk. Dikurung pula di tempat kotor dengan najis dan sampah bergelimpangan.
Bagaimana ya jika kita ditempatkan dalam kurungan kedap udara sebegitu? Apakah kita boleh tidur bersama najis dan air kencing sendiri? Apa kita punya kekuatan untuk bertahan selama Muhammad Firdaus bertahan?
Tidakkah kesabaran dimiliki remaja itu suatu keistimewaan yang tiada bandingan? Dan apakah benar Muhammad Firdaus yang ditemui beberapa hari lepas adalah remaja sama seperti gambar dalam Facebook Imashima Lola yang dikatakan milik ibunya?
Maaf jika beremosi. Harapan WOW agar kita tidak mempertikaikan kekhilafan sesiapa. Kita tidak berada di mana-mana kedudukan, lantaran itu kita tidak tahu apa yang tersurat dan tersirat. Hanya tanam dalam diri agar kejadian sama tidak dilakukan dalam kehidupan kita.
Bangkit kemarahan
Kisah remaja malang berusia 15 tahun yang ditemui terkurung dalam sebuah bilik kediaman jenis flat beberapa hari lalu, begitu menggemparkan rakyat Malaysia.
Dari fizikalnya yang compang-camping menggambarkan bahawa anak ini dibiarkan sekian lama tanpa perhatian dan tindakan, sehingga dia kurus kering dan trauma.
Firdaus ditemui pihak berkuasa yang menyerbu masuk ke rumah tersebut dalam usaha membanteras pendatang asing.
Penemuan Firdaus membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati atas nasibnya. Banyak respons diberi lebih-lebih lagi apabila mengetahui anak tersebut punyai ibu.
Ada yang memaki, mengeji, memerli, mengutuk tindakan ibunya malah, tak kurang juga yang bersimpati dan mengharap orang lain untuk tidak menuduh sembarangan selagi siasatan pihak berkuasa tidak selesai.
Dari mana-mana sudut pun, baik ibu, ayah, jiran dan orang lain yang ada berhampirannya; apabila simpati mulai sirna dari sanubari manusia, maka itulah yang terjadi.
Ibu tidak lagi mengulit anaknya dengan sentuhan lembut. Suami tidak lagi mendidik isterinya dengan ilmu. Adik-beradik tidak lagi berkasih sayang sesama sendiri. Tetangga tidak lagi punya sikap ambil tahu.
Saya bersembang dengan seorang kenalan yang punya anak OKU. Katanya, perasaan seorang ibu yang punyai anak OKU begitu berbeza daripada mereka yang punya anak sempurna. Persepsi dan dilemanya sukar diungkapkan dengan kata-kata, lebih-lebih lagi jika dia ibu tunggal.
Mungkin juga ada unsur-unsur mental traumatize di pihak yang melaluinya.
Talian Nur 15999
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, ibu remaja lelaki OKU jenis 'Celebral palsy' itu berasal dari Sabah dan sudah berpisah dengan suaminya. Bekas suaminya meninggal dunia pada 2012.
Beliau menzahirkan rasa dukacitanya kepada media dan mengesahkan tindakan susulan KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun dilakukan.
Rohani dalam lawatannya menemui Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar Seremban mengesahkan remaja tersebut akan terus dipantau untuk diberikan makanan yang berzat, tempat tinggal yang selesa dan rawatan fisioterapi serta terapi-terapi lain yang bersesuaian seperti yang disyorkan pegawai perubatan.
Tidak ada sebab untuk kita kehilangan punca sekiranya menemui kesusahan. Rakan-rakan, jiran tetangga dan banyak pihak lain boleh dijadikan rujukan. Talian Nur 15999 adalah rujukan terbaik bagi wanita-wanita yang menghadapi kesusahan.
Cubalah hubungi dan dapatkan nasihat atau pandangan.
2 Ulasan
sedih jugak baca kisah ini. begitu juga dengan paparan video di stesen televisyen. Semoga menjadi pengajaran buat semua
BalasPadam[-(
BalasPadamjerit kat sini