Najib Sepatutnya Kurangkan Selfie

Najib Sepatutnya Kurangkan Selfie

Loading...

Ada dua kejadian malang sedang menimpa dunia ketika ini.
Satu mengenai kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia membawa 239 penumpang yang masih misteri sehingga kini sejak 8 Mac lalu, manakala yang kedua ialah tragedi feri karam di Korea Selatan pada 16 April lalu yang dipercayai mengorbankan hampir 300 nyawa.
Dalam kejadian feri karam itu, sehingga ini seramai 180 orang disahkan meninggal dunia dan hanya selepas 11 hari daripada kejadian itu, Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-won mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas kritikan terhadap kerajaan mengenai tragedi itu.
Perkara terbaik untuk saya lakukan ialah memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, katanya tanpa ragu-ragu.
Tetapi dalam kes kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki minggu keenam sehingga ini, di sebalik pelbagai kritikan daripada dalam dan luar negara terhadap cara kerajaan menguruskan tragedi itu, langsung tidak ada pemimpin negara yang sedia memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan.
Baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ataupun pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein - kedua-duanya langsung tidak menunjukkan moral yang tinggi sebagai pemimpin atas kejadian itu.
Bukan sahaja tidak menunjukkan keinginan mereka untuk memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, malah seboleh-bolehnya cuba melindungi dan mempertahankan lagi kedudukan yang disandang mereka sekarang.
Perdana Menteri khususnya seolah-olah tidak terkesan dengan kehilangan pesawat yang membawa 239 nyawa, sekaligus menyebabkan beribu-ribu yang lain yang sedang menangis ketika ini dengan terus menunjukkan wajah seolah-olah tiada apa yang perlu dikesali dan dipertanggungjawabkan daripadanya.


Ketika kenyataan Najib bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi dan MAS pula menghantar pesanan ringkas memaklumkan tiada penumpang yang selamat tapi tidak dapat disertakan dengan apa-apa bukti sehingga menimbulkan kemarahan keluarga dan waris mangsa, bukan sahaja perkataan maaf jauh panggang daripada api, bahkan kenyataan perdana menteri itu pula yang cuba dipertahankan sebagai tidak bermaksudkan pesawat itu terhempas dan penumpangnya meninggal dunia.
Ini dapat dibayangkan bahawa andainya nanti MH370 tidak terhempas, sebagaimana yang ditafsirkan sebelum ini dengan pencarian dilakukan di Lautan Hindi dan usul takziah juga sudah dibentangkan di Parlimen, tindakan mahu memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan turut mustahil dilakukan.
Jelas bahawa prinsip moral dan konsep tanggungjawab antara perdana menteri Korea Selatan dengan perdana menteri Malaysia begitu jauh beza dan jaraknya.
Lebih daripada itu, penyerlahan "wajah tidak berdosa" Najib ini juga dapat dilihat ketika beliau giat "berselfie" dengan pemimpin dunia yang ditemuinya.


Minggu lalu beliau "berselfie" dengan Perdana Menteri Turki Tayyib Erdogan dan semalam pula kelihatan cukup berseri-seri dapat "berselfie" dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Gambar beliau "berselfie" itu, terutamanya dengan Barack Obama menjadi viral dan perbualan di media sosial ketika ini.
Walaupun "berselfie" adalah hobi kebanyakan orang ketika ini, tetapi ada pula yang menyifatkan kegilaan terhadapnya sebagai tanda mengalami gangguan jiwa, kerana mengharapkan pujian untuk menarik perhatian dan untuk menunjukkan sikap rendah diri yang sebenarnya tiada dalam diri seseorang itu.

Sama ada Najib mengalami salah satu gangguan itu atau sebaliknya, tiada siapa yang dapat memastikannya dengan tepat, tetapi dalam beliau ghairah "berselfie" itu, janganlah sampai terlupa akan tragedi malang MH370 itu sehingga bukan saja waris keluarga mahukan ketelusan kerajaan, malah Obama sendiri mengharapkan perkara yang sama.
Namun lebih afdal jika dapat mencontohi sikap terpuji seperti perdana menteri Korea Selatan itu dan kurangkanlah "berselfie". 

shahbudindotcom.blogspot.com,  29 April, 2014.

Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini