Imbas kembali...Sensasinya 2013

Imbas kembali...Sensasinya 2013

Loading...
Bukan kata tidak takut atau cuba menidakkan petanda yang menunjukkan dunia hampir berakhir tapi kenapa pula sibuk kita canang soal itu sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlu kita lakukan sebagai persediaan menempuh hari-hari terakhir itu.
Kelakarnya sejak awal Disember lagi ketika berita mengenai salji di Mesir dianggap aneh dan luar biasa, dunia terus bergegar mengandaikan dunia sudah hampir ke penghujungnya.
Malaysia antara paling hangat diperkatakan terutamanya anak muda yang menjadikan ruangan sosial masing-masing sebagai tempat menyebarkan pandangan mengenai kejadian yang berlaku sekali dalam 100 tahun itu.

Lebih mengesahkan andaian itu, Vietnam pula diliputi salji. Salji itu menyebabkan kesesakan lalu lintas selama lima jam hanya kerana orang awam yang memandu ke wilayah pergunungan Lao Cai dan Ha Gian berhenti di tepi jalan untuk melihat dan rasai sendiri cuaca luar biasa ini.
KEADAAN salji yang turun di Mesir.

Macam-macam terjadi dan sekarang semua sistem cuaca mula tersasar daripada jangkaan kita. Siapa sangka Vietnam yang terkenal dengan cuaca beriklim tropika seperti kita boleh dihujani salji tebal.

Tapi jangan terkejut kerana peristiwa itu ada cerita di sebaliknya. Menurut beberapa laman web yang turut berkongsi mengenai kisah salji di Vietnam, fenomena salji jatuh di utara Vietnam terutamanya di pergunungan Sapa bukanlah sesuatu yang pelik.

Ini kerana ‘keajaiban’ ini pernah berlaku beberapa kali pada 19 Disember 2011, 13 Disember 2012 dan terkini pada 15 Disember 2013. Malah mereka juga mengatakan mulai jam 9.30 pagi, Sapa mengalami suhu jatuh hingga ke paras beku. Sapa yang terletak di wilayah Lao Cai dan Ha Giang adalah salah satu kawasan utara Vietnam yang mengalami musim salji setiap tahun pada Disember.

Mesir juga begitu, ada sebab di sebaliknya dan janganlah kita terus panik dengan menyifatkan kiamat sudah dekat kerana kalau ingin bercakap soal petanda hari kiamat, sudah lama sebenarnya kita diberi amaran.

Cuma sebelum ini tiada siapa kisah berbanding perubahan cuaca yang lebih ketara hingga membuatkan semua orang jadi panik dengan andaian sendiri.

Penghujung 2012 umpamanya, seluruh dunia kecoh apabila banyak ramalan mengatakan dunia kita akan hancur tapi sampai ke hari ini tiada apa berlaku. Ramalan itu tidak semestinya tepat.

Kalau kita lihat di Twitter, Facebook dan Instagram, macam-macam ideologi dikongsikan kononnya salji yang melanda Mesir dan Vietnam adalah petunjuk terakhir yang dunia kita akan kiamat.
Tapi Gen Y ingin ingatkan kepada kawan-kawan, usahlah terlalu panik atau gemar menyebarkan fahaman sendiri tanpa kaji selidik atau pengesahan yang sahih kerana ia akan mengundang persepsi negatif saja.

Kalau kata nak kiamat, sudah banyak petanda yang ditunjukkan termasuk zina bermaharajalela, pemimpin yang terdiri daripada orang yang jahil dan fasik, bermaharajalela alat muzik, ramai orang menuntut ilmu kerana pangkat dan kedudukan, ramai orang soleh meninggal dunia dan macam-macam lagi.

Justeru, jangan kerana perubahan cuaca ini menjadikan anda panik dengan menabur andaian bukan-bukan. Takut hari nak kiamat, baru semua sibuk membuat persiapan seperti bertaubat atau berubah sedangkan kebaikan itu wajib kita lakukan tidak kira masa dan atas sebab apa sekalipun.

2013 sepatutnya diraikan dengan rasa syukur kerana sudah berlalu segala rencana kita sepanjang tahun. Setiap impian dan sasaran yang berjaya kita capai, rasa syukur perlu dipanjatkan agar tahun kemudiannya akan terus dipermudahkan.

Dari Januari hingga ke Disember 2013 itu patut kita imbas semula akan setiap kekurangan, kegagalan atau mana-mana impian lama yang tidak berjaya kita capai untuk dijadikan semangat untuk tahun 2014 ini.

Letakkan ke tepi soal keazaman dan impian tahun baru ini, sebaliknya apa yang lebih menarik, Gen Y juga tertarik dengan dua lagi fenomena hebat yang mencerminkan sikap dan gerak bahasa anak-anak muda sepanjang 2013.

                                                               BOBO
Sensasi YouTube

Apa paling menarik perhatian sepanjang tahun lalu selain kisah spekulasi dunia hampir kiamat adalah perkembangan luar biasa remaja terhadap laman sosial YouTube yang tiba-tiba menjadi satu platform untuk menjadi popular.

Nama Mohd Fairuz Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Bobo tiba-tiba menjadi popular selepas memuat naik video parodi mengajuk lagu nyanyian bintang muda Indonesia, Shae.

Terus semua orang nak menonton video ini hingga pihak pengeluar filem, MIG menyambar anak muda berusia 29 tahun ini untuk menjadi salah seorang artis naungannya. Bobo kini sudahpun bergelar selebriti dan video parodinya terus dimuat naik untuk tujuan menarik lebih ramai anak muda dan mengukur tahap popularitinya.

Jika sebelum ini YouTube menjadi tempat semua anak muda mencuba nasib dengan menunjukkan bakat nyanyian masing-masing selepas melihat pencapaian Yuna, Ainan Tasneem dan Najwa Latif, tapi kini anak muda melangkaui lebih jauh dengan menjadikannya sebagai medan bertarung kreativiti.

Pelbagai video boleh dilihat di situ termasuk seorang gadis yang berjaya mencuri tumpuan selepas berkongsi video ‘Macam Cantik Je, Macam Comel Je’ hingga aksinya itu menerima pelbagai reaksi.

Belum lagi video ‘Budak Couple Seminggu’ yang mengisahkan luahan cinta antara gadis berusia 15 tahun, Awani kepada kekasihnya, Ery. Akibatnya kisah percintaan ‘Budak Couple Seminggu’ berakhir apabila Ery atau nama sebenarnya, Huzairi Yahya mengumumkan perpisahan mereka di laman sosialnya sendiri.

Tapi kemudiannya ada pula khabar angin mengatakan pasangan ini masih lagi bercinta. Tapi apapun video yang dimuat naik oleh Awani itu mendapat sambutan. Komen negatif sekali pun, popular tetap popular!

Villa Nabila

Pertengahan November lalu, kecoh satu Malaysia apabila tidak semena-mena 23 remaja dilaporkan hilang selepas memecah masuk ke sebuah banglo lama yang dianggap berhantu di Johor Bahru.

Terus kes kehilangan itu menjadi carian tertinggi di semua laman sosial terutamanya Twitter kerana khabarnya semua remaja itu melakukan perkara tidak senonoh di dalam rumah yang disifatkan ‘keras’ itu.

Tapi selepas beberapa lama diperkatakan hingga menjadi muka depan akhbar utama, hanya seorang saja remaja yang disangkakan hilang iaitu Mohamad Izzat Izzudin berusia 16 tahun sebenarnya menyembunyikan diri di rumah kawannya.

Realitinya, Villa Nabila terus menjadi popular dan membuatkan ramai remaja ingin melihat sendiri banglo itu jika ke Johor Bahru walaupun sebelum ini hanya orang di sana saja tahu mengenai kewujudannya.

Memang epik kisah kehilangan 23 remaja itu dan semuanya berpunca daripada sikap remaja yang gemar menyebarkan berita tidak sahih.

Itulah tiga fenomena paling hangat membabitkan remaja pada 2013 kerana semuanya seakan-akan virus yang popular sekelip mata. Tapi tidak boleh diketepikan juga yang banyak juga kisah positif membabitkan remaja sepanjang 2013 termasuk sukarelawan yang menyumbangkan bantuan kepada mangsa banjir di pantai timur, Disember lalu.

Malah sepanjang kempen Pilihan Raya ke-13 pada Mei lalu, golongan belia antara yang paling ramai membabitkan diri sama ada berkempen mahupun menjadi sukarelawan.

Bagaimanapun, 2013 melihat satu perkembangan positif buat ramai remaja Malaysia apabila melihat peningkatan keputusan cemerlang dalam peperiksaan termasuk PMR, SPM dan STPM.

Kiranya, tahun lalu menjadi satu kayu ukur untuk semua pihak melihat apa yang patut diperbaiki dan aspek mana pula yang wajib diberi perhatian lebih dalam menghasilkan generasi berkualiti bagi terus mewarisi kepemimpinan negara akan datang.

Semoga 2014 akan menjadi satu fasa baru dengan semangat lebih baik untuk kita semua.

sumber:.Harian metro

Catat Ulasan

3 Ulasan

jerit kat sini