Loading...
LEBIH 13 juta pemilih, lebih 2,000 calon untuk Parlimen dan Dun, dan lebih dari biasa calon Bebas. PRU13 memang paling hebat, paling hangat, dan tentu sekali paling mendapat perhatian.
Kalau tengok bendera dan poster, semua parti sama meriah. Wajah-wajah calon dalam poster yang ditampal di merata tempat, semua menyerlahkan keyakinan – sesetengahnya tersenyum panjang – termasuk wajah yang dilekatkan di tembok menghadap longkang atau loji najis. Senyumlah di mana juga untuk memenangi hati pengundi!
Seperti biasa dalam mana-mana pilihan raya demokrasi, sehebat-hebat calon, tidak kira Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, waima Tengku, hebat lagi pengundi. Sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu berkempen, pengundi boleh mendabik dan berkata pada calon: “Sekali wa calit, lu boleh kantoi ma...”
Tetapi ada ketikanya pengundi pun sukar untuk memangkah. Kalau habuan telah diterima, rasa bersalah pula untuk tidak memangkah pihak yang memberi habuan. Ada pun yang tidak menerima apa-apa habuan tidak mudah juga untuk memilih.
Lebih sukar lagi untuk membuat keputusan sekiranya calon yang bertanding sama baik, sama hebat. Seperti yang kini dihadapi oleh seorang teman sekerja yang akan mengundi bagi satu kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Dia mengakui sedang dalam dilema.
Sebenarnya sejak hari penamaan calon dia serba salah dan tidak tahu siapa yang harus dipangkah pada 5 Mei nanti. Bingung, sebab calon-calon dalam pertarungan dua penjuru itu – BN dan PR – sama baik, masing-masing ada kelebihan.
Malah, ada sentimen peribadi yang menyukarkan lagi untuk dia membuat keputusan. Kedua calon adalah teman baiknya; yang seorang ialah rakan ketika di universiti. Belajar di fakulti yang sama, dan sama-sama mengulangi satu subjek sebab kantoi dalam peperiksaan semester.
Ada pun calon yang seorang lagi ialah teman serumah ketika zaman bujang dulu-dulu. Baru kerja, gaji ciput, mereka berkongsi bilik di sebuah rumah sewa di Kampung Baharu. Tiga tahun bersama, bukan sahaja rakan sebilik, tetapi juga rakan ‘sepermaggian’, sebab sama-sama selalu pokai dan hanya mampu makan mi segera.
Walaupun sejak tiga empat tahun ini mereka jarang berjumpa – dia sibuk dengan tugas harian, kedua kawannya pula sibuk dengan politik – apabila dilagakan untuk kerusi yang sama, tidak sampai hati untuk dia memilih yang satu dan menolak yang satu lagi.
Untuk berlaku adil dan tidak memihak pada kedua bekas teman baiknya itu, dia berura-ura untuk tidak mengundi. Tetapi, hasrat itu ditentang hebat oleh seorang lagi rakan sekerja. “Jangan sia-siakan undi yang satu, sebab satu undi adalah penentu hala tuju negara untuk lima tahun akan datang,” kata rakan tersebut, macam berkempen.
Mengenai serba salah untuk memangkah calon mana, rakan tersebut memberi satu petua: Pada malam sebelum mengundi, perhatikan kedudukan isteri semasa tidur. “Kalau dia tidur mengiring sebelah kiri, pangkah calon PR. Kalau isteri mengiring ke kanan, pangkah calon BN.”
Ini pun tidak dapat menyelesaikan kebuntuan dan rasa serba salah, apabila kawan yang bingung itu bertanya: “Siapa yang perlu saya pangkah sekiranya isteri tidak mengiring ke kiri atau ke kanan, sebalik terlentang memandang siling?”
Selamba sahaja rakannya menjawab: “Kalau begitu kedudukannya, jangan fikirkan kedua calon tersebut, sebaliknya tumpukan perhatian, dan tanpa berbelah bagi pangkahlah apa yang ada di sebelah!”
Pada hemat saya ketiga kedudukan isteri itu pun tidak dapat menyelesaikan kebuntuan memilih calon. Sebab ada satu lagi kedudukan isteri yang jarang terjadi, tetapi mungkin dilihat malam sebelum mengundi, iaitu tidak ke kiri, tidak ke kanan, tidak memandang siling, tetapi meniarap. Patutkah dia dipangkah?
Apa pun petua sahabat saya itu tidak patut dijadikan panduan ketika melangkah menunaikan tanggungjawab pada PRU13. Apa yang penting bawa kad pengenalan, ikut peraturan yang ditetapkan, dan masuklah ke pusat mengundi dengan tenang.
Gunakan undi yang satu itu dengan wajar, sebab pangkahan lima tahun sekali di bilik mengundi itu amat amat penting, jauh lebih penting daripada pangkahan yang dibuat setiap hari di rumah
Abd Jalil Ali
p/s selamat mengundi
0 Ulasan
jerit kat sini