Aduh...Kenapa Lelaki Suka Lepak Warung Mak Janda..?

Aduh...Kenapa Lelaki Suka Lepak Warung Mak Janda..?

Loading...
MASALAH rumah tangga yang berlaku dalam kalangan warga bandar dan kampung banyak bezanya. Di bandar, orang yang berada boleh tinggalkan rumah sesuka hati apabila timbul masalah dengan isteri.


Mereka boleh pergi ke mana-mana mereka suka sampai berhari-hari sebab ada duit dalam tangan. Tambahan pula jika isteri bekerja. Tidak ada masalah yang timbul. Bab anak, pembantu rumah boleh uruskan.


Tapi bagaimana dengan orang luar bandar. Jika bergaduh dan berselisih faham dengan isteri, apa yang mereka lakukan?

Maisarah (bukan nama sebenar) ada jawapannya. Kepada saya, Maisarah bercerita tentang rumah tangganya yang sedang bergolak kerana suami asyik melepak di gerai milik seorang janda di kampung mereka.

Ingin tahu lebih lanjut, ini cerita Maisarah. "Saya berusia awal 40-an, mempunyai tiga orang anak berusia daripada sembilan hingga 17 tahun. Suami saya Jalil, (bukan nama sebenar) bekerja sendiri dan saya mengambil upah menjahit.


"Biasalah hidup di kampung, semuanya perlu usaha jika tidak mana datangnya duit untuk beli makanan dan pakaian anak-anak serta keperluan dapur.

"Saya tidak pernah merungut kepada suami tentang rumah tangga sebab upah jahit yang saya dapat setiap bulan boleh menampung hidup kami.


"Suami pula ada tanah luas. Dia bercucuk tanam dan mengupah orang menjual hasil tanamannya. Pendek kata, kami tidak susah seperti kebanyakan penduduk kampung yang lain.


"Tapi suami seorang yang ambil mudah tentang semua perkara. Dia tidak mahu bekerja keras untuk kehidupan kami anak beranak. Apa yang ada itulah yang digunakan. Jika dia usaha lebih, pasti kehidupan kami akan lebih gembira dan senang.
"Dulu suami rajin ke ladang atau ke kebun miliknya. Sekarang dia menjadi malas. Kerja di kebun dan ladang diserahkan bulat-bulat kepada pembantunya.

"Bagaimanapun, setiap hari dia keluar rumah seperti biasa. Kononnya hendak ke kebun supaya dapat hasil yang banyak. Saya percaya bulat-bulat kerana menyangka suami memang betul-betul mahu bekerja keras untuk merubah nasib kami sekeluarga.

"Sayangnya sangkaan saya meleset. Suami rupanya sedang gila bayang dengan seorang janda yang membuka gerai makan di pinggir kampung kami.




"Padanlah sejak akhir-akhir ini dia sudah pandai bergaya dan selalu nampak kemas apabila hendak keluar rumah. Sebelum ini, capai apa yang ada tidak kisah pun jika seluar dan kemeja-T tidak bersalin seminggu.




"Saya buat intipan untuk dijadikan bukti. Saya tidak mahu terburu-buru mendengar gosip orang kampung tentang suami saya.




"Akhirnya saya lihat dengan mata sendiri bagaimana 'gatalnya'' suami apabila bersama janda tersebut. Saya bertambah geram apabila mendapat tahu setiap hari dia keluar awal hanya semata-mata untuk melepak di gerai janda tersebut.




"Kebun entah ke mana, ladang entah ke mana. Di rumah tentu tidak melekat langsung. Solat juga entah ke mana. Anak-anak tak bertegur sapa. Sudahnya hubungan dengan kami menjadi renggang.




"Tambah sakit hati apabila saya mendapat tahu dia ada hati hendak berkahwin dengan janda itu. Cerita yang saya dengar, janda ini telah bercerai dengan suaminya di kampung seberang. Dia balik untuk berniaga di kampung kami sebab ayah dan ibunya adalah penduduk dari kampung kami.




"Bukan sahaja suami saya yang suka melepak di gerainya, kebanyakan lelaki yang sudah berkahwin di kampung kami menjadikan gerai janda itu sebagai tempat persinggahan.




"Saya nampak bukan main manja lagi si janda itu dengan pelanggannya termasuk suami saya. Siap berpakaian seksi lagi. Setiap hari, dia memakai pakaian cantik dan berdandan.




"Itu agaknya strategi yang dia gunakan untuk menawan hati suami-suami di kampung kami. Yang lelaki bernama suami tak sedar diri.




"Satu kampung asyik bercerita tentang janda ini. Entah apa yang dia buat sampai semua orang bercakap tentang dia, saya pun tak tahu. Saya tak kisah, dia nak buat apa di kampung kami.




"Tapi kehadirannya yang menganggu kebahagiaan rumah tangga suami isteri di kampung kami nampaknya perlu diberi perhatian.




"Saya telah bersemuka dengan janda itu bersama dua orang wakil persatuan wanita kampung kami. Tujuan kami baik, supaya dia menjaga tingkah lakunya dan tidak memporak-perandakan keadaan dengan kehadirannya.




"Kami bercakap dengan cara baik, lembut dan berlapik walaupun kami tahu tidak sepatutnya melayan dia begitu jika dilihat perangainya.




"Nak tahu apa jawapannya? Dengan ego dan angkuh, dia berkata dia tidak menjemput lelaki di kampung kami datang ke gerainya. Mereka semua datang dengan rela hati. Tiada paksaan.




"Jadi, tiada sebab kami sebagai isteri-isteri yang bimbangkan kesetiaan suami masing-masing menegurnya. Dia tidak ada niat nak merampas suami siapa-siapa pun.




"Dia juga memberi amaran kepada kami kaum wanita di kampung ini supaya menjaga suami masing-masing agar tidak selalu datang ke gerainya untuk minum dan menganggu dia berniaga.




"Cuba anda bayangkan bagaimana perasaan anda jika berada di kedudukan kami? Bohong kalau anda kata tidak marah sebab janda ini memang mencari nahas.




"Sudahlah masuk kampung orang, berlagak pandai pula. Saya amat marah dengan jawapannya. Rasanya macam nak tampar sahaja muka dia. Tapi saya tahu jaga maruah. Saya tidak bodoh untuk bergaduh pasal lelaki walaupun saya tidak ada pelajaran tinggi, saya tahu batas diri saya.




"Saya tidak akan bertindak bodoh hanya kerana perempuan yang tidak tahu menjaga keperibadiannya sebagai wanita. Seperkara lagi, suami saya juga harus disalahkan.




"Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi dan saya tahu, jika suami saya tidak bertandang ke gerainya setiap hari, dia tidak akan merasa dihargai. Sejak pertemuan kami dengan janda itu, seluruh wanita di kampung kami memboikotnya.




"Saya tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak tetapi itulah yang berlaku. Saya pula berperang besar dengan suami kerana janda itu. Dia menafikan ada hubungan dengan janda itu dan berkata sekadar suka-suka melepak di situ selepas penat bekerja di kebun.




"Saya tanya kalau penat kenapa tak balik rumah, boleh tidur dan rehat sepuas hati, ini tidak ke gerai janda itu juga selesanya. Suami tidak ada jawapan melainkan bangun dan meninggalkan saya dengan rasa sakit hati.




"Saya masih bersabar dengan drama ini, tapi kesabaran saya juga ada batasnya. Saya berharap masalah ini boleh selesai dengan baik. Saya berdoa satu hari nanti suami akan berubah dan balik ke pangkal jalan.




"Saya berazam, akan teruskan kerja saya. Pada masa yang sama, saya berdoa agar kekeliruan dalam rumah tangga kami akan selesai dengan baik.




"Tentang janda itu, biarkan dia dengan lakonannya. Perempuan seperti itu bagi saya tidak perlu ditegur banyak kali. Kalau dia hendak berubah tentu dia akan lakukan dengan ikhlas. Kalau masuk kandang kambing, biarlah mengembek, begitu juga dalam kandang kerbau, mesti menguak. Tapi janda ini tidak.




"Mudah-mudahan Allah buka pintu hatinya untuk menyedari apa yang dia buat itu salah. Semoga dia akan muhasabah diri untuk mencari keberkatan dalam hidupnya di dunia dan akhirat. Amin," Maisarah menamatkan ceritanya.




Membaca cerita Maisarah menjadikan saya termenung panjang. Memang masih ada kejadian seperti ini di kampung walaupun jumlahnya agak terpencil.




Cadangan saya, setiap isteri perlu bercakap dari hati ke hati dengan suami mengenai masalah ini. Ajak suami berunding dan bincang baik-baik demi rumah tangga dan anak-anak.




Sebagai isteri, saya yakin Maisarah tahu apa yang terbaik untuk suaminya. Layanan kepada suami juga amat penting dalam apa juga keadaan. Kadang-kadang lelaki atau suami akan keluar rumah untuk mendapat apa yang kurang di rumah.




Menamatkan catatan, pesanan saya, jangan gelisah atau ragu jika ditimpa masalah kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

p/s...haaaaa..amacam kat tempat korang pulak...ada tak yang macam ni??


Salam


Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Mesti wanita tu cantik dan sexy!! Kalau cm tu saya pun suka lepak kat kedai tu,,siap subuh kat sana lagi!! hahahahahahaha..

    BalasPadam
  2. salam. biasalah tu akak tie. ada suami yg suka nak test market dgn mengorat kak jan...yg kak jan pula ni bila tahu ada suami2 org yg tergila2 kat dia mulalah naik syeikh...psg bdn n angan2. nasihat sy..baiklah suami tu gi ramai2 ke masjid drp memeriahkan warung kak jan..ada gak pahala yg dpt..

    BalasPadam
  3. ada jak bah kes yg mcm gini di mana2 pun

    BalasPadam
  4. @JUK DIN
    tak tahu lah nape ek..ada yang halal tetap juga cari yg haram...seronok sangatkah lepak diwarung mak jan tu...

    BalasPadam

jerit kat sini