Bila Ada Yang Membebel Pasal Awal-Scha...Baca!!

Bila Ada Yang Membebel Pasal Awal-Scha...Baca!!

Loading...
Artis Hollywood pun tak buat macam tu...


SAYA nak ucap tahniah pada artis-artis kita terutama yang berjaya mengatasi artis-artis Hollywood dalam gimik, gaya dan glamour. Saya kata gimik, gaya dan glamour, titik. Saya tak kata pasal berjaya dalam kerjaya. Sila baca betul-betul.

Bila Awal Ashaari melutut sambil tunjuk cincin dalam kotak pada Scha Al Yahya dalam rancangan Propaganza, rancangan hiburan gossip baru Astro yang dibuat untuk beregu dengan Melodi, saya langsung tak terkejut. Apa nak terkejut sebab semuanya sekarang ini sudah tak ada rahsia lagi dalam dunia artis kita. Ada artis kencing pun dia rakam dalam video, inikan pulak melamar. Eh, maaf, “proposal”.

Maaflah kalau saya tidak dapat kata, “oh how sweet” sebab itu sama sekali bukan budaya kita orang Timur. Sebab kita orang Melayu tidak ada proposal yang melutut macam itu, apa lagi dalam TV.

Bagi saya bab melamar dan kahwin adalah sesuatu yang sangat murni, kudus dan ikhlas dari hati. Kerana ia adalah selangkah ke dunia baru yang dipohon restu keluarga, juga Allah SWT. Ia terbit dari keikhlasan hati dan nurani kerana yang diharap adalah keredhaan dan rahmat Ilahi.

Katalah saya ini kolot atau old school. Tapi saya rasa dalam bab mendirikan masjid, biarlah kita ikut cara kita. Putera William dan Kate Middleton tak buatpun proposal melutu depan kamera TV untuk ditayangkan pada dunia, sekalipun cinta mereka sebesar universe ini. Setahu saya, mereka umum kemudian, ikut cerita, William lamar (tak tahulah melutut ke tak) masa mereka berdua bercuti di Kenya.

Kita ini ikut nilai apa sebetulnya? Artis Hollywood pun tak buat melamar depan kamera tv sebab mereka sendiri anggap institusi perkahwinan itu sesuatu yang tinggi dan bukan boleh dibuat mainan. Sehebat mana pun cinta mereka, segila mana pun mereka berkasih, belum ada lagi rasanya yang melutut melamar depan kamera TV atau filem. Ada ke?

Saya faham kehendak stesen TV untuk mendapat rating tinggi, apa lagi untuk menyaingi stesen lain. Ini memang tembolok stesen TV yang akan jual apa saja cerita untuk walau dalam kain sekalipun. Tapi bukankah yang ada final say adalah artis itu sendiri. Misalnya kalau mereka tak suka diambil bergambar berkemban tepi kolam, bukankah mereka berhak kata tidak?

Kalau kita menganggap kahwin itu bukan satu jenaka, bukan mainan, bukan lakonan, tapi sesuatu yang sangat peribadi sudah tentu ia tidak akan berlaku. Lepas itu, diumum pulak ada enam siri bab perkahwinan. Alamak? Ini kehidupan peribadi atau apa?

Aisey, jadi jangan marah wartawan kalau asyik tanya hal-hal peribadi dan bukan tentang kerjaya atau pencapaian kerja nyanyi atau lakon, sebab memang artis sendiri suka kisah-kisah peribadi dijaja. Kahwinlah, dan umumlah sekadarnya untuk elak fitnah.

Memang kita gembira bila artis mendirikan masjid. Ia dituntut dalam agama dan kehidupan. Tapi biarlah berpada dan sederhana.

Sama ada ini satu budaya dan nilai yang sihat, kitalah yang menentukan. Kerana akhirnya, ia akan mencerminkan pendirian, pemikiran dan tahap mana artis itu berada. Sebab mereka tidak boleh pisahkan diri dengan dunia realiti dan fantasi.

Kolot atau tidak, saya masih berpegang pada prinsip bahawa ada perkara yang peribadi dan ada yang boleh dikongsi. Perkahwinan itu peribadi. Dan saya percaya ada artis yang masih berpegang pada prinsip ini.

Ini masa seronok, masa suka semuanya nak dibuat depan kamera. Tak ada apa yang rahsia. Tapi, hidup ini ada pasang surutnya. Jadi, saya nak pesan sikitlah, esok lusa kalau dah terkehel sana sini, jangan pandai pulak kata, “Tolong, jangan ganggu kami. Ini hal peribadi.”


-30/3/2012- OLEH SAODAH ISMAIL

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. ini adalah ulasan paling power setakat ni pasal kisah proposal diorang

    power power

    BalasPadam
  2. betul tu kak....bukan budaya kita..ni taksub sngt nk propose dpn kamera bg 1 malaysia tau yg dorg nk kwin...cube buat mcm Yusry-Lisa..btunang senyap2 tau2 bt announce nk kwin je..

    BalasPadam

jerit kat sini