Loading...
CAKAP MANDARIN WAKTU SUBUH
BIBIR gadis berusia 17 tahun itu seperti bergerak-gerak, semacam ada sesuatu yang ingin diluahkan.
Ketika dihampiri, gadis bernama Noraini Ismail itu kembali senyap. Tubuhnya menampakkan kegelisahan, namun masih mampu tersenyum.
Persoalan mula timbul, adakah benar Noraini berubah hanya kerana satu kemalangan?
Ramai mendakwa sejak kejadian pada 10 Januari lalu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut itu mampu bertutur dalam pelbagai bahasa asing.
Dakwa keluarga gadis itu, antara bahasa yang mampu dituturkan ialah bahasa Mandarin, Hokkien, Korea dan beberapa bahasa asing.
Bagi mencari kepastian, penulis bersama jurugambar Kosmo! Ahad hadir untuk menemuramah gadis yang berjaya mencari tumpuan negara.
Dalam pertemuan itu, Kosmo! Ahad turut ditemani wartawan dari akhbar Sin Chew Daily Terengganu, Lew I-Ling bagi memastikan kesahihan bahasa yang digunakan gadis itu.
Tujuan penulis hanya satu, iaitu untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang mengatakan dia mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.
“Maaflah, dia hanya akan bercakap bahasa asing selepas bangun dari tidur pada waktu subuh,” ujar ibu Noraini, Masena Daud, 48, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang, Besut, baru-baru ini.
Namun, penulis sedikit tergamam pada ketika Noraini mula membuka suara. Pelat bahasanya cukup asing walaupun bercakap dalam bahasa Melayu.
Dia sebenarnya membawa sisi lain, iaitu seorang anak keluarga Cina yang ingin bercakap Melayu, sedangkan perwatakan asal Noraini hanyalah gadis kampung yang cukup kuat pelat Melayunya.
“Saya cuba cakap seperti biasa tapi tak boleh. Mama marah dan suruh saya cakap elok-elok tapi saya memang tak boleh cakap macam biasa,” katanya dalam pelat loghat Cina.
Jelasnya, perkara itu tidak dibuat-buat dan pakar perubatan yang ditemuinya memberitahu saraf percakapannya mungkin terjejas ekoran kemalangan tersebut.
“Kadang-kadang saya diserang sakit kepala yang kuat tapi saya tak tahu kenapa saya cakap bahasa asing. Saya nak cakap seperti biasa tapi tak boleh,” ujarnya lagi.
Mengimbas kejadian 10 Januari lalu, keganjilan mula dikesan selepas Noraini pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan akibat kemalangan.
Kemalangan berlaku ketika dia pulang dari sekolah. Dia yang membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18, terbabit dalam satu kemalangan di Simpang Empat. Mereka kemudian melanggar sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang.
Peliknya, dalam kejadian itu, Noraini yang pengsan selama 11 jam hanya mengalami luka kecil di kaki namun selepas dibuat imbasan sinar-X, doktor memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.
Selepas tiga hari, doktor mengesahkan darah beku itu hilang dan dia dibenarkan pulang. Namun secara tiba-tiba gadis ini tidak boleh bercakap dan terpaksa dirujuk ke hospital semula.
Melalui terapi yang dilakukan, dia mampu bercakap semula, namun apa yang mengejutkan ahli keluarganya ialah bahasa yang digunakan.
“Dia tidak pernah mempelajari bahasa asing melainkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Jadi, kami terkejut kerana dia mampu bertutur dalam bahasa Cina, Korea dan Jepun,” jelas Masena.
Bagaimanapun kata Masena, sekalipun mampu bertutur dalam bahasa asing, anak gadisnya itu boleh memahami tulisan bahasa yang dituturkannya.
Sementara itu, I-Ling mengakui pelat bahasa yang digunakan Noraini memang merupakan pelat masyarakat Cina.
“Saya terkejut kerana secara fizikal, dia memang seorang anak Melayu, tetapi ketika bercakap, pelatnya dalam bahasa Cina,” ujar I-Ling.
Bagi menguji kesahihan itu, I-Ling bertanyakan beberapa soalan asas dalam bahasa Cina kepada Noraini tetapi ia gagal dibalas oleh gadis itu.
“Saya tidak pasti sama ada dia faham atau tidak kerana saya hanya bertanyakan ‘Apa Khabar.’ Kalau benar dia mampu bercakap dalam bahasa itu, dia pasti menjawab soalan asas itu.
“Tetapi sepanjang dua jam pertemuan, dia langsung tidak bercakap dalam bahasa asing termasuklah bahasa Cina,” jelasnya.
Sementara itu, Masena memberitahu, Noraini akan kembali bersekolah esok dan dia berharap rakan-rakan anaknya itu tidak akan mempersendakannya.
“Ia mungkin akan buat anak saya malu dan saya harap kawan-kawan dia boleh faham keadaan dia dan bergaul dengannya seperti biasa.
“Saya risau anak saya akan berasa rendah diri dan tidak mahu meneruskan persekolahan,” katanya.
1 Ulasan
Di Kuching ni pun ada seorang budak boleh bercakap bahasa iban selepas dia mengalami kemalangan motosikal di sesuatu tempat. Budak tu Melayu dan tak pernah bercakap bahasa Iban sebelum kejadian. Tetapi selepas kejadian, dia jadi fasih. Hairan kan.. Orang kata dia terkena badi orang Iban yang pernah kemalangan di situ.
BalasPadamjerit kat sini