Burung hantu petanda buruk!

Burung hantu petanda buruk!

Loading...
BURUNG ini semakin terancam kerana diseludup ke Indochina sebagai hidangan eksotik.

SEBUT sahaja burung hantu, persepsi awal seseorang pasti akan mengaitkan haiwan itu sebagai sebab utama seseorang dilanda kecelakaan mahupun peristiwa buruk.

Malah, cerita itu bukan sahaja menjadi bahan cerita di negara ini tetapi melangkau ke Greenland.

Namun, usah khuatir, di sebalik cerita negatif ada kisah menarik mengenai burung unik ini.

Sememangnya, burung hantu sering dianggap sebagai pembawa sial. Itu menyebabkan ramai yang beranggapan haiwan itu merupakan penjelmaan hantu atau haiwan peliharaan hantu.

Bermula di India, sesetengah penduduk kampung di pedalaman India menganggap burung hantu sebagai penolong dan lambang kebijaksanaan.

Pendapat itu juga dipercayai oleh orang-orang lama di Britain.

Tetapi jika seseorang bermimpi burung hantu, itu merupakan petanda rumah bakal dirompak.

Tidak berhenti begitu sahaja, di utara England, jika seseorang yang terlantar sakit terlihat burung hantu bermakna dia akan menemui ajal tidak lama lagi.

PELIK
Menjengah Ireland pula, ada individu yang menggunakan bulu burung hantu untuk diletakkan di bawah bantal bayi agar si kecil mudah tidur.

Malah, ada yang percaya burung itu mampu memusingkan kepalanya sebanyak 360 darjah.

Cerita yang kebiasaan kita dengar ialah haiwan itu digunakan oleh bomoh untuk aktiviti pengamal khurafat itu.

Di Algeria, meletakkan mata burung hantu jenis Eagle di tangan kiri wanita yang sedang tidur akan menyebabkan wanita tersebut akan bercerita kesemua rahsianya.

Masyarakat Perancis pula menganggap jika wanita hamil mendengar suara burung hantu bermakna anak yang dikandung ialah bayi perempuan.

Masyarakat di rantau Arab turut mempunyai mitos mengenai burung hantu. Mereka percaya kanak-kanak nakal akan insaf dengan perlakuan buruk masing-masing jika dihinggapi burung tersebut.

Segelintir masyarakat China, Jerman, Greenland pula percaya haiwan tersebut mampu memberikan kekayaan, membahagiakan keluarga, memberikan sumber inspirasi kepada keluarga yang memeliharanya.

Bagi segelintir individu di negara ini dan Indonesia, burung hantu lebih mengerikan kerana ia akan memakan bayi yang baru lahir.

Orang Jepun ada yang menganggap burung hantu jenis Eagle pembawa mesej yang baik dan kemakmuran kepada keluarga.

LAZAT
Di sebalik kepercayaan itu, burung hantu sebenarnya semakin terancam kerana menjadi buruan untuk diseludup ke Indochina sebagai hidangan eksotik.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin memberitahu, haiwan itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap dengan harga mencecah RM200 seekor.

Katanya, modus operandi yang dijalankan penyeludup ialah menerima pesanan daripada Orang Asli sebelum diseludup ke luar negara melalui laluan laut atau darat.

“Burung hantu menjadi kegemaran penggemar makanan eksotik di Indochina.

“Ia dikenal pasti mendapat permintaan tinggi berdasarkan beberapa rampasan yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan