Diketuk Hantu di bilik gantung!!

Diketuk Hantu di bilik gantung!!

Loading...
Jurugambar bebas dan pensyarah fotografi UiTM Shah Alam, Khairul Azril Ismail, sanggup bermalam selama empat bulan di sel Penjara Pudu untuk merakam apa yang ada di dalamnya. Cubaannya? Kepala beliau tiba-tiba terasa diketuk ketika di bilik gantung, mendengar suara melolong dan kaki bagaikan dipeluk sesuatu semasa memasuki bilik mayat.

PENJARA Pudu yang kini telah dirobohkan telah menyaksikan pelbagai peristiwa sepanjang 113 tahun kewujudannya.

"SETIAP kali keluar dari penjara ini, orang akan menyangka saya baru dibebaskan. Ada setengahnya akan menyedari saya ke situ untuk tujuan lain setelah melihat tripod yang saya kelek bersama," ujar Khairul Azril Ismail, 30, yang pada mulanya menjadikan portfolio ini sebagai tesis bertajuk Pudu Jail's Graffity untuk memperoleh sarjana muda dalam Seni Halus dan Percetakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kini hasil kerjanya itu telahpun dipamerkan di Galeri Wei Ling sebagai Live Animals Inside!

Berbekalkan kamera filem Zenza Bronica dan lensa 35 milimeter, Azril terpaksa meneroka setiap ceruk penjara ini sebelum memulakan kerja mendokumentasi kerana bajetnya kecil sahaja.

"Saya hanya mampu menyediakan 100 gulung filem untuk kawasan seluas 10 hektar ini. Saya juga mengambil gambar menggunakan pencahayaan natural kerana belum mampu membeli flash," jelasnya.
AZRIL sering 'diusik' sewaktu merakam gambar terutama di bilik gantung.


Tinggal di dalam penjara yang mempunyai sistem pencahayaan yang disifatkan amat teruk, bekas pensyarah Kolej Universiti Limkokwing di Cyberjaya ini juga perlu membuat pilihan lokasi, perspektif dan masa dengan teliti bagi memastikan setiap gambar yang dirakam tidak membazir.

Menariknya, niat untuk memfokus kepada kemudahan yang ada di dalam penjara itu beralih kepada lukisan grafiti yang memenuhi dinding setiap sel yang dijengah.

"Lukisan grafiti dan tulisan yang ditinggalkan pada kebanyakan dinding banyak mengandungi unsur penyesalan, kenangan dan luahan rasa rindu para banduan terhadap ibu bapa dan keluarga mereka.

"Ada yang menulis dalam bentuk puisi yang indah. Tetapi yang penting, tulisan mereka bukan untuk bacaan orang lain, sebaliknya untuk diri sendiri. Ini menjadikannya mempunyai pengertian yang sangat menyentuh hati," kata Azril.

Bukan saja diluahkan dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil, terdapat juga karakter asing yang menunjukkan banduan yang menjadi tahanan datang dari serata dunia.

Sehingga kini Azril masih dalam usaha menterjemahkan tulisan-tulisan itu untuk kajian lanjut dengan merujuk kepada pakar agama, bahasa dan budaya.

Azril turut memberi perhatian kepada reka bentuk bangunan penjara itu yang disamakan dengan Penjara Kandy di Bogambara, Sri Lanka.

Azril mendapati bentuk X bangunan utamanya yang unik itu dikaitkan dengan salah satu simbol salib Kristian. Simbol itu juga bermaksud pengampunan.

Malah di bilik nombor 4 di barisan sel di Blok D yang menempatkan banduan yang menunggu hukuman mati, dipenuhi grafiti berupa salib putih dan di atasnya ditulis perkataan salvation (pengampunan).

DARI atas: Lukisan lelaki bertopeng di bilik gantung, grafiti bertajuk I want to be free serta tulisan Let me out! ditemui di dinding-dinding sel.

Azril menselang-selikan jadual beliau bermalam di dalam Penjara Pudu dengan pulang ke rumah kerana penjara ini tidak mempunyai bekalan air bersih atau sistem kumbahan yang baik.

Antara bahagian penjara ini yang paling menarik, kata Azril, ialah bilik gantung kerana ia menawarkan banyak 'cerita'.

"Ada imej yang akan anda lihat yang tidak dapat dijelaskan. Saya berjaya merakamkan satu garisan putih yang panjang dan melengkung. Mustahil cahaya dapat dibengkokkan. Kalau hendak dikatakan ia asap, saya seorang perokok, dan saya tahu rupa kepulan asap. Saya tidak merokok waktu bekerja.

"Saya sehinggakan menghantar gambar itu untuk diteliti oleh pensyarah saya di Columbus College of Art & Design (CCAD) di Ohio, Amerika Syarikat.

"Mereka meminta saya untuk memeriksa peralatan tetapi tidak timbul masalah sama ada daripada kamera atau dalam proses mencuci gambar," jelasnya panjang lebar.

Pernah, kata Azril, kepalanya diketuk sebanyak tiga kali semasa sedang asyik menantikan masa yang paling sesuai untuk mendapatkan pencahayaan terbaik di bilik gantung.

Pengalaman ini diiringi perasaan aneh, seolah-olah ada sesuatu berada terlalu hampir di belakangnya. Azril hanya mampu berdiam diri.

Ujian lain ialah paluan beduk pada waktu Subuh yang menandakan waktu untuk solat jenazah, suara melolong, kaki bagaikan dipeluk sesuatu ketika hendak memasuki bilik mayat dan bunyi jeriji besi diketuk-ketuk.

Pengalaman yang paling sukar dilupakan, kata Azril, ialah apabila beliau terkunci selama sembilan jam di dalam sebuah bilik kurungan dari pukul 10 pagi sehingga menjelang waktu Maghrib.

"Saya memang terkejut pada mulanya. Tetapi selepas itu saya terfikir waktu makan tengah hari sudah hampir dan saya sedang lapar," kongsinya sambil tergelak sendiri.

DARI bawah: Menara peninjau bagi mengawasi penghuni penjara dan lagi luahan hati banduan.

Duduk bersendirian dalam gelap untuk tempoh yang lama di dalam kurungan berkeluasan 12x7 kaki itu mengajar Azril tentang perasaan seorang banduan.

"Mungkin saya tidak merasakan sepenuhnya apa yang dirasai seorang banduan, tetapi apa yang boleh saya katakan, pada waktu itu saya merasakan masa terhenti.

"Saya juga berasa tidak berguna kerana tidak dapat melakukan apa-apa. Saya juga sudah tidak memikirkan tentang hari esok," kata Azril yang menyedari pintu yang diperbuat daripada kayu cengal dan logam yang menggunakan sistem kunci yang kompleks itu terlalu mustahil untuk dipecahkan.

Pada waktu itu juga Azril terkenang akan sejarah 1985, apabila Penjara Pudu mengalami kesesakan penghuni. Jika sebelum itu ia hanya dapat menempatkan 2,000 tahanan dalam keadaan selesa, bayangkan apabila tiba-tiba bilangan tahanan mencecah sehingga 6,550 orang.

Banduan terpaksa mengambil giliran untuk tidur. Ada juga yang terpaksa tidur berdiri.

Mungkin ramai yang memikirkan Azril memiliki hati kering kerana tidak gentar biarpun berdepan dengan gangguan seperti itu, tetapi jelas Azril, pengalaman mengambil gambar mangsa kemalangan dan pembunuhan membuatkan dirinya tidak terlalu terjejas dalam 'ekspedisi' ini.

Catat Ulasan

0 Ulasan