Mewahnya Hidup Jho Low Di Hong Kong

Mewahnya Hidup Jho Low Di Hong Kong

Loading...
Mewahnya Hidup Jho Low Di Hong Kong

Ahli perniagaan, Low Taek Jho yang merupakan suspek utama dalam skandal 1MDB dilapor tinggal bersama keluarganya di sebuah pangsapuri mewah di Hong Kong.

Menurut South China Morning Post (SCMP), Low dan keluarganya menetap di apartmen Pacific Place, yang terletak di Admiralty, Hong Kong.

 "Low berada di Hong Kong selama beberapa bulan. Mereka berpindah dari Pacific Place dan pergi ke Macau beberapa hari yang lalu, meskipun Low menjadi subjek dalam nota merah Interpol," lapor akhbar yang berpangkalan di Hong Kong itu dengan memetik sumber sebagai berkata.

Menurut akhbar itu, Low mungkin menyembunyikan diri di tempat yang boleh dijejaki kerana tiada permintaan rasmi dari Malaysia dan Singapura untuk menangkapnya pada masa itu, walaupun dia berada dalam senarai notis merah Interpol.

 "Polis Hong Kong tidak mempunyai kewajipan untuk menangkapnya, walaupun ada notis merah Interpol dikeluarkan terhadapnya. Mereka mempunyai kewajipan jika ada permintaan rasmi dari negara asal, tetapi tidak ada," sumber itu dipetik sebagai berkata.

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Low dipercayai melarikan diri ke Macau apabila pasukan polis Malaysia tiba di Hong Kong.

Laporan SCMP menyebut Hong Kong dan Malaysia memiliki perjanjian bagi penyerahan pelarian tetapi tiada perjanjian ekstradisi antara Macau dan Malaysia.

Akhbar itu juga melawat pangsapuri berkenaan tetapi penyambut tetamu mendakwa mereka tidak dapat mengenal pasti Low.

Mereka juga mendakwa tiada nama sedemikian didaftarkan di pangsapuri mewah berkenaan.

 "Menurut beberapa laman web, purata kos sebuah bilik tidur dengan keluasa 1,220 kaki persegi di bangunan itu adalah HK $ 84,000 sebulan (RM43,200) manakala pangsapuri tiga bilik lebih 2,650 kaki persegi boleh mencecah HK $230,000 (RM118,400) sebulan, " jelas laporan itu.

Catat Ulasan

0 Ulasan