Jokowi tergelak besar, kenang pengalaman naik Proton dipandu Mahathir

Jokowi tergelak besar, kenang pengalaman naik Proton dipandu Mahathir

Loading...
Jokowi tergelak besar, kenang pengalaman naik Proton dipandu Mahathir
Jokowi yang tidak dapat menahan rasa lucu itu dilihat ketawa besar tatkala Dr Mahathir berkongsi kisah itu. - Foto Bernama



JAWA BARAT: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau mesra dipanggil Jokowi ketawa besar tatkala mengimbas kembali kenangan menaiki Proton Iriz yang dipandu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2015.

Perdana Menteri yang menceritakan semula detik itu berkata beliau khuatir membawa seseorang yang bergelar presiden di litar uji dengan kelajuan 180 kilometer sejam.

"Kita (Mahathir dan Jokowi) juga telah bincang berkenaan dengan lawatan 'bapa presiden' (Jokowi) pada 2015. Saya rasa takut apabila memandu beliau dalam kereta itu.

"Pada masa itu, saya bukan perdana menteri. Saya hanya menjadi pemandu uji untuk Proton sahaja dan kita menggunakan litar uji.

"Seperti mana kita tahu, litar uji bukan semuanya mendatar, tetapi ia sedikit condong tetapi 'bapa presiden' (Jokowi) tidak mengadu apa-apa. Alhamdulillah," katanya dalam kenyataan media bersama di Istana Presiden di Bogor, di sini hari ini.

Jokowi yang tidak dapat menahan rasa lucu itu dilihat ketawa besar tatkala Dr Mahathir berkongsi kisah itu.

Semasa lawatan Jokowi ke Malaysia pada 2015, beliau telah melawat kilang Proton di Shah Alam selain menyaksikan teknologi serta kajian dan pembangunan (R&D) yang dilakukan Proton.

Selain itu, satu perjanjian persefahaman turut ditandatangani antara Proton dan PT Adiperkasa Lestari bagi merealisasikan cita-cita republik berkenaan untuk memiliki kereta nasional sendiri.

Namun, menurut Dr Mahathir, usaha itu tidak dapat diteruskan disebabkan beberapa kekangan.

"Pada masa lawatan itu, kita ada berbincang tentang kemungkinan kita membangunkan kereta Malaysia-Indonesia yang boleh diguna seluruh ASEAN.

"Bagaimanapun, kerana sebab tertentu, kita tidak dapat teruskan dengan projek ini. Namun, sekarang ini kita berhajat untuk menghidup semula projek ini," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan