Akaun bank empat anak Najib dibekukan, termasuk yang sedang kanser tahap empat

Akaun bank empat anak Najib dibekukan, termasuk yang sedang kanser tahap empat

Loading...
Akaun bank empat anak Najib dibekukan, termasuk yang sedang kanser tahap empat

PETALING JAYA: Sehari selepas anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak mengadu tentang pembekuan akaun banknya, tiga lagi anak lelaki bekas perdana menteri itu mendakwa mereka mengalami nasib yang sama.

Presiden badan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno, Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau dimaklumkan bahawa akaun Nooryana Najwa, Mohd Norashman, Mohd Nizar dan Puteri Norlisa dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Akaun itu dibekukan sehubungan dengan siasatan terhadap penglibatan Najib dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kemudian, Lokman membuat dua laporan polis di Dang Wangi.

Laporan pertama adalah ke atas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuat tuduhan secara berterusan terhadap Najib dari 2015 hingga 2018, mendakwa beliau telah mencuri wang sebanyak RM2.6 bilion daripada 1MDB.

Laporan kedua adalah ke atas ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull kerana membekukan lebih daripada 400 akaun bank, termasuk keluarga terdekat Najib.





Nooryana Najwa.

Najib pada Rabu menjalani perbicaraan bagi tiga tuduhan jenayah pecah amanah dan satu lagi tuduhan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

"Ini tidak berperikemanusiaan, dan apa yang membuat keadaan menjadi lebih teruk adalah saya diberitahu bahawa Puteri Norlisa tidak sihat dan memerlukan akses kepada akaunnya untuk membayar rawatan perubatannya," kata Lokman, yang juga ahli majlis tertinggi Umno.

Dalam laman Facebook yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada Khamis, Mohd Nizar mengadu tentang kesukaran yang dihadapinya.

"Akaun bank adik-adik saya dan saya (sic) telah dibekukan. Tidak boleh membayar bil," tulisnya pada Khamis, sehari selepas Najib dituduh.

Pada hari yang sama, Malaysiakini melaporkan bahawa akaun bank Mohd Norashman turut dibekukan, manakala laman blog The Third Force melaporkan pada Jumaat bahawa akaun bank Puteri Norlisa juga mengalami nasib yang sama.

Blog tersebut turut mendakwa, Puteri Norlisa disahkan menghidapi kanser tahap empat dan memerlukan wang untuk membayar bil rawatannya.

Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada pembantu dan peguam Najib ketika dihubungi The Star.



Paparan skrin daripada blog The Third Force pada Jumaat.



Catat Ulasan

0 Ulasan