Breaking News

Aqira rebah, darah mengalir di kepala

Loading...
loading...
Aqira rebah, darah mengalir di kepala



KOTA TINGGI: “Kami difahamkan beberapa serpihan bekas mercun yang meletup dan terpelanting terlekat di kepala Aqira hingga ia meragut nyawanya,” kata guru sekolah memandu, Mohd Saad Yusuf, 47, di sini, hari ini.

Muhammad Saad berkata, dia tidak sangka percutian Aidilfitri di kediaman kampung isterinya, Azalina Salamat, 43, di Felda Papan Timur di sini, sejak 9 Jun lalu berakhir dengan tragedi apabila keluarganya kehilangan anak ketiganya.

Menurutnya, Nuraqira Khaeefa Muhammad Saad atau mesra dengan gelaran Aqira meninggal dunia pada 7 malam semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Berkongsi berkaitan nasib malang menimpa Aqira yang juga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kota Masai, Pasir Gudang, Muhammad Saad berkata, ia berlaku kira-kira 8 malam pada malam raya iaitu 14 Jun.

Katanya, ketika itu Aqira bersama tiga sepupunya berada di halaman rumah untuk mengutip sampah sebagai persiapan menyambut raya.

“Ketika kejadian kami terdengar bunyi letupan kuat umpama meriam. Bunyi kuat berkenaan juga mengakibatkan gegaran tingkap dan pintu rumah.

“Ahli keluarga yang meninjau di luar rumah terkejut mendapati Aqira dalam keadaan rebah dan darah mengalir daripada kepalanya.

“Saya difahamkan ia berpunca daripada serpihan bekas mercun juga terpelanting dari rumah penduduk lain ke halaman rumah kami hingga ia terkena pada bahagian kiri kepala Aqira,” katanya.

Muhammad Saad berkata, Aqira dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke HSA pada hari sama.

Menurutnya, Aqira yang dalam keadaan koma bertambah kritikal termasuk degupan jantung semakin lemah mulai kelmarin sebelum menghembus nafas terakhir pada 7 malam semalam.

“Terdapat beberapa petanda kejadian berlaku misalnya Aqira menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp meminta saya membelikan mercun selain turut melakar gambar kepalanya.

“Kami sudah membeli beberapa baju raya dan kasut raya bagi Aqira dan tidak sangka dia tidak berpeluang menggunakannya kerana arwah kembali menghadap Allah.

“Jenazah Aqira yang tiba ke rumah kampung isteri malam tadi selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur pada 9 pagi tadi,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Sentral pada 18 Jun 2018.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Azhar Salamat, 47, berkata kejadian berkenaan sepatutnya dijadikan pengajaran bagi semua golongan.

Menurutnya, keluarganya juga berharap orang ramai tidak melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap keluarganya.

“Adik ipar saya (bapa mangsa) hanya berserah kepada Allah atas kecuaian insan yang meragut nyawa anaknya dan tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak.

“Apa yang pasti kami akan merindui Aqira selama-lamanya kerana arwah adalah seorang yang periang dan rapat dengan ahli keluarga termasuk sepupunya.

“Beberapa jam sebelum kejadian arwah amat gembira kerana mampu berpuasa penuh dan menyatakan dia tidak sabar mahu meraikan Aidilfitri termasuk memakai baju raya. Semoga arwah tenang di situ di sisi Allah,” katanya.

Tiada ulasan

jerit kat sini