Trump Ke White House

Trump Ke White House

Loading...
Trump Ke White House

TRUMP (tengah) bersama isteri, Knauss dan anak bongsunya Barron.



“YOU are fired.” Ini adalah perkataan yang sering terpacul daripada mulutnya ketika menyingkirkan peserta program realiti pencarian pekerja, The Apprentice.
Frasa itu turut melonjakkan nama Donald John Trump, 70, atau lebih popular dengan panggilan The Donald atau Donald Trump di sebalik karakternya yang tegas selain terkenal sebagai taikun dunia perniagaan hartanah.
Meskipun berdepan dengan pelbagai skandal kehidupan dan jatuh bangun dalam perniagaan, pola kerjaya Trump kini beralih pada satu fasa baharu selepas beliau berjaya mengisi kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 mewakili parti Republikan baru-baru ini.
Anak jati Jamaica Estates, Queens, New York yang lahir pada 14 Jun 1946 itu berjaya mengakhiri legasi kepimpinan parti Demokrat selama dua penggal oleh Presiden semasa, Barack Obama, 55, selepas Trump mengalahkan pencabarnya, Hillary Clinton, 69.
Kemenangan itu menutup mulut pengkritik yang meragui kredibilitinya kerana didakwa tidak mempunyai pengalaman politik untuk memimpin negara tersebut.
“Kini, tiba masanya untuk rakyat AS mengikat jurang perbezaan dan kami perlu bersama sebagai bangsa yang bersatu padu,” katanya dalam ucapan selepas diumumkan sebagai Presiden baharu AS.
Pilihan raya Presiden dan wakil Presiden Amerika Syarikat adalah pilihan raya tidak langsung buat rakyat Amerika Syarikat yang berdaftar untuk mengundi di salah satu daripada lima puluh negeri.
Nakal
Pilihan raya yang berlaku empat tahun sekali itu menentukan calon Presiden pilihan parti dengan majoriti undi keseluruhan.
Walaupun kaji selidik pra-pilihan raya menjangkakan kelebihan bakal berpihak kepada Clinton, kempen Trump ternyata lebih menambat hati penduduk AS.
Berketurunan Jerman sebelah bapa dan Scotland sebelah ibu, datuk dan nenek Trump berasal dari benua Eropah. Bapanya Fred Trump dilahirkan di Queens, New York dan menjadi salah satu pemaju hartanah terbesar di situ. Membesar dalam lingkungan ahli perniagaan, personaliti tegas dan berdisiplin, anak keempat daripada lima adik-beradik itu dibentuk melalui pendidikan ketenteraan di Akademi Tentera New York sejak berumur 13 tahun ekoran berkelakuan nakal di sekolah harian biasa.
Trump cemerlang dalam pendidikan serta aktiviti sosial. Beliau merupakan bintang atlet dan ketua pelajar di akademi itu sebelum tamat pengajian pada tahun 1964.
Beliau seterusnya menyambung pengajian di Universiti Fordham sebelum berpindah ke Wharton School of Finance di University of Pennsylvania dua tahun selepas itu untuk menggenggam ijazah dalam bidang ekonomi pada tahun 1968.
Langkah Trump dalam dunia hartanah bermula selepas beliau mengikut jejak langkah bapanya, mendiang Fred Trump.
Beliau sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak zaman belajar sebagai pekerja sambilan di syarikat bapanya sebelum bekerja sepenuhnya selepas tamat belajar.
Pada tahun 1971, Trump telah diberi kepercayaan untuk mengambil alih syarikat seterusnya mengubah nama organisasi itu kepada Trump Organization. Beliau juga berpindah ke kediaman baharu di Manhattan, AS dan mula mencipta hubungan dengan individu-individu berpengaruh.
Bapanya yang meninggal dunia pada tahun 1999 merupakan inspirasi kepada Trump untuk menyambung legasi keluarga.
Rancangan realiti
Percaya dengan kemampuan ekonomi bandar, Trump memulakan langkah berani, melibatkan diri dengan projek bangunan besar di Manhattan serta menawarkan pulangan keuntungan tinggi melalui rekaan seni bina yang menarik. Tahun 1978 telah memberi sinar buat Trump apabila beliau berjaya menaikkan status kawasan landasan kereta api barat Manhattan sebagai pusat konvensyen meskipun negara itu berdepan dengan ekonomi yang lemah.
Jatuh bangun dalam dunia perniagaan tidak melemahkan semangatnya walaupun beliau dilanda pelbagai kontroversi. Pembukaan hotel Grand Hyatt pada tahun 1980 dengan rekaan seni bina moden oleh Der Scutt telah melonjakkan namanya sebagai pemaju terbaik di Manhattan ketika itu.
Rentetan itu, empayar perniagaan Trump telah berkembang bukan sahaja dalam dunia hartanah tetapi beliau turut menubuhkan pelbagai cabang perkhidmatan dan perniagaan seperti pendidikan, kebajikan, hiburan serta ratu cantik termasuk menjadi selebriti sebagai hos rancangan realiti The Apprentice.
Di sebalik lensa ahli perniagaan, Trump berkahwin dengan Ivana Zelnickova Winklmayr, 68, model fesyen New York dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Donald John Trump Jr, 38, Ivanka Trump, 35 dan Eric Trump 32. Pasangan ini bercerai pada tahun 1992.
Pada tahun 1993 Trump kemudiannya berkahwin dengan seorang pelakon Marla Maples, 53, sebelum berkahwin buat kali ketiga pada tahun 2005 bersama model Slovenia Melania Knauss, 46. Hasil perkahwinan ketiga itu, mereka dikurnikan anak lelaki mereka, Barron William Trump, 10. Pada 16 Jun 2015, Trump telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden atas tiket parti Republikan untuk pilihan raya 2016.
“Saya secara rasmi bertanding untuk Presiden Amerika Syarikat dan kita akan menjadikan negara ini lebih hebat.
“Saya akan menjadi Presiden yang belum pernah ada sebelum ini,” kata Trump semasa pengumuman beliau di Menara Trump, New York.
Kemenangan utama Trump sebagai wakil rakyat pada Mei 2016 di Indiana telah meraih pencalonan Presiden Parti Republikan.
Meskipun pemilihan Trump dipertikaikan oleh ramai pihak dalam parti, pada Konvensyen Kebangsaan Republikan di Cleveland beliau telah dinominasi sebagai calon Presiden pada Julai 2016.
Selepas menerima pencalonan tersebut, Trump seterusnya menggariskan isu yang akan ditangani sekiranya beliau dilantik sebagai Presiden merangkumi masalah keganasan di Amerika, ekonomi, imigresen, perdagangan, keganasan dan pelantikan Hakim Mahkamah Agung.
“Rancangan saya akan bermula dengan keselamatan di rumah yang bermaksud kawasan kejiranan, sempadan yang selamat dan perlindungan daripada keganasan. Tidak akan ada kemakmuran tanpa undang-undang.
“Kami akan membina dinding sempadan yang hebat untuk menghalang kemasukan pendatang tanpa izin, menghentikan kumpulan-kumpulan keganasan, dan membendung kemasukan ubat haram ke dalam negara ini,” jelasnya yang juga Presiden pertama AS yang tidak pernah berkhidmat dalam sektor ketenteraan.
Tambah beliau, pihaknya juga akan melindungi rakyat lesbian, gay, biseksual dan transgender di Amerika Syarikat daripada keganasan dan penindasan ideologi asing.

Catat Ulasan

0 Ulasan