Setiap Kali Sedar,Nik Aziz Tanya Waktu solat, Mahu Dengar Bacaan Al-Quran

Setiap Kali Sedar,Nik Aziz Tanya Waktu solat, Mahu Dengar Bacaan Al-Quran

Loading...
Kuala Lumpur: “Ketika bercakap dengannya, saya sampaikan salam daripada beberapa pemimpin parti dan negara yang menghubungi saya. Saya nyatakan bahawa seluruh rakyat Malaysia sedang mendoakan untuk ayahanda.


“Ayahanda dalam wajah ceria menjawab, Alhamdulillah, moga kembali sihat," kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam coretannya di laman Facebook malam ini.

Menurutnya, ayahnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan baik.

“Doktor berusaha memastikan ayahanda minum lebih banyak untuk menambah tenaga dan garam dalam tubuh yang agak menurun.

“Beliau acap kali sedar, mampu bertanya khabar. Setiap kali sedar beliau akan bertanya mengenai waktu solat dan minta diperdengarkan bacaan al-Quran oleh ahli keluarga dan beliau beberapa kali menegur bacaan yang silap,” katanya.

Nik Abduh berkata, ada tetamu yang hadir berpeluang berkomunikasi dengan ayahnya.
Sebelum ini akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pagi tadi, bekas Menteri Besar Kelantan itu bertambah baik apabila sedar sepenuhnya.
Beliau sempat menunaikan solat Subuh dan bersarapan dengan minum teh.

Sudah mampu tunai solat Subuh


Keadaan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar kecil), 84, bertambah baik apabila dilaporkan sudah sedar dan mampu menunaikan solat Subuh.
Nik Abdul Aziz juga sempat mengambil sarapan dan minum pagi sendiri pagi semalam.
Anak beliau, Nik Mohammad Abduh berkata, beliau bersyukur kerana bapanya kini semakin stabil dan boleh bercakap.
“Alhamdulillah, beliau pagi ini (semalam) telah menunjukkan respons yang begitu baik. Beliau dapat minum air serta bercakap. Banyak juga air teh O yang diteguknya.
“Bapa juga sempat bertanyakan sejak bila dia tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Wad 2 Delima, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.
Nik Mohammad Abduh memberitahu, pihak doktor turut meminta ahli keluarga menderma darah sebagai persediaan jika keadaan memerlukan.

Catat Ulasan

0 Ulasan