Loading...
Katil pesakit diletakkan di kawasan pejalan kaki di wad Hospital Kajang.
Sudah bertahun-tahun disuarakan rakyat supaya Hospital Kajang diberi bangunan tambahan. Sebabnya, keadaan di hospital yan terletak di tengah bandar Kajang ini sudah semakin sesak dan ramai pesakit yang terpaksa tidur di kawasan pejalan kaki.
Sampai bila masalah ini akan diselesaikan?
Malah, beberapa menteri telah datang membuat tinjauan dan berjanji akan memandang serius keadaan di hospital Kajang tetapi kesudahannya, mereka hanya datang memandang dan tidak berbuat apa-apa.
Ketua Pemuda UMNO Hulu Langat, Mohd Halim Wahab ketika ditemui berkata, Hospital Kajang sepatutnya sudah lama dipindahkan ke tempat lain dengan bangunan baharu yang lebih selesa.
"Keadaan sekarang sudah terlalu sesak dan doktor sendiri nak berjalan di dalam wad pesakit pun terpaksa berhimpit-himpit dengan katil pesakit yang tidak lagi kemas susunannya.
"Sampai dekat pejalan kaki pun ada katil pesakit disebabkan wad telah penuh dan ini adalah sesuatu yang tidak sihat untuk mendapatkan rawatan apa lagi jika pesakit terkena penyakit yang mudah berjangkit," katanya.
Tambahnya, walaupun ramai warga asing yang turut memenuhi ruang wad hospital, rakyat tempatan terpaksa bersaing untuk mendapatkan tempat.
"Bukan kita hendak mengenepikan pesakit warga asing tetapi melihatkan jumlah mereka yang ramai, kesannya kena kepada rakyat kita sendiri.
"Melainkan ada bangunan baharu yang lebih besar, kesesakan seperti ini boleh diatasi dan pesakit akan lebih selesa mendapat rawatan tidak kiralah dia rakyat tempatan atau warga asing," ujarnya.
Katanya lagi, sesuatu perlu dilakukan pada kadar segera termasuklah pendirian dan kedudukan Ahli Lembaga Pelawat Hospital yang dilihat tidak berbuat apa-apa untuk menangani masalah yang boleh dianggap kritikal ini.
"Bukan mencari kelemahan sesiapa tetapi amanah yang diberikan kepada mereka yang terlibat dengan hospital ini secara langsung perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
"Janganlah bangga pegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital tetapi pada masa sama, tak buat apa-apa," kata Mohd. Halim.
Melihatkan kepada kedudukan Hospital Kajang sendiri, lokasi baharu perlu dicari, tambah Mohd Halim.
"Sudahlah wad penuh sesak, pelawat nak datang pun susah nak cari tempat letak kereta dan kalau silap letak, nanti polis akan datang tinggalkan surat saman.
"Tolonglah buat sesuatu dan fikirkanlah masalah ini dengan lebih serius kerana setakat ini, rasanya hanya Hospital Kajang sahaja yang tertinggal daripada segala keselesaan yang sepatutnya dinikmati oleh semua pesakit," ujarnya.
MG
0 Ulasan
jerit kat sini