Di Usia Tua,Kenapa Makcik Salmah Takut Keliling Kaabah?

Di Usia Tua,Kenapa Makcik Salmah Takut Keliling Kaabah?

Loading...

ASSALAMUALAIKUM.



Perasaan takut, bimbang dan cemas sering bermain dalam fikiran serta sanubari bakal tetamu Allah SWT.



Sukar menepis perasaan itu malah kadangkala jelas terpancar pada wajah mereka yang bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Begitu juga dengan saya ketika kali pertama diundang sebagai tetamu Allah bagi menunaikan ibadat haji. Bimbang, kalut dan tidak keruan. Terasa semua yang dibuat serba tidak kena, lebih-lebih lagi apabila mendengar pelbagai cerita dan pengalaman mereka yang sudahpun berpeluang menghadap Baitullah.
Saya sering mengadu pada ibu jika ada yang bercerita pengalaman pahit di kota suci, namun kebimbangan saya berakhir apabila bapa mengatakan Allah tidak kejam.Hanya tiga perkataan yang dilafazkan dengan penuh tegas menyebabkan saya tidak mahu memikirkan perkara bukan-bukan dan membimbangkan.

 Malah, redha dengan setiap ketentuan sama ada sebelum berangkat mahupun ketika berada di kota suci.
Kisah kali ini mengenai seorang warga tua berusia 69 tahun yang mengerjakan ibadat umrah untuk kali pertama pada 2011. Bertubuh kecil dan berkulit sawo matang berasal dari Negeri Sembilan.

Makcik Salmah tidak ditemani anak menantu ataupun cucu tetapi turut bersama-samanya saudara mara seramai 19 orang berusia dari belasan tahun hingga 50-an.
Jika dilihat daripada mata kasar dengan jumlah saudara mara yang ramai itu, tidak menjadi masalah dan bebanan untuk makcik Salmah jika timbul sebarang kesulitan di Tanah Suci.
“Hajah, tolong tengok-tengokkan mak saya,” pinta anak makcik Fatimah pada saya ketika bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum rombongan kami masuk ke Balai Berlepas Antarabangsa di aras lima.
“Baiklah. InsyaAllah. Saya tengok-tengokkan. Jangan risau, saudara mara makcik Fatimah pun ramai,” balas saya memberi jaminan.
Makcik Fatimah nampak cergas dan tiada masalah kesihatan yang boleh membimbangkan serta memerlukan rawatan susulan di kota suci.
Kami menaiki pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) dan tiba di terminal haji di Jeddah kira-kira lapan jam kemudian. Selepas daftar masuk selesai, semua jemaah tidak membuang masa untuk bersolat di Masjid Nabawi.

Jemaah menunggu bas untuk meneruskan perjalanan ke Makkah.
Sebagaimana lazim, kami berziarah dan meningkatkan ibadat di Madinah. Segala-galanya berjalan lancar dan saya tidak nampak sebarang kekusutan dan masalah di kalangan jemaah seramai 90 orang.
Selepas empat hari tiga malam di Madinah, tiba masa untuk menyempurnakan umrah. Semua jemaah kelihatan berseri-seri berihram serba putih sebelum melafaz niat di Masjid Bir ‘Ali. Perjalanan lancar ke Makkah dan keadaan terkawal walaupun jumlah jemaah ramai.
Jemaah ketika melafazkan niat umrah di Masjid Bir Ali.
Alhamdulillah setelah tiba di Makkah, kami menyempurnakan rukun umrah seterusnya iaitu bertawaf, bersaie dan bertahalul. Tidak terlintas di fikiran saya untuk bertanya sama ada semua jemaah sudah menyempurnakan umrah atau tidak.
Saya menganggap semua jemaah selesai menyempurnakan rukun umrah sehinggalah saya didatangi oleh sanak saudara makcik Salmah yang meminta saya memujuk beliau supaya menunaikan tawaf, saie dan tahalul.
“Hajah, tolonglah pujuk makcik Salmah. Dia tak nak pergi masjid sejak mula kita datang,” rayu Latifah, seorang daripada sanak saudara makcik Salmah. Terkejut saya dibuatnya.
“Hah? Makcik Salmah dalam bilik sahaja? Dia tak pergi Masjidil Haram lagi ke?,” soal saya seperti tidak percaya.
“Betul. Puas dah kami pujuk dia tetapi dia cakap takut nak ke masjid. Takut nak tawaf,” ujar Latifah.
“Kenapa dia takut?” soal saya.
“Makcik Salmah cakap dia mimpi menakutkan. Nampak lembaga hitam. Ada orang cuit-cuit jari kakinya. Entahlah hajah. Tolonglah hajah pujuk dia ke masjid,” rayu Latifah.
“Maknanya, makcik Salmah tak sempurnakan umrah dan masih dalam ihram. Ya Allah, tak boleh macam ni,” balas saya risau.
“Betul hajah. Masih dalam ihram tapi dia dah langgar pantang larang ihram kerana mandi guna sabun dan cuci pakaian semua. Kami semua dah pujuk tetapi dia tetap tak nak pergi masjid,” cerita Latifah terus.
“Sebentar lagi saya naik dan jumpa makcik Salmah. Terima kasih.” balas saya.Tanpa membuang masa sesudah bersarapan, saya naik ke bilik makcik Salmah dan memujuknya untuk menyempurnakan umrah.
“Makcik kita pergi masjid ye. Makcik jangan takut, tak ada apa-apa. Jangan risau. Saya temankan makcik tawaf. Makcik buat tawaf umrah saya buat tawaf sunat. Jangan fikir macam-macam. Allah sayang kita. Makcik jangan takut,” pujuk saya penuh yakin.

Suasana sekitar Kaabah pada waktu malam.
Dia diam seketika. Saya terus memujuknya berkali-kali dan menasihatkannya agar tidak mengendahkan mimpinya kerana itu semua mainan tidur.
“Hajah dah tawaf umrah ke?” soal makcik Salmah.
“Dah. Hari pertama yang kita sampai. Dua hari lalu. Tak mengapa. Saya tawaf sunat nanti,” pujuk saya terus.
“Masa saie nanti macam mana? Hajah ada ke?” tanya makcik Salmah lagi.
“Waktu saie saya tunggu makcik di Bukit Marwah. Kita upah orang untuk tolak makcik. Bayaran pun tak mahal. Tak sampai RM100 duit kita,” balas saya.
Makcik Salmah mengangguk. Syukur Alhamdulillah. Akhirnya dia mahu ke Masjidil Haram. Saya berasa lega.
Selepas solat Maghrib, saya membawa makcik Salmah  ke perkarangan Kaabah untuk memulakan tawaf. Biarpun sesak, pusingan tujuk kali dipermudahkan.


Selepas minum air zamzam, saya memimpin makcik Salmah ke kawasan saie dan mencari anak-anak muda yang menyediakan perkhidmatan menolak jemaah uzur.
Dengan bayaran SR70, makcik Salmah ditolak dengan kerusi sorong, manakala saya pula menunggunya di Bukit Marwah.

Sementara menunggu makcik Salmah selesai saie, azan Isyak berkumandang dan semua jemaah di Masjidil Haram mengambil tempat meluruskan saf untuk menunaikan solat fardu itu secara berjemaah.
Selesai saie, makcik Salmah diserahkan kepada saya semula yang sedia menunggu di kawasan Bukit Marwah. Saya mengguntingkan rambut makcik Salmah. Sempurnalah rukun umrah makcik Salmah setelah bertahalul.
“Terima kasih hajah. Terima kasih,” ucapnya dengan deraian air mata. Saya mengangguk lantas memeluknya dengan linangan air mata.
Kami berjalan pulang ke Hotel Saraya Ajyad. Saya menghantar makcik Salmah hingga ke muka pintu bilik. Sanak saudara saling berpandangan apabila melihat makcik Salmah memasuki pintu bilik.
“Alhamdulillah, makcik Salmah dah selesaikan umrahnya,” ujar saya ringkas.
“Terima kasih hajah. Kami 19 orang pun tak dapat pujuk makcik Salmah seorang untuk ke masjid. Terima kasih,” ucap sanak saudara makcik Salmah yang kelihatan begitu terharu.
“Alhamdulillah. Tak ada apa-apa yang ditakutkan oleh makcik Salmah tadi. Dia ok sahaja. Esok kita tanya ustaz pasal bayaran dam sebab makcik Salmah langgar pantang larang ketika dalam ihram,” pesan saya sebelum berlalu pergi.
Hakikatnya, kisah ini bukan membuka aib makcik Salmah tetapi boleh dijadikan iktibar kepada setiap umat Islam yang mahu berkunjung ke Baitullah.  Ketakutan yang keterlaluan permainan syaitan.  Justeru, perbanyak zikrullah dan yakinlah Allah tidak kejam kepada setiap hamba-Nya.
Oleh: RAIHANAH ABDULLAH

Catat Ulasan

0 Ulasan