Loading...
Media New Zealand telah menamakan diplomat Malaysia yang dituduh terbabit dalam satu kes kesalahan seksual selepas mahkamah tinggi di sana menarik balik perintah melarang identitinya didedahkan.
Portal berita stuff.co.nz menamakan diplomat tersebut sebagai Muhammad Rizalman Ismail, yang memegang pangkat tentera sebagai pegawai waran.
Menurut laporan itu, dia adalah seorang kakitangan pembantu dengan portfolio pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Portal berita itu berkata Robert Stewart, peguam bagi Fairfax Media, yang merayu perintah larangan itu ditarik balik, berkata Kementerian Luar Malaysia dijadual membuat kenyataan mengenai perkara itu hari ini.
Oleh itu, katanya, media New Zealand akan berada dalam kedudukan tidak adil jika ia tidak dapat mendedahkan nama seorang lelaki yang mungkin didedahkan di luar negara.
Muhammad Rizalman, yang berusia dalam lingkungan 30-an, tidak diwakili peguam di pendengaran itu tetapi peguam Barbara Hunt telah dilantik oleh mahkamah untuk membantu jika perlu.
Muhammad Rizalman pertama kali muncul di mahkamah daerah pada 10 Mei di mana dua Hakim membenarkan perintah larangan tersebut. Seorang pendaftar mahkamah meneruskan perintah tersebut pada 15 Mei apabila polis berkata isu imuniti diplomatik sedang diteliti.
Kes itu didengar Hakim Mahkamah Daerah Bruce Davidson pada 30 Mei apabila perintah larangan itu diteruskan.
Sementara itu, polis New Zealand tidak menentang rayuan itu kerana tidak ada hubungan antara defendan dan mangsa yang dikatakan itu, jadi tiada risiko jika dia dikenal pasti jika defendan dinamakan.
0 Ulasan
jerit kat sini