Loading...
Kisah sedih dan menyayat hati seorang remaja OKU melanda setiap perasaan rakyat Malaysia.
Setiap anggota masyarakat di Malaysia patut rasa bersalah. Sekurang-kurangnya bersimpati dengan nasib yang menimpa remaja malang berkenaan.
Dan pastinya ada banyak lagi kes-kes yang sebegini, yang tidak ‘dicungkil’ atau hanya didiamkan sahaja oleh anggota masyarakat Malaysia yang kononnya bersikap ‘tidak boleh menjaga tepi kain orang lain’. Ramai yang mengamalkan sikap ‘ada telinga dengar dan ada mata tengok’.
Ibu bapa remaja OKU malang ini mesti dipersalahkan. Namun banyak pihak lagi yang juga sepatutnya rasa bersalah terutamanya pihak yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat. Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya dan NGO-NGO lain yang sepatutnya merasakan diri mereka bertanggungjawab.
Banyak NGO di negara ini lebih mementingkan hal yang bersangkut-paut dengan hal-hal yang remeh tetapi tidak merasa bertanggungjawab atas hal-hal seperti yang menimpa Firdaus Dullah.
Dan diperhatikan bahawa pihak-pihak bertanggungjawab hanya peka dan perihatin terhadap rakyat apabila menjelangnya sesuatu pilihan raya di sesuatu tempat. Pada ketika itu akan berduyun-duyunlah para pemimpin kita mengunjungi dan memberikan apa saja bantuan yang perlu kepada anggota masyarakat yang memerlukan disamping masyarakat yang tidak begitu mememerlukan sesuatu tetapi ‘dilayan’ juga sewajarnya. Lebih ‘hebat’ lagi ‘layanan’ yang diberikan apabila berada dihadapan kamera TV. Pada ketika itulah para pemimpin kita akan ‘berlakon’ dan menunjukkan bakat lakonan yang istemewa yang boleh mengalahkan laonon seniman agung P.Ramlee atau Saadiah.
Rancangan Berita Astro ( 23 Jun 214) telah memaparkan satu ‘investigative reporting’ yang agak baik dihidangkan kepada rakyat. Alangkah terperanjatnya, apabila didedahkan kisah bagaimana jiran-jiran keluarga Firdaus Dullah tidak tahu menahu langsung tentang derita yang dialami oleh keluarga malang berkenaan dan hanya dapat mengetahuinya apabila didedahkan kisah sedih ini oleh media massa.
Lantas aku teringatkan filem ‘Bujang Lapuk’ arahan P.Ramlee.
Walaupun P. Ramlee berjaya dengan sifat kejenakaan yang memberikan hiburan yang cukup memuaskan penonton dari segenap lapisan masyarakat, namun masyarakat tidak dapat menilai dan menghargai mesej yang ingin disampaikan oleh P.Ramlee.
Kisah kerukunan masyarakat yang dipaparkan oleh P. Ramlee sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat Malaysia.
Filem ‘Bujang Lapuk’ telah memaparkan kisah masyarakat sederhana yang tinggal dibandar yang kehidupan yang agak sederhana pada tahun-tahun 60an. Mereka menyewa bilik-bilk dan berkongsi dapur dan dapat hidup secara harmoni.
Mereka ambil peduli tentang kebahagiaan dan juga penderitaan yang dialami oleh jiran tetangga tanpa mengira bangsa dan agama. Kisah sekeluarga India yang sentiasa bertengkar dipaparkan dalam filem berkenaan dan bagaimana jiran tetangga berperanan untuk meredakan pertengkaran. Dan cara penyelesaiannya juga membayangkan suasana harmoni dalam sesebuah masyarakat.
Masyarakat Melayu lama sentiasa mementingkan suasana kejiranan yang harmoni. Peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’, ‘ bukit sama didaki dan bukit sama dituruni’ memberikan erti bahawa sememangnya masyarakat Melayu lama sentiasa bersatu dan tolong menolong antara satu sama lain – ‘ hati gajah sama dilapah, hati kuman sama-sama dicecah’.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa suasana seperti yang dialami oleh masyarakat Melayu lama itu tidak mugkin akan berlaku dalam Kurun ke21 disebabkan oleh beberapa faktor yang menghalang suasana seperti itu berlaku. Masyarakat moden kini dengan berbagai dugaan ‘pancaroba’, pastinya tidak dapat berfungsi sebagaimana masyarakat awal Kurun ke 20.
Namun begitu fikiran aku juga terlintas kepada kisah bagaimana sebuah masyarakat Melayu di East London yang berfungsi sebagaimana masyarakat Melayu dalam tahun-tahun 1950an. Kisah yang aku akan paparkan adalah merupakan kisah benar dan setiap watak yang aku paparkan adalah nama sebenar dan masih berada dan tinggal di East London.
Kisah berlaku dalam tahun 2012. Anak aku yang sudah mendapat permastautin tetap di London mendapat kemalangan yang agak serious. Beliau dimasukkan ke hospital. Selama seminggu beliau dibawah jagaan pihak hospital dan juga dibawah jagaan ‘keluarga Melayu’ yang tinggal di East London – Pak Mat, Tajuddin, Pak Ikhsan, Pak Hamzah ,Mak Cik Hasnah dan lain-lain.
Aku kagum dengan kerjasama dan pertolongan yang diberikan oleh keluarga Melayu kepada anak aku yang tinggal di sini. Pertolongan yang diberikan bukan sekadar menjenguk di hospital tetapi lebih dari itu. Menghantar makanan, membersihkan rumah, membasuh dan mencuci pakaian anak aku yang terlantar – uzur. Kekaguman aku melepasi batas normal. Aku kagum tentang bagaimana suasana sedemikian boleh wujud di London, sebuah kota metropolitan. Bagaimana suasana sedemikian boleh kekal diamalkan oleh orang Melayu di sini.
Aku terhutang budi kepada keluarga Melayu ini. Aku bertanya kepada salah seorang penghuni London ini. Pak Hamzah namanya. Aku bertanya bagaimana suasana kerjasama dan harmoni sedemikian boleh terus wujud di London dikalangan keluarga Melayu.
Beliau menyatakan kepada aku bahawa, ‘ kami meninggalkan Malaya pada tahun 1951. Budaya Melayu ketika itu terus menerus kami amalkan di London sehingga kini. Kami tidak tahu perubahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu selepas itu. Kami pulang ke Malaya hanya sekali sekala sahaja’
Ketika aku berada berhampiran Sungai Thames, aku merenung jauh mengenangkan keadaan masyarakat Melayu yang sudah jauh menyimpangnya……
abuhassanadam
24 Jun 2014
http://abuhassanadam.blogspot.com/
0 Ulasan
jerit kat sini