Loading...
Anggota IKAS dalam demonstrasi makan coklat Cadbury. - Foto TRP/Mohd Azrol Ali
“Tidak ada sebab untuk umat Islam di negara ini meragui kualiti sijil Halal Malaysia yang telah melalui proses yang ketat dan teliti di pelbagai peringkat.
“Sebagai pengguna Islam, kami percaya dan yakin dengan keputusan status Halal oleh Jakim selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil tersebut.”
Itulah pengakuan yang disuarakan Presiden Ikatan Aktivis Siber Malaysia (IKAS), Md. Faisal Ahmad yang mempertahankan JAKIM ekoran isu coklat Cadbury yang didakwa sebelum ini mengandungi DNA babi.
Md. Faisal berkata, pengguna harus mempercayai sepenuhnya keputusan status halal yang dikeluarkan JAKIM selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil itu.
“Sebagai pengguna Islam, kami percaya dan yakin dengan keputusan tersebut kerana JAKIM tidak akan mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan khususnya kepada umat Islam,” katanya.
Menurutnya, kaedah ujian dan pensijilan halal oleh JAKIM mencukupi untuk mengesahkan status produk tersebut.
Demi meyakinkan pengguna coklat jenama Cadbury, kumpulan itu yang terdiri daripada blogger dan pemilik akaun media sosial mengadakan sesi demonstrasi makan coklat tersebut secara beramai-ramai di Wisma Nusantara, Jalan Puncak off Jalan P. Ramlee, tengah hari Ahad.
Turut hadir Penolong Pegawai Kanan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Muhammed Naim Mohd Aziz selaku moderator bagi pihak JAKIM yang memberi penerangan dalam forum bertajuk: “Sijil Halal Malaysia dan Kontroversi Cadbury: Satu Perspektif.”
Namun begitu, pegawai berkenaan enggan memberi komen dan menolak untuk bersama dengan kumpulan IASM dalam sesi demonstrasi makan coklat sebelum meninggalkan majlis melalui pintu belakang.
Apabila dihubungi petang tadi, Muhammed Naim memberitahu The Rakyat Post bahawa dia hanya dijemput untuk memberi penerangan dalam forum tersebut dan bukannya datang atas kapasiti menyertai demonstrasi makan coklat Cadbury.
“Untuk menolak sebarang konflik berlaku dari disalah tafsir, saya beri penjelasan dalam forum atas kapasiti jemputan bukan untuk menyertai mereka makan coklat tersebut.
“Saya bukannya melarikan diri tetapi hanya beredar dari situ,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa JAKIM tidak turut makan coklat Cadbury itu, Md. Faisal memberitahu pihak JAKIM tidak berhak untuk dipaksa berbuat demikian.
Md. Faisal berkata, penggiat media sosial menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tampil memberi kenyataan mengapa keputusan ujian DNA babi ke atas dua produk coklat Cadbury iaitu ‘Cadbury Dairy Milk Roast Almond’ dan ‘Hazelnut’ dibiarkan untuk tempoh tiga bulan.
Jelasnya, isu ini terjadi selepas KKM pada mulanya mengesahkan ada DNA babi awal Febuari lalu, namun membiarkan perkara ini berlarutan sehingga keputusan analisis dikeluarkan pada 5 Mei.
“Kita juga mahu tahu mengapa KKM tidak menjalankan ujian susulan bagi mengesahkan penemuan awal, dan adalah tidak wajar pihak Kementerian tidak membuat sebarang ujian lanjut dan berdiam diri sahaja.
“Tindakan itu bukan sahaja mengaibkan Malaysia sebagai peneraju hab halal yang menyumbang hampir tiga trillion ringgit setahun kepada negara, malah kepada seluruh kakitangan syarikat pengeluar jenama coklat terbesar dunia Cadbury,” katanya.
0 Ulasan
jerit kat sini