Loading...
Bekas isteri Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Shahnaz Majid menuntut mutaah RM100 juta. Gambar fail The Malaysian Insider.
Datuk Seri Mahmud Abu Bekir memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah hari ini beliau gembira dengan perkahwinannya bersama Shahnaz Majid namun keadaan itu bertukar apabila bekas isterinya itu kerap bertanyakan pergerakannya.
Dalam perbicaraan kes tuntutan mutaah RM100 juta anak kepada gabenor Sarawak itu berkata, mereka hidup dengan gembira sejak pernikahan pada 9 Januari, 1992 dan keadaan bertambah baik dengan kelahiran anak lelaki mereka pada 11 Disember, 1993.
"Dia selalunya akan bertanya dengan sopan pada mulanya tetapi pada penghujung 1994 dia mula bersikap biadab dan akan bercakap kasar kepada saya di depan kawan dan pekerja di pejabat.
"Dia juga akan melihat setiap panggilan telefon dan akan bertanya kepada pemandu pergerakan saya," katanya ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Zainul Rijal.
Dalam keterangannya, beliau berkata, Shahnaz kerap akan melihat badannya sama ada terdapat kesan calar atau tidak ketika beliau keluar minum teh tarik bersama rakan.
"Ini kerana dia selalu curiga dan menyangka saya curang, sebenarnya saya tidak," kata Mahmud Abu Bekir dalam keterangannya.
Beliau turut memberitahu mahkamah tidak pernah memukul bekas isterinya namun mengakui tertolak ketika Shanaz cuba untuk mencalarkan mukanya.
Mahmud Abu Bekir berkata, bekas isterinya bertindak memalukannya dalam satu program yang dihadiri bersama ibu bapanya di lobi Hotel Hilton, Kuching Sarawak ketika berlaku pergolakan dalam rumah tangganya.
"Dia memarahi saya dan bertanya siapa dua wanita di lobi itu, saya tidak kenal mereka dan memberitahu perkara itu kepada dia.
"Tapi dia kemudiannya pergi kepada dua wanita itu dan memarahi mereka, saya amat malu," katanya.
Selain itu, beliau mendakwa Shahnaz akan memarahinya di depan rakannya walaupun ia perkara remeh seperti caranya berpakaian.
"Dia juga memberitahu rakan dan isteri mereka untuk memantau pergerakan saya," katanya.
Namun Mahmud Abu Bekir mengakui masalah dalam perkahwinan mereka hampir pulih apabila Shahnaz didapati menggandung pada 1996 tetapi 3 bulan kemudiannya bekas isterinya keguguran.
"Saya lihat bayi itu kepalanya pecah, saya tidak tahu apa yang terjadi," katanya.
Dalam keterangannya, beliau berkata, Shahnaz marah kepadanya dan menuduh dirinya menjadi punca keguguran itu.
"Cemburu dia menjadi-jadi maka saya pindah ke bilik lain dengan berharap dia menjadi tenang dan keadaan bertambah baik.
"Namun perangainya tidak berubah jadi saya keluar rumah di Kuching dan tinggal di rumah milik bapa saya di Kuala Lumpur pada 1998," katanya.
Zainul Rijal: Adakah ia pindah sementara atau selamanya?
Mahmud Abu Bekir: Saya hanya mahukan ketenangan dan tidak menjawab panggilan telefonnya. Saya langsung tidak mahu dihubungi untuk buat sementara waktu tetapi selalu menelefon ke rumah dan bercakap dengan orang gaji untuk mengetahui keadaan dia dan anak saya.
Pada 1999, katanya, Shahnaz kembali berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumah ibunya di Damansara dan kemudiannya membeli rumah bernilai RM2 juta di Damansara.
Katanya, rumah tersebut tersebut dibeli atas nama Shahnaz di mana beliau perlu membuat pinjaman RM1.5 juta kepada bank.
Selain itu, Mahmud Abu Bekir turut membeli tiga kereta melalui syarikat bersama bagi kegunaan Shahnaz iaitu Mercedes S-class, BMW 85 dan Jeep Cherokee.
Beliau berkata, bekas isterinya menipu apabila memberi keterangan menyatakan beliau mempunyai harta bernilai bilion ringgit.
Zainul Rijal: Kenapa kamu kata dia menipu?
Mahmud Abu Bekir: Kerana ia direka oleh penjenayah dari Kanada, Cullen Johson.
Dalam keterangannya kemudian, beliau berkata, Cullen adalah bekas polis di Toronto yang kemudiannya menjadi penyiasat bersama isterinya Eliane White dan menawarkan perkhidmatan menjejaki aset kepada pasangan bercerai di Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
"Saya menghantar penyiasat saya di AS dan mengetahui dia (Shahnaz) menggunakan perkhidmatan Cullen pada 2012," katanya.
Beliau berkata, Cullen bagaimanapun didapati terlibat dengan pemalsuan dokumen dan kini dipenjara atas kesalahan memalsukan dokumen bank.
Terdahulu, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Maybank, Mursinah Manaf yang dibawa sebagai saksi plaintif memberitahu mahkamah melalui kad American Express Mahmud Abu Bekir dari Disember 2011 hingga Mei 2012 mendedahkan defendan membelanjakan hampir RM800,000 berdasarkan enam penyata akuan yang diserah kepada mahkamah atas permintaan peguam Shahnaz.
Mursinah berkata, ia termasuk perbelanjaan RM123,800 di kedai Sincere Watch Starhill pada Mei.
Peguam, Zainul Rijul membantah pendedahan oleh pegurus bank tersebut bagaimanapun hakim menolak bantahan dan perbicaraan diteruskan.
Ketika disoal balas ileh peguam defendan, Saadiah Din, Mursinah berkata, beliau terpaksa memberi keterangan mengikut arahan perundangan jabatannya berdasarkan sepina.
Saadiah: Apa akta paling penting yang perlu diikuti sebagai kakitangan Maybank?
Mursinah: Kami perlu melindungi kerahsiaan maklumat pelanggan dan tidak boleh mendedahkan akaun bank kepada sesiapa, namun kerana saya disepina, saya terpaksa menyerahkan penyata kepada mahkamah.
Mursinah juga bersetuju tidak ada kebenaran daripada Mahmud Abu Bekir untuk mendedahkan maklumat perbankannya.
Di luar mahkamah, Mahmud Abu Bekir berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap Maybank, CIMB dan American Express kerana melanggar Akta Institusi Perbankan dan Kewangan.
"Saya tidak ada apa-apa untuk disorok namun saya tidak suka perkara sebenar diketahui dan selain baki wang akaunnya dan aset saya juga mempunyai banyak pinjaman yang perlu dibayar memandangkan saya ahli perniagaan," katanya.
Perbicaraan di depan Hakim Muhamad Abdul Karim Wahab ditangguh 24 Jun ini. – 3 Jun, 2014.
0 Ulasan
jerit kat sini