MH370, bring back my husband, our daddy (MH370 kembalikan semula suami kami, ayah kami).

MH370, bring back my husband, our daddy (MH370 kembalikan semula suami kami, ayah kami).

Loading...
PETALING JAYA 1 Mei - "Dia teman sehati sejiwa saya, dia kawan baik dan suami saya dan saya amat merinduinya".

Itulah luahan Nurlaila Ngah, 40, isteri kepada Pramugara Kanan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Wan Swaid Wan Ismail yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Sudah masuk hari ke-52 kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dan sejak kehilangan itu, harapan Nurlaila tidak pernah pudar malah terus menanti khabar gembira dan berharap suami yang dicintainya mengetuk pintu rumah dan pulang dengan selamat.

Menurutnya, hari-hari yang dilalui tanpa kehadiran suami amat sukar lebih-lebih lagi perlu membesarkan tiga orang anaknya yang masih kecil keseorangan, namun demi keluarga dan teringat kata-kata terakhirnya suaminya itu, beliau gigih meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya selalu menangis, ketika memandu juga saya tidak berhenti menangis lebih-lebih lagi apabila melalui atau ke tempat yang sering dikunjungi bersama Wan Swaid.

"Tiada siapa yang memahami rintihan hati seorang isteri yang terpaksa berhadapan kehilangan suami yang tidak tahu di mana. Jika diikutkan hati, mahu sahaja berkurung dalam bilik, namun saya membawa semangat suami dalam diri untuk berdepan realiti, untuk teruskan hari-hari walaupun perlu menanggung perit merindukan dirinya pada setiap masa," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tuntutan-tuntutan hak pekerja di padang awam Dataran Petaling Jaya, hari ini.

Nurlaila hadir dalam sambutan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersama isteri seorang lagi pramugara pesawat MH370, Mohd. Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman bersama ahli keluarga yang lain sambil membawa sepanduk tertulis MH370, bring back my husband, our daddy (MH370 kembalikan semula suami kami, ayah kami).




Menurutnya, walaupun usaha kerajaan dalam misi pencarian MH370 tidak pernah berhenti malah sedaya upaya melakukan yang terbaik, namun penantian seorang isteri amat menyeksakan serta mahu kerajaan lebih telus dalam menyampaikan informasi.

"Kita tidak boleh menunggu lebih lama, apa yang sebenarnya terjadi kepada kapal terbang. Lagi lama kita tunggu lagi rasa terbeban terutamanya apabila kerajaan tidak menjawab persoalan yang diajukan oleh ahli keluarga.

"Firasat saya kuat mengatakan Wan Swaid masih hidup tetapi tidak tahu di mana, namun sekiranya ditakdirkan firasat saya salah, saya reda. Apa yang saya mahu lihat adalah sekurang-kurangnya bangkai pesawat dan kemudian barulah saya rela mengucapkan selamat tinggal," ujarnya.

Mengimbau kembali saat terakhir mereka bertemu semasa menghantar suaminya ke lapangan terbang, Wan Swaid tidak menunjukkan sebarang perubahan pada sikapnya kecuali menegur tahi lalat di bahu membawa maksud beliau perlu menanggung tanggungjawab yang berat.

"Ya, akhirnya saya faham kata-kata yang cuba disampaikan olehnya. Benar, selepas kehilangan pesawat itu, saya mengambil alih semua tugasnya. Sayalah suami, ibu dan rakan kepada anak-anaknya.

"Saya akan pastikan anak-anak terus mendapat kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Suaminya mahukan anak-anak membesarkan dengan penuh perhatian memandangkan Wan Swaid yang disifatkan sebagai seorang suami dan bapa yang amat penyayang serta bertanggungjawab itu tidak sempat menikmati kasih sayang seorang ibu dan bapa sejak berusia sembilan tahun apabila kedua orang tuanya meninggal dunia," jelasnya.

Menjangkau usia perkahwinan ke-13 tahun, Nurlaila tidak pernah meninggalkan cincin dan jam tangan milik suaminya agar sentiasa merasai insan yang dikenali sejak 19 tahun lalu ketika sama-sama bekerja di MAS berada begitu dekat dengan dirinya.

"Saya juga akan sentiasa memegang serban sembahyang yang sering dipakai oleh suami. Baju-bajunya akan sentiasa dijaga dengan rapi. Saya tidak mahu mengalihkan barang-barangnya. Biarlah keadaan di bilik dan rumah tetap sama supaya saya merasai kewujudannya," katanya.

Sementara itu, Intan Maizura yang sangat merindui suaminya Mohd. Hazrin reda sekiranya suaminya itu ditakdirkan menemui ilahi.

"Namun perlu ada bukti untuk mengesahkan perkara itu. Saya memahami sekiranya mayat tidak ditemui memandangkan pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi yang luas dan dalam tetapi apa yang ingin saya dan kesemua ahli keluarga krew dan penumpang mahu ketahui adalah apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat berkenaan, itu sahaja," ujarnya.

Intan Maizura yang sedang menunggu hari untuk melahirkan anak keduanya dan bakal menamakan anak lelakinya itu Muhammad masih berharap kepada keajaiban agar suaminya masih selamat walaupun harapan tersebut semakin pudar.

"Sebagai orang Islam, saya terima takdir dengan reda. Saya juga sudah bersedia untuk menerima sebarang berita buruk," jelasnya.

Menurutnya, selepas melahirkan anak keduanya itu, beliau akan kembali bekerja untuk menampung perbelanjaan isi rumah serta membesarkan kedua-dua anaknya



Catat Ulasan

0 Ulasan