Bila Kokpit Pesawat Disangka Tandas

Bila Kokpit Pesawat Disangka Tandas

Loading...
DENPASAR: Seorang penumpang warga Australia yang mencetuskanamaran rampasan pesawatdalam penerbangan ke Bali telah menafikan beliau dalam keadaan mabuk dan mendakwa beliau tersilap mengetuk pintu kokpit kerana ingatkan ia pintu tandas, polis Indonesia berkata.

Matt Christopher Lockley juga berkata beliau dalam keadaan kemurungan semasa penerbangan Virgin Australia pada Jumaat ke pulau peranginan itu, kerana beliau sedang mencari isterinya dari Indonesia setelah terputus hubungan, kata mereka.

Pasukan keselamatan bergegas ke lapangan terbang di kepulauan Indonesia itu apabila pesawat Boeing 737-800 dari Brisbane mendarat berikutan laporan cubaan rampasan selepas penumpang itu mula mengetuk pintu kokpit.

Lockley, memakai selipar, seluar pendek putih dan T-shirt, diseret turun dari pesawat itu oleh anggota tentera udara bersenjata dan ditangkap oleh pihak polis. Amaran itu turut mendorong penutupan lapangan terbang dan lencongan beberapa penerbangan.

Pegawai Indonesia pada mulanya berkata dia dalam keadaan mabuk tetapi polis berkata lelaki berusia 28 tahun, yang berada dalam tahanan telah dimasukkan ke hospital kerana keletihan dan menafikan bahawa beliau berada di bawah pengaruh alkohol.

Dia memberitahu polis bahawa sebelum terbang dia telah mengambil dua biji pil Voltaren, empat biji pil Panadol - kedua-dua merupakan jenis ubat penahan sakit - dan minum dua botol minuman Coca-Cola, jurucakap polis Bali Hery Wiyanto memberitahu AFP.

"Menurut beliau, dia tidak mabuk tetapi mengalami kemurungan kerana masalah keluarga," kata jurucakap itu sambil menambah pihak polis sedang menunggu keputusan ujian alkohol tetapi tiada bau minuman pada nafas beliau ketika dia ditahan.

Lockley, dari Queensland, Australia berkata beliau dalam perjalanan ke Bali untuk mencari isterinya dari Indonesia, di mana beliau telah terputus hubungan sejak dua minggu lalu, menurut jurucakap itu.

Dalam keadaan tertekan, Lockley mendakwa telah "mengalami halusinasi bahawa seseorang mengikutinya dan mahu mencuri begnya," kata Wiyanto.

"Menurut beliau, dia mengetuk pintu kokpit kerana berfikir ia adalah pintu tandas."

Polis berkata sebelum ini bahawa seorang pramugari berkata Lockley meminta ubat sebelum mengetuk  pintu kokpit.

Selepas itu, anak-anak kapal menggari beliau dan meletakkan dia di tempat duduk di belakang kapal terbang sehingga pesawat itu mendarat di Bali.

Wiyanto berkata Lockley boleh didakwa kerana melanggar undang-undang terhadap risiko keselamatan penumpang dan dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sebanyak 500 juta rupiah ($ 43,000).

Jurucakap Kedutaan Australia di Jakarta berkata: "Kami boleh mengesahkan penangkapan seorang lelaki Queensland berikutan kejadian di atas kapal syarikat penerbangan Virgin Australia yang menghala ke Denpasar, Bali.

"Konsulat Australia akan memberi bantuan konsular seperti yang dikehendaki."


Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini