Tempat tidur Rasulullah s.a.w VS tempat tidur kita

Tempat tidur Rasulullah s.a.w VS tempat tidur kita

Loading...
Nabi tak pernah sambut hari lahir


Di atas ini adalah gambar runtuhan mihrab tempat Rasulullah saw bersolat.


HARI cuti Maulidur Rasul semalam membolehkan saya keluar ke pasaraya untuk dapatkan barang keperluan. Sambil melangkah, saya membaca pelbagai mesej di telefon. Saya menerima banyak sekali pesanan serta video melalui SMS dan Whatsapp daripada kawan-kawan mengenai selawat, peribadi dan hadis-hadis mengenai keunggulan Rasulullah s.a.w.

Tiba-tiba isteri saya mengunjuk susunan pinggan porselin yang cantik. Bila saya nampak dia begitu teruja, saya mencapai sebuah pinggan dan membeleknya. Memang cantik. Tetapi entah mengapa hati saya bertanya, bagaimanakah bekas makanan baginda?

Saya pernah terbaca dalam sebuah riwayat bahawa gelas minuman Rasulullah s.a.w diperbuat daripada kayu. Apakah pinggannya juga daripada kayu? Samada kayu mahupun porselin, bila mengingatkan kesederhanaan Rasulullah s.a.w dan gambar-gambar artifek sejarah pinggan mangkuk, saya hampir pasti buatannya tidak secantik mangkuk yang saya pegang itu.

Pada hari ini, berapa bekas makanan yang kita ada? Apakah set 12 keping, 18 keping atau 32 keping? Kita ada piring, pinggan dan mangkuk. Ada cawan, gelas dan kole. Ada sudu, camca dan garfu. Lain hidangan, lain set pinggan mangkuk yang kita akan gunakan. Bandingkan apa yang kita ada dengan apa yang Rasululullah s.a.w gunakan. Kita jauh lebih bermewah daripada nabi kita.

Fikiran saya melayang dan terbayang rumah baginda yang pernah saya tatap di internet. Hanya ada sebuah ruang tamu dan sebuah kamar. Rumah kita pula bagaimana? Dua bilik? Tiga bilik? Sepuluh bilik? Rasulullah s.a.w duduk di atas lantai. Kita ada set sofa di ruang tamu, set kerusi di meja makan dan kerusi di beranda. Ada pelbagai bentuk, buatan dan material.

Tempat tidur Rasulullah s.a.w diperbuat daripada kulit binatang dan berkusyenkan sabut kurma. (HR at-Tirmizi). Bagaimana pula tempat tidur kita? Kita ada katil single atau queen size, king size, siap dengan tilam spring, bantal, bantal peluk, comforter dan selimut. Bilik tidur kita ada tirai, langsir, karpet dengan pencahayaan lampu serta muzik yang boleh membuatkan kita tidur mati.

Dan jangan lupa, hidupnya sebagai pemimpin seperti tiada privasi kerana sentiasa dikelilingi sahabat dan pengikutnya. Hinggakan orang biasa seperti orang kampung badwi boleh sahaja berkunjung ke rumah baginda pada bila-bila masa dengan tiada protokol atau adab hingga ALLAH SWT menurunkan ayat 4 dan 5 surah al-Hujurat yang menerangkan mengenai adab sopan ketika berkunjung ke rumah baginda (merujuk tafsir ibnu Katsir).

Kita orang biasa pun boleh sahaja tutup pintu bila pulang ke rumah kerana mahukan privasi. Ada juga yang gunakan loceng atau gunakan intercom door speaker bagi tetamu memanggil untuk memperkenalkan diri sebelum kita membuka pintu pagar automatik.

Rasulullah s.a.w tidak ada cuti umum, cuti hujung minggu, cuti kecemasan dan apatah lagi cuti tahun. Baginda sentiasa on-call. 24-7. Baginya, tiada istilah penat untuk berdakwah dan berjihad. Baginda pemimpin umat, malah pemimpin dunia. Bandingkan dengan kita yang ada pelbagai cuti. Bila bercuti, kita tutup telefon dan ghaib tak nampak batang hidung.

Apa yang berlaku pada kakitangan, pekerja bawahan atau rakyat tidak kita pedulikan. Tunggulah hingga kita pulang bercuti, baharulah kita akan menjenguk dan baharu hendak bercakap seolah-olah mereka sentiasa di hati kita.
Gambar di atas adalah sisa runtuhan kamar Rasul Saw dan Sayyidah Khadijah as.

Rasulullah s.a.w merantau jauh untuk menyampaikan seruan Islam. Kita pun merantau jauh juga. Tetapi hanya merantau jauh di alam siber. Dan kita tidak semestinya menyebarkan dakwah agama kita yang suci ini. Malah, ada di antara kita yang tanpa sedar menyebarkan kebencian sesama seagama. Kita handal berdakwah hanya kepada saudara seagama tetapi tidak terucap walau sepatah perkataan mengenai Islam pada jiran di sebelah rumah yang belum mengenali Islam.

Jika kita tidak dapat mengislamkan seorang kafir, mengapa kita tergamak mengkafirkan seorang Islam yang lain? Betulkah perbuatan, perilaku dan pengucapan kita seiring dengan apa yang Rasulullah s.a.w sarankan? Dalam skala 1-10, apakah sudah sampai skala satu?

Dan jangan kita lupa, Rasulullah s.a.w tidak pernah menyambut hari lahirnya. Jadi, maaf cakap… kita fikirlah sendiri.

Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini