Tak payahlah sombong dengan bini

Tak payahlah sombong dengan bini

Loading...
Jangan sombong dengan isteri



Ada pun dalam tulisan ini, saya akan sentuh hal yang berbeza tetapi masih ada kaitan dengan belahan jiwa. Belahan jiwa mengikut tafsiran saya adalah pasangan yang kita berkongsi perasaan dengannya, dengan penuh jujur lagi ikhlas. Keyakinan kita kepadanya juga amat kuat dan sentiasa penuh.

Memahami hal ini, sudah tentu pasangan yang mencapai taraf belahan jiwa sanggup untuk berkongsi segala-galanya dengan pemahaman dan penghayatan cinta yang mantap.

Ertinya, pada diri pasangannya itulah terhimpun segala makna bagi seseorang sama ada yang kurang atau yang lebih, yang gembira atau yang sedih. Segala-galanya!

Inilah makna perkongsian yang sebenarnya. Kadang kala untuk mencapai tahap ini, kita tidak semestinya terlalu mengatur diri dalam pergaulan. Maksud saya tidak perlu terlalu 'skema' mengikut istilah orang sekarang. Ini kerana ada sesetengah orang yang terlalu berkira waima dalam pergaulan suami isteri.

Misalnya sebagai suami, nada suara mestilah sentiasa dijaga. Bercakap dengan isteri sendiri pun macam suara iklan Volkswagen (semasa sebutan Das Auto). Kata Ustaz Kazim Elias, itu suara 'bass'.

Tetapi pada saya, tidak kenalah jika bersuara 'bass' ketika bercakap dengan isteri sepanjang masa. Takut isteri pula tatkala berdepan dengan suami, dirasanya bukan macam suami tetapi seperti pelajar Kolej Gurukul berdepan dengan pengetua mereka dalam filem Mohabattein!

Bagi hubungan yang sepenuh hati, ikhlas, jujur dan tiada rahsia, ia akan jadi berwarna-warni. Ada masa merajuk, memujuk, bergurau senda dan bermesra. Meskipun ketika marah atau merajuk, asas ikatan tidak terjejas.

Keyakinan masih utuh dan mantap. Bermasam muka setengah jam sudah dikira terlalu lama dan akan berlakulah adegan jeling menjeling untuk melihat siapa yang akan dahulu memulakan aksi memujuk.

Baru-baru ini saya terbaca petikan kenyataan yang dikatakan daripada Tun Dr Siti Hasmah. Tun menceritakan bahawa rumah tangga atau hubungannya dengan Tun Dr Mahathir pun sama macam suami isteri lain, ada juga ketikanya mereka yang sentiasa dilihat hebat oleh orang lain itu merajuk atau berselisih hati antara satu sama lain.

"Apa yang saya biasa lakukan apabila terjadi hal macam itu, semasa duduk di meja makan, saya akan kira, 1,2,3, dan dia (Tun Dr M) akan sambung ... 4,5,6. Kemudian kami sama-sama ketawa dan berakhirlah selisih faham itu."
Demikian Tun Dr Siti dilaporkan bercerita.

Manakala Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz pula yang saya baca dalam bukunya, Bicara Ini Demi Ilahi, pula menceritakan tempat yang paling aman baginya ialah apabila meletak kepala di ribaan isterinya setiap kali pulang ke rumah selepas berpenat seharian bekerja.

"Sebaik meletakkan kepala di ribanya, saya dapat rasakan segala serabut hilang begitu saja. Dia tak pernah merungut walaupun saya balik ke rumah pukul 3 pagi. Tidak terluah rasa syukur dianugerahkan isteri sepertinya (Datin Tuan Sabariah) sejak perkahwinan kami pada 20 November 1962," tulis Tok Guru Nik Aziz di halaman 18 buku itu.

Kalaulah kisah tokoh-tokoh itu masih belum cukup bagi kita untuk menurunkan ego dalam hubungan suami isteri, kita tengoklah pula sunnah Nabi. Bukankah terlalu banyak kisah Rasulullah SAW yang begitu santun, mesra dengan isteri-isterinya. Misalnya dengan Saidatina A'isyah, Rasulullah malah berlumba lari tanpa rasa segan silu semata-mata untuk memanjakan dan memesrakan dirinya dengan isteri.

Rasulullah manusia teragung, kekasih ALLAH, pemimpin umat sepanjang zaman. Sebut sahaja apa kebesaran di atas muka dunia ini, tidak ada satu pun yang dapat menandinginya. Itupun baginda tidak sombong dengan isteri.



MUHAMAD MAT YAKIM
17 Januari 2014

Catat Ulasan

0 Ulasan