Pontianak Dan Drakula Tawan Malaysia

Pontianak Dan Drakula Tawan Malaysia

Loading...
Jom lawan puntianak, drakula!


*AMARAN kepada peniaga atau mana-mana pihak yang suka menghisap darah pengguna dengan menaikkan harga sesuka hati: Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka! Amaran ini datangnya daripada Perdana Menteri sendiri.

Khamis lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang berstatus puntianak itu.

Tegas beliau seperti disiarkan media: “Saya telah arahkan kementerian menggunakan apa sahaja akta yang ada... Kalau ada peniaga cuba mengambil kesempatan secara tidak bertanggungjawab, keluarkan surat (saman) dengan segera.”

Oleh sebab PM sendiri telah mengarahkan secara terbuka, seluruh rakyat akan bersorak dan bersyukur sekiranya puntianak, drakula, vampire atau makhluk-makhluk lain yang suka menghisap darah, dihukum.

*JUGA untuk membantu rakyat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup.

Menurut beliau jawatankuasa ini ialah usaha terkini kerajaan bagi menangani masalah kenaikan kos hidup dalam kalangan rakyat. Beliau mengarahkan semua menteri turun padang bagi memantau isu tersebut.

Seperti PM, TPM pun mengarahkan pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya melipat gandakan kerja-kerja penguatkuasaan bagi mengheret peniaga tidak bertanggung jawab ke muka pengadilan.

Nampaknya kerajaan bersungguh untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang. Semoga si penghisap darah menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

*BERCAKAP mengenai tindakan ke atas peniaga, sebelum ini pun menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek, sudah menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan lagi amaran, sebaliknya akan terus bertindak.

Memang selama ini pihak berkuasa, khasnya kementerian berkenaan, sudah terlalu banyak memberi amaran supaya peniaga tidak mengambil kesempatan. Amaran, demi amaran, demi amaran lagi, tetapi tidak ada tindakan.

Oleh sebab banyak amaran tetapi tidak ada tindakan, maka puntianak dan drakula menganggap amaran-amaran itu hanya acah-acah. Mereka tidak takut malah sesetengahnya mentertawakan acah-acah seperti itu. Puntianak dan drakula ketawa, pengguna menangis!

Kini PM tegas, TPM pun tegas dan menteri sudah berjanji akan bertindak tegas tanpa amaran. Maka dalam masa sehari dua ini orang ramai ingin melihat puntianak, drakula ditangkap dan dihukum.

Kalau masih juga tidak ada tangkapan dan tindakan, betullah apa yang dikatakan bahawa semuanya hanyalah acah-acah. Dan, pengguna akan terus menangis.

*SYABAS kepada Khairy Jamaluddin @ KJ! Setakat Jumaat lalu beliau adalah antara menteri terawal menyahut seruan supaya semua menteri turun padang melihat sendiri harga barang.

Atas kedudukannya sebagai Ketua Pemuda Umno, Menteri Belia & Sukan itu Khamis lalu melawat Pasar Borong Kuala Lumpur. Seperti dilaporkan media, menteri sukan itu melihat sendiri bagaimana kesan kenaikan harga minyak ke atas barang keperluan harian.



Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusuh pun menyatakan kesediaan untuk terus turun ke sekolah-sekolah meninjau harga makanan yang dijual. Pasti sehari dua ini ramai menteri dan timbalan menteri akan singsing seluar untuk masuk ke pasar, atau singgah mana-mana medan selera rakyat.

Nasihat ikhlas saya kepada mana-mana menteri dan pegawai wanita yang hendak masuk pasar basah: jangan pakai kasut tumit tinggi, dan jangan pakai skirt terlalu singkat.

Satu lagi, sekiranya hendak melawat pasar atau kedai, tidak perlu beritahu lebih awal. Sebab kalau peniaga tahu menteri hendak turun, tentulah mereka tidak menaikkan harga.

*AKHIR kalam, masih mengenai KJ, bukan perihal harga barang tetapi harga diri. Katanya Pemuda Umno tidak boleh mempertahan tindakan seorang anggotanya yang menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan baru-baru ini.

Anggota Pemuda Hulu Selangor itu telah diberi surat tunjuk sebab, dan diminta menjelaskan mengapa dia main kasar. Sama ada yang menumbuk atau yang kena tumbuk, masing-masing ada harga diri. Soalnya sekarang: harga siapa lebih tinggi?


p.s pokok pangkalnya sedar atau tidak....kenaikan harga barang telah lama berleluasa...


SH

Catat Ulasan

0 Ulasan