Header Ads

Hasnal Jamil Mula Bercerita,Kisah malam yang panjang di kampung Simunal

loading...
                         
Mohd Hasnal Jamil adalah saksi hidup tentang kekejaman pengganas Kiram yang berlaku di Kampung Sri Jaya, atau dikenali juga kampung Simunal Semporna Sabah pada malam Sabtu 2 Mac baru-baru ini.

Simunal adalah nama pulau di Tawi-Tawi, Selatan Filipina, tempat asal rata-rata orang Sulu yang berhijrah ke Sabah atau dalam kata lain, padang permainan mereka.

Enam anggota polis berbagai pangkat terkorban dalam serang hendap tersebut dan Inspektor Hasnal sendiri cedera dengan tiga tembakan; satu diperut, dua di tangan, bersama-sama enam tetakan, tiga di kepala dan tiga ditangan kanannya.

Hari ini, genap 25 hari selepas kejadian tersebut, kali pertama Inspektor Hasnal bertemu media, dalam satu majlis bertempat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaa (KPDNKK) Putrajaya.

                            

Majlis pada asalnya hanya sekadar penyerahan sumbangan kepada balu, ahli keluarga serta anggota yang cedera sahaja.

Wartawan yang menunggu telah dimaklumkan tidak ada temubual tapi selepas dipujuk-pujuk, dengan mendapat kelulusan pegawai atasannya, Inspektor Hasnal bersedia untuk menceritakan pengalamannya kepada wakil media.

Dengan tangan yang masih berbalut, jari kanan yang tidak berfungsi, anggota polis cawangan khas Bukit Aman berusia 31 tahun ini, bercerita satu persatu pengalamannya terkepung antara jam 7.30 malam 2 Mac sehingga diselamatkan jam 5.30 petang 3 Mac lalu.

Menurutnya, kisah serang hendap yang menggemparkan negara itu bermula selepas mereka memperolehi maklumat mengenai kehadiran kumpulan bersenjata di Kampung Simunal itu.

Dalam keadaan perang, dan orang ramai panik, ada berbagai pihak menyalurkan maklumat, dan polis, mahu tidak mahu adalah tanggungjawab polis menyiasat setiap maklumat yang disalurkan.

Mereka berkerja tanpa mengira masa untuk tujuan tersebut, jika maklumat disampaikan pagi, pagilah mereka pergi menyiasat, jika malam, malamlah.

Ini situasi perang, dan khabar angin bertebaran tanpa henti di media-media sosial.

Malam itu, kira-kira 50 orang anggota polis berbagai unit termasuk satu platun Pasukan Gerakan Am (PGA) mula memasuki perkampungan atas air tersebut untuk memeriksa kesahihan maklumat yang disalurkan sebelumnya.

Inspektor Hasnal antara yang berada dalam kumpulan paling hadapan, mereka bergerak melalui jambatan sempit, dari satu jambatan ke satu jambatan sehingga ke jambatan nombor lima, di sebuah rumah, tiba-tiba tembakan dilepaskan tanpa henti.

"Tembakan dilepaskan dari dalam rumah, saya terkena peluru di perut, dan tangan. Sebelum ditetak di kepala tiga kali, saya lawan balik, dan ditetak di tangan pula," katanya.

Pengganas yang berusia 20-an itu dipercayai mahu memenggal kepalanya selepas melihat beliau sudah kena tembakan.

Mujurlah beliau mampu bertindak balas dan melawan termasuk menghalang tetakan barong (sejenis senjata asal Sulu) dengan tangan kanannya, sebelum berundur ke sebuah rumah lain tidak jauh dari tempat kejadian.

Dengan tangan kanannya terkulai dan hampir putus, dalam keadaan berbalas tembakan tersebut, kata Inspektor Hasnal beliau berundur mencari perlindungan.

"Kami berlindung dalam rumah yang sempit, sembilan orang. Dua yang menjaga saya dan jenazah rakan kami, manakala selebihnya berada dalam keadaan 'siap tempur' berkubu di sekeliling rumah,"ujar beliau.

Jelasnya, lima belas minit pertama, keadaannya seperti tembak menembak dalam filem, tidak henti-henti, hanya percikan cahaya dari senjata musuh yang kelihatan dan peluru melayang di mana-mana.

"Semua tunduk, jika berdiri mesti kena peluru, sebab rumah itu dindingnya papan yang nipis dan tembus peluru," kata beliau.

Terlentang dalam keadaan telinganya sudah dimasuki darah dari tetakan di kepala tadi, perut yang ditembusi peluru dan tangan kanan yang terkulai, tangan kiri yang ditembak, ditambah dengan bunyi tembakan tidak henti-henti, kata Inspektor Hasnal, beliau pekak sekejab, malam itu.

"Saya cuba berdiri tapi rasa nak pitam, ketika itu saya fikir akan mati sahaja, di dalam hati saya berdoa tidak putus-putus," ujarnya.

                            

Selepas lima belas minit dengan tembakan yang galak, bunyi tembakan musuh hanya sekali-sekala, namun mereka yang berkawal tetap berkawal, kerana bimbang musuh kembali menyerang memandangkan jarak antara rumah yang menjadi kubu musuh dan tempat pasukan keselamatan berlindung (rumah tempat anggota polis berkubu kiri) hanya sekitar 15 meter.

Anggota yang lain sudah menghubungi bilik gerakan dan memaklumkan keadaan mereka yang bertahan di rumah papan tersebut.

"Dua orang anggota menjaga saya, berikan air yang diambil dari tong biru, entah air hujan atau air apa, dalam keadaan begitu kami dah tak periksa, saya minum sikit pada malam tersebut, ada lagi satu botol air dibekalkan untuk saya," katanya.

Dalam keadaan menanggung kesakitan, Inspektor Hasnal mengarahkan anggotanya agar mematikan telefon bimbit masing-masing.

"Kami tidak mahu bunyi perbualan menyebabkan musuh dapat mengesan lokasi kami," katanya yang telah bertugas lebih 10 tahun dengan PDRM.

Beliau tidur-tidur ayam selepas jam 12 malam, sejam sekali terjaga.

"Ketika itu, saya dapat kekuatan, saya percaya hari ini belum datang ajal aku, saya bertahan dan kuatkan hati," katanya yang tidur dengan luka yang terbuka tanpa dibalut.

Pagi hari Ahad 3 Mac, selepas 12 jam bertahan di rumah tersebut, beliau menelefon isterinya, sekejab sahaja, dan memberitahu bahawa dirinya masih bekerja dan berjanji akan telefon semula petang nanti.

Tujuan ayah kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan itu berbuat demikian adalah supaya isterinya tidak bimbang, beliau langsung tidak memberitahu keadaan dirinya yang cedera parah.

Di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil Kedah, kampung dan rumah keluarga Inspektor Hasnal, malam tersebut bacaan yassin sudah dibuat.

"Ada orang beritahu saya sudah terkorban, di kampung dan di pejabat orang dah baca yassin, pagi itu apabila mereka beritahu isteri saya, beliau tidak percaya, kerana katanya, baru tadi beliau bercakap dengan saya," katanya mengimbas kembali apa yang berlaku.

                            

Apabila keadaan di Kampung Sri Jaya sudah mula cerah, Inspektor Hasnal tahu beliau akan diselamatkan, namun bantuan yang ditunggu-tunggu belum juga muncul. (rumah pengganas gambar kanan)

"Darah sudah kering dan jadi keras di baju dan seluar saja, lalat mula banyak menghurung luka, dan semut merayap di tompok-tompok darah, keadaan dalam rumah mula panas, zinknya rendah, saya rasa dahaga betul dan minum apa saja air yang ada," ujarnya.

Di luar, pihak polis sudah bersedia dengan unit elit VAT69 untuk masuk ke perkampungan atas air tersebut dengan penuh taktikal.

Ini kerana bahaya yang menunggu berikutan saki-baki pengganas masih ada dan tidak tahu di manakah mereka bersembunyi.

Menurut Inspektor Hasnal, sebelum pasukan VAT69 masuk, beliau menyuruh anggotanya membasuh darah di muka beliau.

"Selepas 21 jam terperangkap, muka saya penuh darah kering," katanya tersenyum.

Dalam kejadian tersebut pegawai polis ACP Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman. ASP Michael Padel, 36, dari IPD Semporna. Sjn Abdul Azis Sarikon, 48, dari PGA Tawau. L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, dari PGA Tawau. Sjn Detektif Baharin Hamit, 49, dari Kontinjen Sabah. dan Kpl Salam Tugiran, 42, dari IPD Tawau terkorban.

Inspektor Hasnal yang cedera parah diusung keluar dan terus dibawa ke Hospital Lahad Datu, sebelum diterbangkan ke Hospital Tawau dan akhirnya ke Hospital Selayang di mana ada pakar khusus untuk menyambung semula tangannya yang ditetak pengganas.

Dua minggu beliau terlantar di hospital, dan kini beransur sembuh.

Sungguhpun berdepan dengan kejadian ngeri tersebut, Inspektor Hasnal tidak fobia.

"Ia tidak melunturkan semangat saya untuk berjuang. Saya juga tidak menghadapi fobia akibat kejadian pada malam itu," ujarnya.

Kepada yang pelekeh pasukan keselamatan, kata Inspektor Hasnal, mereka boleh pergi sendiri, kalau berani untuk bertempur dengan musuh.

"Ia bukan main-main... masa tidur sangat sedikit, ada maklumat terus siasat, rasa takut terpaksa dibuang,"katanya.

Untuk anggota polis dan tentera yang masih di Sabah pula, pesan Inspektor Hasnal supaya teruskan perjuangan hingga ke titisan darah terakhir... demi negara.-26/3/2013 OLEH HELME HANAFI

                   
Inspektor Hasnal dipindahkan dari Hospital Lahad Datu ke Hospital Tawau selepas diselamatkan...

                     
Kumpulan pengganas yang dipercayai terlibat dalam serang hendap di Kampung Simunal


                               
Suspek pengganas yang ditahan selepas penggeledahan oleh VAT69 di Kampung Simunal 3 Mac lalu




Agendadaily
Loading...

2 ulasan:

  1. Selalu fikir, perairan kita mudah di ceroboh kerana org dalam. Sampai bila pun masalah ini takkan selesai jika ada gunting dlm lipatan.

    BalasPadam
  2. alfatihah moga semua parajurit kita ditempatkan dlm kalangan org beriman.

    BalasPadam

jerit kat sini

Dikuasakan oleh Blogger.