Loading...
HILARY MANTEL
LONDON - Novelis Britain, Hilary Mantel dikecam hebat semalam selepas dia menyifatkan isteri Putera William, Kate Middleton sebagai hipokrit yang hanya bertujuan melahirkan anak.
Pemenang dua kali anugerah buku Booker Prize itu berkata, Kate tidak memiliki personaliti ibu William, mendiang Puteri Diana dan isteri kedua Raja Henry VIII England abad ke-16, Anne Boleyn.
Dia berkata demikian dalam satu syarahannya dua minggu lalu di Muzium Britain. Kenyataanya itu disiarkan semula minggu ini dalam jurnal sastera London Review of Books.
Mantel, 60, berkata, Kate, 31, yang memakai gelaran Duchess of Cambridge kekok seperti mesin apabila muncul pertama kali di khalayak awam.
Sebelum berkahwin dengan pewaris kedua takhta diraja Britain pada tahun 2011 dan hamil tahun lepas, Kate seperti sebuah patung peragaan tanpa personaliti sendiri yang dapat dilihat menerusi cara pakaiannya.
Novelis itu membandingkan sisi tidak baik Kate dengan Boleyn dan Diana yang masing-masing maut akibat dipenggal kepala oleh Henry VIII dan kemalangan kereta di Paris pada tahun 1997.
"Dia nampak sempurna seperti mesin. Berbeza sekali dengan Diana yang menunjukkan tingkah laku kekok dan bernafsu dalam setiap gerak-gerinya," katanya.
"Kate bertukar menjadi 'patung yang dipakaikan pakaian buruk' kepada wanita yang hanya 'digunakan' untuk melahirkan pewaris kerajaan England," kata penulis berusia 60 tahun itu.
Katanya, Kate sangat berbeza dengan Diana yang memiliki emosi yang jelas kelihatan dalam setiap tindakannya.
"Dia kelihatan seperti wanita muda yang dibesarkan dengan sempurna, perkataan 'tolong' dan 'terima kasih' tak pernah lekang daripada bibirnya.'" kata Mantel.
Mantel mengulas tentang penampilan Kate berhubung potret rasmi pertama sejak berkahwin dengan William, yang dihasilkan oleh pelukis Paul Emsley, yang didedahkan pada bulan lalu.
"Matanya kaku dan senyumannya seakan-akan memberitahu pelukis supaya dia tidak mahu diganggu," katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pengarang majalah Majesty, Ingrid Seward, menganggap ulasan Mantel sebagai tidak adil kerana Kate masih terlalu muda dan pasti akan memiliki personaliti yang tersendiri suatu hari nanti
Mantel merupakan satu-satunya wanita yang memenangi anugerah Booker Prize sebanyak dua kali menerusi bukunya, Wolf Hall dan Bring Up The Bodies pada tahun 2009 dan 2012.
Akhbar Britain, Daily Mail menyifatkan komen Mantel sebagai serangan kejam ke atas Duchess of Cambridge. - AFP
0 Ulasan
jerit kat sini