Loading...
JOHOR BAHRU - Kerana cinta, seorang gadis sanggup diperlakukan kejam oleh teman lelakinya apabila disahkan mengandung anak luar nikah malah dihalau ketika sarat mengandung.
Mira (bukan nama sebenar) berusia 20 tahun, bukan sahaja disuruh menggugurkan kandungan dengan menelan pil yang dibeli teman lelaki, malah turut mengambil kesempatan walaupun dalam keadaan dia mengandung.
“Apabila saya enggan melayannya, saya akan dipukul, disepak, diterajang, diseret hingga mengakibatkan tubuh badan saya lebam dan berdarah.
“Saya dikurung di rumah ibu bapa (teman lelaki) selama beberapa bulan, biarpun beberapa kali cuba meloloskan diri namun tidak berjaya. Akhirnya saya diusir ketika sarat mengandung 9 bulan,” katanya merupakan salah seorang penghuni Pusat Perlindungan Wanita Majlis Agama Islam Johor (Maij) di Taman Perling di sini, semalam.
Menceritakan kisah hitam hidupnya untuk pengajaran masyarakat, Mira dihantar ke pusat tersebut selepas melahirkan anak tidak sah taraf pada 19 November lalu.
Katanya, kisah duka hidupnya bermula daripada penceraian kedua ibu bapanya ketika berusia lapan tahun dan cubaan rogol oleh kawan abangnya.
Selepas perceraian itu, saya bersama tiga adik beradik lain dipelihara ayah. Arwah (meninggal dunia akibat buah pinggang pada 2009) sangat tegas hinggakan saya tidak dibenarkan berkawan dengan lelaki, namun dia memberi sepenuh kasih sayang dan didikan agama yang cukup.
“Akibat tiada keserasian dengan ibu, saya bersama abang memilih hidup sendiri, kemudiannya saya berpindah hidup seorang kerana cuba diperkosa sahabat abang, yang saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa,” katanya.
Ketika bekerja sebagai pembantu klinik, saya berkenalan dengan teman lelaki yang merupakan penuntut sebuah pusat kemahiran yang akhirnya menjadi tempat untuk Mira mendapatkan kasih sayang.
Bermula sebagai perkenalan biasa akhirnya mereka menjalinkan cinta sehingga melakukan hubungan terlarang selepas hidup bebas daripada keluarga.
“Saya termakan pujuk rayu dan janji manisnya untuk berkahwin dengan saya. Kami terlanjur melakukan hubungan terlarang sebelum saya akhirnya disahkan hamil.
“Namun berita kehamilan itu akhirnya mencerminkan diri sebenar dia (teman lelaki) yang enggan bertanggungjawab dan berang apabila mengetahui saya hamil.
“Lebih teruk lagi, dia paksa saya makan sejenis pil untuk gugurkan kandungan,” katanya.
“Selain dikurung, saya diancam malah dia turut bertindak menjual bayi yang saya kandung,” katanya yang kini insaf akan kesalahan lampau.
Matlamatnya kini untuk membesarkan anak dan kembali ke pangkal jalan menerusi pendedahan dan bimbingan meliputi semua aspek termasuk didikan agama, motivasi serta ilmu kemahiran.
“Selepas ini saya berhasrat untuk bekerja dan berdikari membesarkan anak sendiri dan nasihat saya kepada remaja perempuan di luar sana jaga batas pergaulan dan usah mudah percaya dengan janji manis lelaki,” katanya.
0 Ulasan
jerit kat sini