Dah Tua,Selera Pun Berubah

Dah Tua,Selera Pun Berubah

Loading...
Selera berubah mengiringi usia

Penghujung tahun adalah masa kita menghabiskan cuti. Untungnya, bila cuti penghujung tahun boleh ditampal dengan hari-hari cuti mingguan hingga kita boleh bercuti sampai seminggu untuk berehat dengan pulang ke kampung ataupun melancong.

Tatkala masih muda dan anak-anak masih kecil, pulang ke kampung adalah matlamat utama bila tiba musim cuti. Melancong hanya dilakukan dengan melencong ke bandar-bandar yang sehaluan dengan jalan pulang. Untuk balik ke kampung di Mersing, Johor, saya pernah melencong untuk melancong ke Kuantan mahupun ke Melaka.

Saya suka memandu mulai jam 3.00 pagi agar perjalanan lancar dan tiba ke kampung sebelum jam 9.00 pagi. Ketika itu, memandu dari Petaling Jaya, Selangor ke Mersing, Johor dalam masa empat jam menjadi satu kebanggaan. Bila mertua bertanya, saya akan katakan dengan megah mengenai rekod masa yang saya capai. Kalau dia tak tanya pun, saya akan cerita juga kepadanya.

Pada pertengahan 80-an, tidak banyak perangkap laju atau saman ekor. AES memang belum wujud. Jadi, saya akan memandu laju.

Walau isteri merungut pinta berhenti seketika untuk buat susu anak, saya buat-buat tak tahu.

Kadangkala, bekalan nasi lemak yang dibuat isteri agar dapat dijamah waktu berehat di tepi jalan hanya akan dikunyah bila sampai di kampung.

Thrill pulang ke kampung dengan memandu laju adalah kepunyaan saya. Thrill bersantai untuk singgah berehat di mana-mana kawasan air terjun, hutan lipur atau masjid tidak dinikmati oleh isteri dan anak-anak. Memang saya pentingkan diri pada zaman itu.

Itu tabiat orang muda. Apabila usia semakin meningkat, saya mula tidak suka memandu laju. Apatah lagi, saman memandu laju kerap saya terima. Memanglah, pandu laju tetap pandu laju, saman tetap kena saman. Tapi bayar, tetap bayar. Tak perlu mengamuk bila kena saman kalau sendiri dah tahu akibatnya. Sifat anak jantan, berani buat berani tanggung.

Tatkala ada sedikit tanggungjawab agaknya kerana dah puas memotong queue, saya mula memberi orang lain jalan dulu dalam kesesakan di jalanraya mahupun ketika berbaris di laluan tol. Lagipun, anak-anaklah yang selalu menegur cara pemanduan saya. Rasa inginkan thrill memandu laju sedikit demi sedikit menjadi hambar kerana memandu laju di lebuhraya mula menjadi stres. Agaknya kerana diri sudah dipanjat usia.

Saya mula mencari thrill yang lain. Tatkala memandu melintasi bandar-bandar kecil, saya akan mengangkat tangan bila berselisih dengan mereka yang berbasikal atau bermotosikal. Memanglah lambaian saya itu akan dibalas. Tangan mereka yang membalas lambaian lebih tinggi dari saya. Isteri ada menegur. Katanya, ‘tak baik.’ Tapi saya jawab yang saya hanya ingin gembirakan mereka yang berselisih dengan saya.

Thrill membantu pemandu lain yang menghadapi kenderaan rosak atau tayar pancit tidak pernah saya alami. Tetapi saya pernah berasa thrill bila pasukan perkhidmatan PLUS muncul seminit setelah tayar saya pancit. Seperti petugas di litar lumba, empat orang petugas mengganti tayar kereta saya dengan pantas. Dalam masa seminit, saya boleh memandu pergi!

Banyak kali juga saya memperoleh thrill membantu pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan dengan menelefon talian bebas tol PLUS. Dan kerap kali juga saya mendapat maklumat kesesakan lebuh raya daripada talian bebas tol itu apabila jalan sesak.
Dengan maklumat mereka, saya boleh mencari lorong yang kurang sesak untuk cepat sampai ke destinasi.

Ada ketikanya saya memperoleh thrill dengan meneka berapakah jumlah baki kad Smart Tag kenderaan di hadapan bila melalui tol. Ada baki kad kereta Kancil yang berbaki RM250 dan ada BMW yang punya baki berbelas-belas ringgit sahaja.

Namun, semua thrill yang kecil-kecil itu tidak boleh menandingi thrill melawan ngantuk hingga ke R & R seterusnya. Di usia yang semakin tua, thrill mencari tempat redup untuk melelapkan mata barang seketika di R & R amat menyeronokkan.

Keseronokan kita melakukan sesuatu akan berubah mengikut usia. Apa yang kita rasa seronok dahulu sudah hilang thrillnya. Begitu juga, apa yang menjadi thrill sekarang barangkali dirasakan pelik oleh orang lain, terutamanya oleh anak-anak sendiri.

P/s...hihi...sorry...gi JB jap...

NORDEN MOHAMED

Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini