Loading...
Ketika sedang mengikuti perbahasan sidang Dewan Rakyat mengenai Belanjawan 2013 petang Isnin lalu,penulis telah diperkenalkan oleh Datuk Hashim Lim Abdullah pada James K Yip, bekas penasihat khas kepada Jabatan Perdana Menteri Kerajaan Mongolia.
Beliau adalah dalam rangka lawatan peribadi ke negara ini.
Perbualan yang bermula dengan sesi perkenalan itu akhirnya telah berlarutan kepada sesi perbincangan mengenai perkembangan isu-isu semasa dan politik kedua buah negara. Kesempatan itu digunakan oleh penulis untuk bertanyakan mengenai isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang sering dijadikan modal kempen Pakatan Pembangkang untuk menghentam kerajaan.
Pembangkang kebelakangan ini mengadakan beberapa siri jelajah ceramah semata-mata mahu menyakinkan rakyat bagi mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan tersebut walaupun tidak berapa lama dahulu, Raja Petra Kamaruddin pernah mendedahkan akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam telah dirancang pihak tertentu di kalangan beberapa pemimpin pembangkang bagi menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika sidang Dewan Rakyat yang lalu , Datuk Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu membuat pengakuan mengejutkan pernah diarah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengada-adakan bukti dalam kes pembunuhan model tersebut.
Namun itu semua tidak menghalang Anwar untuk terus menerus mengeluarkan kenyataan fitnah bertujuan untuk mempengaruhi rakyat bahawa pemimpin tertinggi negara adalah merupakan seorang pembunuh. Fitnah demi fitnah dilemparkan saban hari bagi mewujudkan persepsi negatif rakyat. Demi merealisasikan citi-cita kotornya itu dia sanggup melakukan apa sahaja sehingga menjejaskan hubung dagang dua hala antara Malaysia dan Mongolia.
Bagi mengelakkan rakyat terus termakan dengan dakyah dan konspirasi tersebut, Datuk Seri Najib telah melafazkan sumpah di Masjid Guar Perahu di Permatang Pauh bahawa beliau tidak kenal dan tidak ada kaitan langsung dengan Altantuya seperti yang ditohmah.
Namun yang menjadi persoalan sehingga ke hari ini, Anwar masih lagi gagal untuk melafazkan sebarang sumpah sama ada untuk menguatkan tuduhannya atau menafikan penglibatannya terhadap kes liwat dan isu video seks bersama China Doll.
Menurut James, rakyat Mongolia tidak mengambil pusing perkara ini yang digembar gembur oleh parti Pembangkang di Malaysia.
Katanya, mungkin adalah sikit sebanyak persepsi namun akhirnya mereka menganggap ia hanya isu politik yang sengaja digunakan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi.
James memberitahu Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin sendiri telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengelakkan berlakunya ketegangan mengenai isu berkenaan antara dua negara. Antaranya mengadakan majlis sambutan hari Kemerdekaan Malaysia bersama warga Mongolia di Ulaan Baatar.
Sebagai tanda hubungan erat antara kedua negara,kerajaan Mongolia tiga bulan lalu telah meluluskan Datuk Sarudin sebagai duta ke negara itu yang berpejabat di Beijing.
Kedutaan Mongolia di Bangkok pula menjadi wakil negara itu untuk Malaysia.
James menegaskan kerajaan Mongolia secara dasarnya amat berminat untuk mencontohi Malaysia dalam banyak perkara seperti pembangunan infrastuktur, mengurus tadbir kerajaan, pemantapan ekonomi dan sebagainya.
"Rakyat Mongolia secara keseluruhannya amat senang dengan rakyat Malaysia yang terkenal dengan sopan santun dan berbudi bahasa terutamanya mereka yang bekerja di Mongolia," kata James.
Semasa lawatannya ke parlimen James juga telah sempat menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz. - 11/10/12.- OLEH ZULKIFLI RAWI
http://www.agendadaily.com/Analisa/rakyat-mongolia-tak-ambil-kisah-isu-altantuya.html
0 Ulasan
jerit kat sini