Serasikah Kate Dengan Imej Diraja?

Serasikah Kate Dengan Imej Diraja?

Loading...
Majalah People dalam penerbitan bertarikh 8 September lalu menyiarkan tentang lawatan pasangan diraja tersebut di samping memaparkan jadual ketat rangka lawatan pasangan tersebut dari 11 hingga 19 September.

Majalah tersebut juga membuat kesimpulan bahawa Kate tidak mungkin hamil kerana jika beliau sedang mengandung maka mustahil untuk melalui penerbangan yang panjang dan menikmati percutian tersebut dengan selesa.


Tambah editor majalah terbabit, jika Kate mengikuti jadual yang sebegitu padat, beliau akan terlalu lemah dan begitulah keadaan tiga bulan pertama usia kandungan seseorang wanita.

Sebelum ke Malaysia pasangan tersebut telah singgah di Singapura, kemudian diikuti dengan Pulau Solomon dan Tuvalu.

Mereka akan bertemu dengan ramai orang, meneroka pelbagai budaya dan pengalaman baru dan ini sudah pasti sukar bagi Kate jika beliau mengandung.

Dan individu yang paling mengambil berat jika pasangan tersebut bakal menimang cahaya mata sudah tentu nenda mereka, Ratu Elizabeth.

Ratu Elizabeth pastinya mahukan Kate berehat dan tidak perlu melalui perjalanan sebegitu semata-mata memenuhi rangka program bersempena sambutan tersebut.

Bagaimanapun menurut sumber, pasangan tersebut tidak perlu terburu-buru mengambil keputusan untuk memiliki anak kerana mereka perlu memenuhi banyak lagi tanggung jawab lain sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga.




 Selepas setahun setengah mendirikan rumah tangga, ini mungkin bukan masa yang sesuai untuk mereka berdua menjadi ibu bapa.

Dan sudah pasti juga jika Kate mengandung, pihak istana akan membuat pengumuman besar-besaran dan berita tersebut akan tersebar ke seluruh dunia.

Kehidupan istana


 Lebih setahun menjadi sebahagian daripada keluarga diraja, Kate nyata begitu serasi dengan kehidupan istana dan gelaran barunya.
Malah sesetengah pihak melihat kehadiran Kate bagai membawa aura mendiang ibu mertuanya, Puteri Diana yang amat disayangi rakyat Britain sebelum terbunuh dalam kemalangan yang tragis.
                                                                     Puteri Diana

Di samping kejelitaan yang dimiliki, kemesraan dan senyuman yang sentiasa terukir di bibir membuatkan Kate mudah mesra serta senang didekati.

Pada penilaian orang dalam istana pula, Kate seorang yang ceria, mempunyai perwatakan yang ringkas, menjadi diri sendiri dan amat sepadan dengan karakter William.

Memang Kate bukan berasal dari keluarga diraja, namun latar belakang Kate bukanlah calang-calang.

Ibu bapa Kate adalah usahawan yang bertaraf jutawan dengan hasil usaha mereka sendiri.

Kate juga telah diberi pendidikan yang tinggi dan bersekolah di sekolah swasta berasrama penuh di kolej Marlborough sebelum meneruskan pengajiannya dalam sejarah seni di University of St. Andrews di Scotland.

Di universiti itu juga Kate bertemu William lalu memikat jejaka tersebut yang juga mahasiswa di situ sebagai kekasihnya pada tahun 2002.

Selepas lapan tahun menyulam cinta, William melamar Kate dengan sebentuk cincin milik mendiang ibunya, Puteri Diana.

Dan akhirnya pada tanggal 29 April 2011, pasangan tersebut mengambil keputusan berkahwin dalam suasana ala kisah dongeng di gereja Westminster Abbey, sekali gus menukar gelaran Kate menjadi The Duchess of Cambridge.

Kate sebagai trend setter

Gaya Kate kini menjadi ikutan anak gadis dan remaja, bermula dengan gaun pengantinnya hingga kepada pakaian digayakan dalam setiap majlis yang dihadiri.

Boleh dikatakan ramai pengusaha butik pengantin di negara ini 'menjual' nama gaun Kate Middleton kepada bakal pengantin.

Ini senario di Malaysia, di China pula, sebanyak 700 perniagaan fabrik di sana membuat gaun pengantin tiruan hampir 100 peratus menyamai gaun asal rekaan Sarah Burton itu.

Justeru setiap kali gambarnya terpampang dalam majalah, ramai yang mahukan pakaian yang sama berada dalam koleksi mereka juga.

Penampilan Kate dengan dres dari butik Reis Dress ketika menemui isteri Presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama di Istana Buckingham beberapa waktu lalu memang tidak dinafikan amat menawan.

Dilaporkan setelah gambar Kate menggunakan gaun coklat itu tersebar di majalah, ramai wanita terus ke gedung fesyen mencari gaun yang sama hanya beberapa jam selepas mereka melihat Kate dengan pakaian tersebut. Gaun itu pun kini sudah habis dijual.

Mungkin ada yang masih ingat penampilan Kate ketika menonton pertandingan hoki di Olympic Park, Kate mengenakan jean warna batu karang yang membuatnya tampak menawan.

Jean ketat (skinny) keluaran Asda itu terus menjadi ikutan para wanita. Salah satu sumber dari Asda mengakui peningkatan penjualan mereka sebanyak 471 peratus.

Topi Kate juga dikatakan punca ramai wanita Eropah memilih untuk bertopi semula, kerana ada satu tinjauan mendapati penjualan topi naik selepas majlis perkahwinan Kate dengan William.

Penjualan paling ketara untuk topi ini telah direkodkan oleh Retailer High Street Peacocks yang mengalami peningkatan penjualan hingga 95 peratus, dengan hiasan kepala sebagai aksesori yang paling laris.

Kisah cincin tunang Kate dan William juga menjadi aksesori terlaris yang dijual Marks & Spencer. Bayangkan sejak dilancarkan, sebanyak 200 cincin terjual setiap minggu.


Menurut satu sumber dari jenama pewarnaan rambut nombor satu di Inggeris, Nice'n Easy, terjadi peningkatan permintaan 30 peratus pelanggan memilih warna rambut dengan warna coklat kemerahan, warna rambut seperti Kate.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. agak-agaknya Kate ni mesti sangat bahagia kan..

    BalasPadam
  2. @Hanna
    akak harap pun mcm tu gak,jangan hujan ditghari sudah.,..

    BalasPadam

jerit kat sini