a blog full of free information

Pin It

Widgets

Pak Wan rindu lemang, rendang daging

HATI lelaki lewat umur dan kudung tangan kanan itu bagaikan sedang rancak berbicara. Dari muka pintu rumah sederhana besar itu, matanya tepat memandang kami.

"Dah lama tak jumpa awak dan saya masih ingat awak lagi yang pernah temu bual saya di Penjara Kluang pada 1 Ramadan, terima kasih kerana sudi jumpa saya lagi," kata Pak Wan ketika ditemui pada 20 Ramadan lalu. Ini bermakna sudah 20 hari dia hidup bebas selepas menghuni penjara sejak 26 tahun lalu.

Lelaki yang sudah menginjak usia lebih setengah abad itu kini menumpang kasih di rumah saudaranya di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian, Johor.

Pak Wan tidak henti bercerita sisi kehidupannya yang baharu.

Tanah luas terbentang ini bagaikan mewakili kelegaan dirinya. Setiap kali mentari menerpa ke arahnya, ia umpama mengucapkan selamat datang kepadanya yang seolah-olah seperti baru sahaja dilahirkan.


Arus Perubahan
"Walau dah 20 hari saya berpijak di bumi nyata, namun masih wujud perasaan tak percaya yang saya bukan lagi di penjara dan masih hidup lagi.

"Bila pulang ke kampung, orang kampung ingat saya jelmaan Sapuan kerana mereka fikir Sapuan sudah mati, mereka terpinga-pinga apabila tengok saya," luahnya menceritakan pengalaman bersua dengan penduduk di kampung kelahirannya.

Bunyi bising deruan kenderaan yang lalu-lalang di hadapannya membuatkan perbualan Pak Wan terhenti seketika.

"Dulu, sebelum saya ditangkap di sekeliling rumah saya hanyalah pokok getah, kelapa sawit dan semak samun dan hanya kedengaran bunyi cengkerik.

"Segala-galanya berubah selepas 26 tahun, terasa cepat masa berlalu dan betapa ruginya saya tertinggal dalam arus perubahan," katanya yang mengaku tidak tahu menggunakan telefon bimbit.

Pak Wan merupakan seorang daripada lapan banduan yang mendapat pengampunan penuh dan perintah pembebasan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini.

Dia merupakan banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Pak Wan sangat berterima kasih dengan Sultan Ibrahim dan peguam yang mewakilinya, Hisyam Teh Poh Teik.

Ujar Pak Wan, seboleh-bolehnya dia enggan menoleh kembali kepada sejarah lama.

Seperti mengelamun, lelaki yang layak dipanggil datuk itu mengenang momen-momen lampau ketika menyambut Syawal di bilik akhir yang dihuninya sendirian.

"Sebenarnya setiap tahun pada bulan puasa, saya akan membeli walkman untuk mendengar lagu-lagu raya.


SAPUAN bertanya tentang kopiah kepada pekerja kedai di Bandar Pontian, Johor baru-baru ini.

"Namun setiap kali membelinya saya akan menghempas walkman itu ke lantai. Nak tahu kenapa? Sebabnya hati saya cukup sayu bila terdengar lagu raya yang sedih atau terdengar takbir raya.

"Saya terasa diri cukup berdosa, fikiran saya melayang, saya tak ditemani sesiapa dalam sel penjara ini, jiwa saya sangat terseksa, rindu pada keluarga tak terkata," luahnya dengan wajah penuh penyesalan.

Zaman kanak-kanak

Lebih dua dekad menghuni di dalam jeriji besi, Pak Wan berkata, dia hampir terlupa bagaimana sambutan Aidilfitri pada zaman kanak-kanak dan remajanya.

Sambutan lebaran di tirai besi mencatatkan memori dalam hidupnya.

Cerita Pak Wan, tiada istilah baju raya kerana semua banduan akan memakai baju berwarna putih.

Seawal pagi, semua banduan akan bangun dan tunaikan solat sunat hari raya dan bermaaf-maafan sesama mereka termasuk dengan pegawai penjara.

Kemudian kesemua penghuni penjara menikmati jamuan raya yang menghidangkan ketupat dan rendang. Mereka diberi masa antara satu hingga dua jam sebelum masuk ke sel semula.

Pada hari pertama Syawal, suasana agak sunyi daripada biasa. Masing-masing hanya melayan perasaan sendiri.

"Ada yang menangis, ada yang tak bercakap dan ada yang tidak henti menulis diari kehidupan mereka," ujarnya.

Setiap daripada mereka, kata Pak Wan, tidak sabar menunggu hari ketiga Syawal kerana pada hari itulah mereka akan dikunjungi sanak saudara dan rakan taulan.

"Malam sebelumnya saya tak lena tidur sebab saya tahu kakak saya pasti datang melawat dan kami akan menangis ketika bertemu kerana kerinduan," imbaunya.

Apakah perasaannya menyambut Aidilfitri selepas 26 tahun menghuni di jeriji besi?

Bagaimana pula dengan rutin Ramadannya? Jelas Pak Wan, lazimnya dia menunaikan solat tarawih di surau yang terletak di hadapan rumahnya. Ia merupakan lokasi keramat kerana di situlah dia ditangkap atas kesalahan mengedar 6.71 kilogram kanabis pada tahun 1987.

"Itulah tempatnya tapi sekarang surau itu telah diperbaiki dan ramai jemaah datang solat setiap hari," katanya sambil menunjukkan arah surau itu.

Sambil berseloroh lelaki tua itu berkata, dia umpama kanak-kanak yang mahu menyambut hari raya.

Persiapan Aidilfitri

"Wah, saya berdebar dan tak sabar rasanya nak beraya. Sempena kehadiran saya, sanak-saudara termasuk adik-beradik saya akan berkumpul di rumah ini," katanya.



Sapuan mengucapkan rasa syukur sambil berlutut di hadapan Penjara Kluang, Johor sebaik dibebaskan dari penjara pada 21 Julai lalu.

Pak Wan masih tidak berkesempatan membeli sebarang persiapan raya lagi. Justeru, pelawaan Kosmo! yang mahu membawanya ke pekan Benut untuk membeli-belah disambut dengan tangan terbuka.

Kegembiraannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Dia mengenakan kasut yang pernah disarungnya ketika di penjara.

Dendangan lagu raya dalam kenderaan membakar keterujaannya. Dia teringin mahu mendengar lagu nyanyia Sanisah Huri yang bertajuk Bersabarlah Sayang dan lagu Cahaya Aidilfitri dendangan Black Dog Bone akan berkumandang di corong radio.

Setibanya di pekan Benut Pak Wan tidak berlengah lantas memilih baju kurung Melayu teluk belanga berwarna ungu, kain pelikat berwarna merah bata dan kopiah berwarna putih.

Dia tidak mahu lagi memilih baju Melayu berwarna putih kerana itu semua akan membangkitkan nostalgia lama di penjara.

Sebagai lambang kasih dan sayangnya kepada cucu saudaranya yang tidak pernah berjumpa, Pak Wan memberitahu, dia akan menghadiahkan setiap daripada mereka sebuah replika kapal layar.

Dia mempelajari skil membuat kapal layar ketika menghuni Penjara Kluang.

Sambil menunjukkan semua perkakas yang telah dibelinya, lelaki itu tiba-tiba berkata, dia mahu menikmati lemang dan rendang daging.

"Itu memang kegemaran saya, dah lama sangat tak makan dan saya pasti kakak-kakak dan anak saudara saya akan masak untuk saya," tuturnya sambil tertawa besar.

Namun, ada satu lagi hadiah istimewa yang ingin dia zahirkan kepada semua ahli keluarganya.

"Saya berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lampau, anggaplah Sapuan dulu sudah mati dan kini ialah Sapuan yang baharu," katanya.


p/s  chewah..kaler-kaler tulisan kali ni...meriah gitu

1 comments:

  1. Semoga beliau mendapat sinar yang selama ini mungkin telah hilang...

    ReplyDelete

jerit kat sini

 
Top