Di Sebalik Tragedi ; Anak Disamun Mayat Dibuang. Perbuatan Itu Kejam!!!

Di Sebalik Tragedi ; Anak Disamun Mayat Dibuang. Perbuatan Itu Kejam!!!

Loading...
Ramadan ini nyata paling menyedihkan buat keluarga Jaafar Ariffin, 75 dan isterinya, Soyah Mohd Akhir, 70. Jika tahun sebelumnya, Ramadan disambut penuh keceriaan tetapi kali ini amat suramka. Buat pertama kalinya, mereka meraikannya tanpa kehadiran anak perempuannya, Ruzina Jaafar, 40, yang meninggal dunia akibat disamun. Lebih menyayat hati selepas dibunuh, mayat anaknya itu dibuang di seberang sungai berhampiran Rantau, Negeri Sembilan. MW berkongsi luahan hati ibu arwah yang begitu merasai pemergian anaknya.

“Sebagai bapa, pakcik bersyukur anak “balik”. Sekurang-kurangnya ada kuburnya. Tapi kalau dicampak ke dalam sungai dan dihanyutkan air deras, mungkin kesedihan lebih terasa. Terpulang pada undang-undang menentukan apa hukuman kepada pembunuhnya, semua ini pakcik anggap takdir Allah,” demikian luah Jaafar Ariffin.

Itu saja termampu Pakcik Ariffin katakan sepanjang hampir dua jam penulis di rumahnya, Kampung Menteri Besar, Bukit Kelulut, Bahau, Negeri Sembilan. Kata-katanya padat dan penuh beremosi. Jika bapa kepada 12 anak ini punya kata-kata yang agak ringkas, lain pula dengan isterinya, Soyah yang lebih banyak menangisi pemergian arwah anak kesayangannya itu.

Malah dalam pertemuan kami, Makcik Soyah yang banyak cerita. Semakin banyak cerita dikongsi, semakin lebat air matanya mengalir.

Penulis memahami gelojak emosi dirasainya. Sebagai ibu, dia tentunya mengharapkan anaknya sihat-sihat saja namun takdir Allah mengatasi segala-galanya apabila Makcik Soyah yang menyaksikan pengebumian jenazah anaknya, bukan mengikut hierarki, yang tua akan meninggal dahulu.

Tak Fikir Buruk
Berkongsi luahan hatinya, Makcik Soyah menjelaskan, tanggal 27 Mac 2012 sukar dilupakannya. Pada tarikh itulah suami Ruzina, Shukri menelefon dari Simpang Pertang, Jelebu Negeri Sembilan bertanyakan tentang arwah Ruzina atau dipanggil Kak Chik.

“Sekitar jam 7 pagi, Shukri menelefon ke rumah bertanya sama ada Kak Chik balik atau tidak. Makcik jawab tiada. Mulanya tak fikir pun sesuatu yang buruk berlaku pada arwah. Makcik cuma sangka mereka bergaduh tapi kata Shukri, tiada pertelingkahan antara mereka.

“Cerita Shukri lagi, arwah ada balik sebentar ke rumah menghantar anak-anak pada jam 12.00 tengah malam sebelum kembali semula ke kedai makan di Simpang Pertang yang biasa ditutup pada jam 2.30 pagi. Makcik berpesan padanya, kalau Kak Chik balik ke rumah, telefon makcik semula.

“Lepas Shukri telefon, makcik telefon anak, Rafi. Makcik beritahu yang Kak Chik tak balik rumah. Kemudian Rafi ada menelefon Shukri dan menyuruhnya membuat laporan polis kerana kehilangan Kak Chik.

“Dalam sibuk-sibuk mencari ke mana Kak Chik menghilang itulah, Shukri meminta Rafi membuat pengecaman mayat kerana kata pihak polis, mereka sudah menjumpai mayat seorang wanita berdekatan sungai Rantau, Negeri Sembilan.

“Sewaktu Rafi ke sana, makcik tak faham apa yang terjadi lagi sehinggalah seorang lagi anak makcik, Azizul balik ke rumah dan mengajak makcik bersiap untuk ke Hospital Seremban. Kata makcik buat apa ke sana sedangkan abah sudah pun buat pemeriksaan di klinik semalam. Kemudian Azizul terus menangis memberitahu Kak Chik sudah meninggal berdasarkan pengecaman yang dibuat,” katanya yang kelihatan sebak. Saat cerita itu diimbas pantas tangan Makcik Soyah mengambil hujung tudung dipakainya buat menyapu air mata yang mula mengalir lebat. Teresak-esak tangisannya dan dalam pada itu, ibu tua ini menyambung, tahi lalat berdekatan mata menjadi petunjuk itulah anak paling dikasihinya semasa proses pengecaman mayat dilakukan.

“Keadaan wajahnya agak teruk kerana dijerut. Giginya sudah terkeluar selain muka yang membengkak. Sebagai ibu, sudah tentu hati saya begitu terluka. Saya tatangnya bagaikan minyak penuh tetapi senang-senang saja orang buat begitu, kejam dan langsung tak berperikemanusiaan,” katanya terus menangis.

Siapa pun yang berada di tempat ibu ini pasti tersayat hati Tapi berat bahu memikul berat lagi mata memandang apatah lagi Ruzina adalah anak yang begitu mengambil berat akan soal dirinya.

Pantang mendengar tiada barang di rumah, anaknya akan segera datang dan menghulurkan bantuan. Begitu juga rumah yang diduduki Makcik Soyah, Ruzina juga yang membinanya hasil berniaga kuih muih setiap kali Ramadan di pekan Batu Kikir selain hasil jualan kedai makan yang diusahakannya.

“Setiap kali bulan puasa, makcik tak perlu masak. Setiap hari arwah akan bawakan lauk pauk untuk kami semua. Malah kalau hari raya, biasanya arwah paling suka makan rendang yang makcik masakkan,” katanya menahan tangis.

Tahi Lalat Bawah Mata Jadi Petunjuk
Dalam pada itu, perbualan ini disertai Rafi, abang arwah Ruzina. Kata Rafi, dia membuat pengecaman mayat di tepi Sungai Rantau itu keadaan adiknya cukup menyedihkan sekali. “Muka arwah sudah lebam. Giginya terkeluar. Ruzina dan ada tahi lalat bawah mata dan bila saya perhatikan, memang benar itulah adik saya,” katanya sambil memberitahu suspek pembunuh adiknya dapat ditangkap di Johor Bharu selepas 11 hari melarikan diri.

“Kata pihak polis, malam itu mereka sudah membuat serbuan ke rumah sewa suspek tetapi suspek sudah melarikan diri ke rumah keluarganya yang terletak di Felda Lui Barat. Semasa serbuan polis itu, dua ditahan kerana mereka merupakan pelanggan terakhir yang makan di kedai Kak Chik malam itu. Malah pihak polis turut menjumpai tali pinggang digunakan suspek untuk menjerut leher adik saya di rumah keluarganya.

“Sebenarnya sudah tiga kali sebutan kes ini berlangsung. Keluarga suspek juga ada menemui keluarga saya. Mereka meminta maaf tetapi semasa pertemuan itu, saya katakan kepada mereka, pakcik dan makcik tak buat apa-apa dosa pun pada saya tetapi yang bersalah mungkin anak makcik.

“Kalau diikutkan, suspek bukan lawan adik saya tetapi caranya sangat kejam. Barangan kemas arwah adik sudah dileburkan manakala aksesori kereta pula sudah ditemui semula oleh pihak polis. Duit berniaga juga tidak sempat dimasukkan ke bank dan jumlahnya ribuan ringgit,” katanya dalam nada tenang.

Tinggalkan 5 Anak
Cerita Makcik Soyah, setiap kali sebutan kes anaknya yang diadakan di mahkamah di Seremban, seawal pagi lagi dia sudah bersiap bersama anak-anaknya untuk mendengar kes itu disebut.

“ Kalau ikutkan hati makcik yang marah ini, tak tersebut apa yang nak diluahkan. Hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya tatkala memandang wajah suspek.

Makcik serahkan kepada undang-undang untuk menghukum atas kesalahan yang dia lakukan. Kalau ada kudrat, mahu rasa membalas balik apa dia lakukan. Sedihnya hati ini memang tak boleh nak cakap. Makcik harap hukumannya setimpal,” katanya menahan tangis.

Menambah cerita, kata Makcik Soyah, memang ada keluarga suspek bertemunya tapi dia agak sukar menerima kenyataan ini. Dalam pada itu, sambung Pakcik Jaafar yang tidak pernah mengikuti sebutan kes di mahkamah kerana kurang sihat apa yang dilakukan terhadap anaknya memang kejam. Sebagai ayah, dia mahukan hukuman setimpal jika benar suspek membunuh anaknya.

“Perbuatannya memang kejam dan saya akui ini semua takdir Allah. Namun sebagai bapa, saya bersyukur kerana arwah “dikembalikan” kepada saya,” katanya lagi. Pemergian arwah meninggalkan berita sedih buat anak-anaknya seramai lima orang. Selepas kejadian, dua dari anak arwah iaitu Mohd Faiz, 12 dan Nur Aisyah balqis, 9 tinggal bersama Makcik Soyah manakala dua lagi, Wani Salfi na, 17 dan Lily Maisarah
15 tinggal di asrama sementara, Mohd Iqbal, 19 sudah habis sekolah.

Ditanya apakah petanda terakhir yang ditunjukkan arwah anaknya itu, jelas Makcik Soyah, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan mereka hanya bertemu seminggu sebelum kejadian iaitu ketika kenduri kahwin anaknya. “Itulah kali terakhir makcik jumpa arwah. Dia mengemas periuk belanganya yang dipinjamkan untuk kenduri adiknya. Tapi pada hari itu habis saja kenduri kahwin, tanpa mendung dan dalam cuaca panas, ribut melanda kampung.

“Mungkin itu petandanya tapi makcik yang tak perasan. Petang sebelum kejadian, anaknya Iqbal ada hantarkan air tapisan untuk makcik dan malamnya kami dikejutkan dengan berita kematiannya,’ katanya lagi. Mengikut makcik Soyah ke kubur anaknya, penulis tahu betapa hatinya sangat remuk. Tatkala meramas tanah kubur berkenaan, penulis merasakan mungkin sebegitulah makcik Soyah mahukan hukuman untuk pembunuh anaknya.

Catat Ulasan

0 Ulasan