Wahai Lelaki Bernama Suami...Bacalah!!

Wahai Lelaki Bernama Suami...Bacalah!!

Loading...
Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri dan Ahli Keluarganya
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang bertanggungjawab akan menyediakan nafkah zahir seperti makan-minum, pakaian, rumah, kenderaan dan pendidikan formal (bersekolah). Kedudukan keperluan zahir ini bergantung kepada kemampuan suami dan Islam tidak membebankan suami yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas yang lengkap seratus peratus.

Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu. Bila pandangan mereka menjadi sempit, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai membaca al-Quran, meninggalkan berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.

Nabi S.A.W. telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:
"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."

Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka.

Nabi S.A.W. pernah sabda maksudnya : "Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah S.W.T. dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardu ain iaitu ilmu tauhid, fekah dan tasauf.

Tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya akidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Mengajarkan konsep Kalimah Tayyibah itu (yakni kalimah la ilaha illAllah - لا اله الا الله) dan memberi kefahaman mengenai Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Menjelaskan dan mempercayai satu persatu mengenai rukun-rukun Iman. Jika suami kurang berkemampuan mengajar agama kepada isteri dan anak-anak maka perlu dihantar kepada guru-guru yang bertuliah untuk memberi pendidikan agama.

Suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isteri-isterinya (jika berpoligami) , rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa ; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata yang tidak elok maka di khuatiri akhlak anak seperti apa yang diucapkannya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya.

Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain. Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah S.W.T.

Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah SWT dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan.

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah at-Tahrim ayat 6)

Allah S.W.T. menyuruh orang-orang beriman agar memelihara dirinya dan ahli keluarganya daripada api neraka, maksudnya; 'Peliharalah diri kamu' itu bukan sahaja sekadar mentaati segala perintah Allah tetapi juga adalah menjauhi segala larangan Allah kepada diri kita seperti dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan juga larangan yang mendatangkan boleh menimbulkan fitnah dan syubhah. Contoh dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, makan riba, mencuri dan lain-lain. Manakala dosa-dosa kecil seperti melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah atau bergaul lelaki perempuan yang diharamkan oleh Allah dan sebagainya. Dalam perkara syubhah dan makruh juga perlulah dielakkan kalau kita hendak memelihara diri daripada seksa api neraka.

Allah S.W.T. . maksudkan 'Ahli keluarga kamu' itu ialah, isteri-isteri kita, anak-anak, orang-orang gaji dan sesiapa saja yang di dalam jagaan kita. Tanggungjawab kita kepada ahli keluarga ialah menjaga, mendidik, mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan perkara-perkara sepertimana yang Allah S.W.T. memberi tanggungjawab pada diri kita sendiri. Perlulah disuruh anak isteri melakukan perkara-perkara yang berbentuk fardu ain dan fardu kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain. Wajib pula menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina, mencuri, dedah aurat, mengumpat, hasad dengki, takbur, riak dan lain-lain lagi.

Jelaslah di sini bahawa peringatan Allah SWT dalam memelihara diri kita bukanlah terhad kepada diri kita sahaja, ia adalah meliputi seluruh keluarga kita serta mereka-mereka yang berada di dalam jagaan dan keluarga kita. Kalau kita tidak memimpin dan mendidik ahli keluarga kita, kita masih lagi belum terlepas dari seksaan api neraka. Kerana Allah telah perintahkan, "Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu."

Daripada hadis Rasulullah S.A.W. yang menunjukkan bagaimana amalan seseorang itu walau sebesar manapun akan hapus disebabkan ia tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya dan semua mereka yang berada di dalam jagaannya, maka berkatalah malaikat, bahawa inilah orangnya yang telah menghapuskan semua amalan kebajikan oleh ahli-ahlinya dan anak-anaknya semasa di dalam dunia.

Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama bahawa sesungguhnya syarat pertama untuk memasuki syurga kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan anak-anaknya. Apabila seorang lelaki hendak dibawa ke syurga kerana amal solehnya, tiba-tiba isteri, anak-anak dan orang-orang yang dibawah tanggungannya mengadu kepada Allah SWT bahawa suaminya atau bapanya tidak melaksanakan kewajipan mengajarkan agama kepada mereka semasa di dunia maka lelaki tersebut akan ditarik oleh ahli keluarganya ke neraka.

Sahabat yang dikasihi,
Seorang lelaki yang telah sempurna amal solehnya belum tentu dengan mudah untuk dia memasuki syurga Allah SWT sebelum dia menyempurnakan tanggungjawabnya terhadap ahli keluarganya terlebih dahulu. Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha mendidik diri kita, ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat kita seluruhnya kepada ajaran Islam, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan istiqamah diatas jalan yang hak.

post by:abubasyer

Catat Ulasan

0 Ulasan