Tok Rahman Ghaib Disorok Bunian Bertubuh Sasa?

Tok Rahman Ghaib Disorok Bunian Bertubuh Sasa?

Loading...
Misteri ghaib 48 jam, dakwa dijaga tujuh lelaki sasa

Abdul Rahman serik untuk keluar menjair ikan lagi, bukan kerana takut tetapi tidak mahu menyusahkan orang lain.


MARAN - “Pak cik nampak ramai orang kampung suluh mencari dan memanggil nama pak cik tapi apabila pak cik menyahut, mereka tidak dengar.”

Demikian kata seorang warga emas berusia 82 tahun yang hilang dalam tempoh 48 jam selepas keluar memukat (menjair) ikan sendirian di sebatang anak sungai dalam kawasan ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Orang Asli Batu 55, di sini.

Mangsa, Abdul Rahman Dauhat yang menetap di Kampung Kuala Sentul berkata, sepanjang tempoh kehilangannya, dia dijaga dengan baik oleh tujuh lelaki berbadan sasa dan ditemani seekor harimau di kawasan ladang berkenaan.

Menurutnya, dia tidak berasa mengantuk atau letih cuma dahaga, namun lelaki terbabit memberinya minum air sungai berkenaan.

“Saya minta seorang anak perempuan menghantar saya ke anak sungai ini ketika dia hendak keluar menoreh getah.

“Sudah banyak kali saya menjair ikan di anak sungai ini, cuma pada hari kejadian (kelmarin), saya ke lokasi lain tetapi masih di sungai sama,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sebaik siap memasang jaring, tiba-tiba sekumpulan ikan meluru masuk ke dalam perangkapnya dan tidak sangka, dia mendapat lebih empat kilogram ikan termasuk jenis sebarau.

“Selesai mengutip ikan, saya naik ke tebing dan ketika itu, kaki saya rasa berat, sakit dan menggigil sehingga menyebabkan saya rebah kerana tidak dapat menahan kesakitan,” katanya.

Datuk kepada 35 cucu itu berkata, dia kemudian dibantu tujuh lelaki berkenaan yang didakwanya manusia biasa tetapi tidak dapat dilihat orang lain.

Katanya, seorang daripada mereka mendukungnya ke sebuah bukit dan diletakkan di pangkal sebatang pokok kelapa sawit.

“Saya masih sedar dan sedikit pun tidak rasa takut, malah pada waktu malam, tiada seekor nyamuk di kawasan ini.

“Saya nampak orang kampung membawa lampu suluh untuk mencari saya, tetapi selepas tiga kali menyahut, lelaki yang menjaga saya melarang daripada terus berbuat demikian,” katanya.

Abdul Rahman yang pernah berkahwin sebanyak lapan kali berkata, dia tidak tidur sepanjang tempoh dua hari dua malam tersebut sebelum ditemui seorang pekerja ladang kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.

Anaknya, Siti Khadijah, 24, berkata, penduduk kampung memulakan operasi mencari apabila ayahnya tiada di sungai berkenaan ketika dia datang menjemputnya pada jam 4 dan 6 petang.

Menurutnya, ini adalah kali pertama ayahnya hilang walaupun sudah biasa keluar menjair ikan di sungai berdekatan.

Sementara itu, ketua operasi mencari dan menyelamat, Asisten Superintendan Sulaiman Hamid berkata, tiga pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Maran menyertai operasi selama dua hari itu dengan bantuan unit pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta penduduk kampung.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan lemah akibat keletihan oleh seorang pekerja ladang kira-kira 10 kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang.

“Polis menolak sebarang unsur jenayah kerana mangsa dipercayai sesat,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan