Hebatnya penangan cinta sejati!Baca!

Hebatnya penangan cinta sejati!Baca!

Loading...
Kenangan cinta kukuh rumah tangga

Tatkala sedang asyik maksyuk bercinta, apa sahaja yang ada kaitan dengan kekasih pasti kita hargai, kita sayangi. Bukan dia dan keluarganya sahaja, malah pengerusi JKKK dan ketua syarikat pinggan-mangkuk di kampungnya pun kita berasa sangat dekat di hati.

Begitulah hebatnya penangan cinta sejati!

Ya, saya bercakap atas dasar pengalaman tetapi saya percaya, yang mengalaminya bukan saya seorang.

Saya pernah mengaku kepada kekasih - sekarang sudah jadi isteri dan ibu kepada empat buah hati saya- bukan sahaja kucing comel di rumahnya, ayam togel yang melintas ketika saya dalam perjalanan untuk bertemu ayah dan emaknya buat pertama kali pun kalau boleh saya hendak tangkap, peluk dan cium.

Dan saya juga mengaku, batu di tepi jalan ke rumahnya pun… mahu sahaja saya kutip bawa balik, simpan bawah bantal dan setiap malam sebelum tidur, kucup satu persatu sambil berdoa moga-moga cepat dapat bersatu.

Biar, biarlah saya dianggap gila kerana pengakuan ini. Bagi saya, semua kegilaan itu ada maknanya yang tersendiri untuk mengukuhkan lagi rumah tangga kami.

Sebelum itu saya mahu bertanya, siapa yang tidak pernah gila kerana cinta?

Kerana tidak mahu mencetuskan masalah diplomatik, saya tidaklah mahu menyebut nama seorang pembesar luar negara yang dalam satu nota kepada kekasihnya ketika cinta mereka dihalang beberapa tahun lalu pernah menyebut: “Sayang, alangkah indahnya jika aku jadi seluar dalam kamu …”

Sekurang-kurangnya saya tidaklah sampai ke tahap itu.

Pasangan itu sekarang sudah pun berkahwin dan tidak tahulah jika si pembesar itu masih lagi tergila-gilakan seluar dalam isterinya, lebih daripada isterinya sendiri.

Walaupun bagi mereka yang selalu berkepala sejuk, hal yang seperti itu mungkin dianggap gila, bagi saya ia sangat penting.

Sampai hari ini saya masih mahu, tidak jemu malah tidak malu untuk mengimbas kegilaan itu.

Ya, saya seorang yang sangat menghargai kenangan kerana betapa kaya pun seseorang, kita tidak akan mampu membayar untuk masa yang sudah berlalu.

Masa yang sudah melahirkan satu sejarah besar dalam hidup kita.

Hari ini, kita mungkin sudah berubah namun kenangan itu akan menyedarkan semula siapa diri kita, siapa pasangan kita dan dari mana sejarah itu bermula.

Kerana itu, apabila seorang rakan dalam Facebook petang semalam menitipkan status betapa seronoknya dia apabila terjumpa semula beg tangan Bonia yang jadi hantaran perkahwinannya – suaminya rakan karib saya sejak kecil – 16 tahun lalu, saya tiba-tiba berasa lain macam.

Tidak! Jangan tersalah faham kerana tidak mungkin jantan tulen ini tiba-tiba berubah jadi peminat beg tangan Bonia pula.

Perasaan lain macam yang saya maksudkan ialah apabila satu rasa yang sangat istimewa tiba-tiba menyusup naik dari lubuk hati dan melitupi segenap ruang di mana saya berada, dan kemudian menghantar saya ke dekad sentimental yang sudah lama berlalu.

Tidak! Saya tidak ada kena mengena dengan isteri rakan baik saya itu cuma status Facebooknya telah mengingatkan saya kepada banyak kenangan lama yang dilalui bersama isteri pada zaman percintaan kami.

Meskipun dalam komennya yang kemudian dia berkata, sekarang bukan lagi Bonia tetapi Gucci dan Coach yang menguasai koleksinya, saya percaya Bonia nan satu itu juga yang paling istimewa di hatinya.

Ini bukan soal harga atau fesyen, sama ada up to date ataupun tidak tetapi nilai sentimental yang dibawa beg tangan itu dari masa lalu, apa lagi dengan status sebagai hantaran perkahwinan menjadikan ia sangat berharga.

Bagi saya pula, seperti yang saya sudah kata, apa sahaja kenangan dari zaman bercinta, semuanya penting belaka waima secebis daun kering yang ditulis nama berdua.

Ya, bagi generasi ‘4 series’, tulis nama pada daun sudah sebesar-besar tanda.

Dan bagi saya, ia akan jadi lebih bermakna jika daun yang rapuh itu dapat disimpan dan dijaga hingga bertahun-tahun lama, sama seperti kita menjaga cinta dalam rumah tangga.

Seperti juga daun, cinta yang tidak dijaga akan jadi rapuh dan mudah hancur. Namun andai dijaga dengan sempurna, semakin lama, semakin tinggi nilai dan maknanya. Dan sudah tentu, menjaga daun kering jauh lebih sukar daripada beg tangan Bonia!


Muhammad Mat Yakim

Catat Ulasan

0 Ulasan