Seronoknya Tidur DiCelah Batu Nisan!!Baca!!

Seronoknya Tidur DiCelah Batu Nisan!!Baca!!

Loading...
Tertidur di celah batu nisan

TERTIDUR di samping deretan batu nisan sudah menjadi perkara biasa buat Leong Soon dan adiknya, Leong Chuan.

PETANG itu, kedai batu milik Kuah Leong Soon, 60, kelihatan lengang. Mungkin kerana hujan masih lebat mencurah di pekan lama Kuala Selangor. Hanya ada seorang pelanggan lelaki separuh baya yang dari tadi mundar-mandir di dalam kedai yang dipenuhi dengan pelbagai jenis batu nisan itu.

"Saya sudah setengah jam di sini. Niatnya tadi cuma mahu menumpang teduh. Tetapi apabila tengok batu-batu nisan ini, saya terfikir untuk membelinya bagi menggantikan kayu nisan penanda kubur arwah bapa," kata Kadir A. Jailani, 52.

Enggan potretnya dirakam, dia yang menetap di Mukim Ujong Permatang, kira-kira 15 kilometer dari pekan Kuala Selangor sering melintasi kedai Leong Soon, tetapi baru hari ini dia tergerak untuk menumpang teduh di situ.

Tertarik dengan kerja tangan dan keunikan batu nisan yang dipamerkan, dia membelinya.

"Saya masih mencari batu nisan yang sesuai. Di sini, mereka jual batu ori dari bukit, bukan batu nisan konkrit. Sudah tentu yang ini lebih tahan lama.

"Saya pilih yang bersaiz sederhana kerana harganya lebih murah dan mudah dibawa pulang dengan motosikal," ujar Kadir.

Sambil memerhatikan pelanggannya memilih, Leong Soon yang duduk di bangku kayu memberitahu, Kadir adalah pelanggan ketiganya hari itu.

Ketuk Batu
PEKAN lama Kuala Selangor ini menjadi saksi kewujudan kedai batu nisan bertulisan jawi yang diusahakan keluarga Kuah sejak puluhan tahun lalu.

"Setiap hari memang ada orang datang ke kedai, tetapi bukan semuanya membeli. Ada mahu tengok-tengok dulu, itu adatlah," jelasnya.

Dia yang kelihatan uzur selepas diserang strok lima tahun lalu bagaimanapun masih kuat berjalan dan melayan pelanggan.

"Selepas mendapat strok, saya berhenti buat kerja-kerja berat. Kalau masih sihat, setiap pagi saya bersama adik, Kuah Leong Chuan, 56, akan mengayuh basikal dan pergi mengetuk batu granit di bukit menggunakan tukul besi bersaiz besar.

"Sebelum tengah hari, kami akan bawa pulang batu yang sudah dipecahkan dan letakkannya di bengkel kami yang terletak di bawah pokok di seberang jalan sana.

"Sebelah petangnya pula, selepas makan tengah hari dan berehat, kami kembali ke bengkel untuk memahat batu.

"Selain buat batu nisan, kami juga buat lesung batu, batu giling dan batu kisar.

"Itulah rutin harian kami. Tetapi, selepas saya sakit, Leong Chuan menguruskan semuanya. Saya hanya jaga kedai dan bantu dia tulis nama atas batu nisan saja," jelasnya.

Kedai batu milik keluarga Kuah ini merupakan warisan turun-temurun.

"Tidak pasti pula sejak bila keluarga saya mula berniaga batu nisan tetapi mengikut cerita mendiang bapa, datuknya mempelajari membuat batu nisan daripada moyang saya," ujarnya yang belajar memahat batu sejak kecil lagi.

Berlian

Menarik tentang perniagaan ini, hampir 90 peratus batu nisan yang dihasilkan adalah untuk orang Islam. Selebihnya, Leong Soon menjual kallarai atau batu kubur untuk masyarakat Hindu. Mereka tidak membuat batu kubur untuk orang Cina.

Menggunakan batu bukit yang padat dan keras, mereka berdua menghasilkan batu nisan tanpa menggunakan acuan.

Sebaliknya, bongkah batu berwarna putih samar itu hanya dilakar dengan pensel sebelum dibentuk dengan pahat jantan yang menggunakan mata yang dipanggil berlian.

"Jangan salah anggap. Ia bukan berlian yang mahal itu. Mata pahat jenis ini diperbuat daripada besi konkrit yang diasah sehingga lancip.

"Pemegangnya pula tidak boleh sembarangan. Hanya tembaga yang sudah dimasak boleh memegangnya," ujar Leong Chuan yang menghasilkan setiap produk secara manual.

Mahu mengekalkan tradisi pembuatan batu nisan yang diperturunkan nenek moyangnya, Leong Chuan lebih selesa bekerja menggunakan kudrat empat keratnya.

"Daripada pecah batu, bawa pulang ke bengkel, pahat batu, semuanya guna tenaga sendiri. Saya hanya pakai mesin untuk melicinkan permukaan batu sebelum membawanya ke kedai untuk dijual," katanya yang mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan sepasang batu nisan.

Meletakkan faktor saiz sebagai penentu harga, setiap set batu nisan dijual pada harga antara RM160 hingga RM400 sepasang.

Selain saiz, panjang dan ukiran kepala batu nisan juga berbeza-beza. Secara tradisi, kubur lelaki menggunakan batu nisan berkepala empat segi atau bulat sementara batu nisan jenazah perempuan mempunyai ukiran kepala batu yang lebih pipih.

"Memandangkan Kuala Selangor terletak dekat dengan kawasan pantai, kami menawarkan batu nisan yang panjang dan pendek.

"Untuk kawasan kubur berpasir, lebih baik menggunakan batu yang panjang. Jika kubur di kawasan tanah yang keras, batu nisan yang pendek sudah memadai.

"Jika dilihat, kami melicinkan bahagian atas batu sahaja manakala bahagian bawahnya kami biarkan kasar.

"Batu kasar akan memegang tanah. Jika ada orang hendak membuat khianat, mereka tidak boleh mengangkat batu itu.

"Kami percaya batu bukit ini bukan saja kukuh dan padu, tetapi juga hidup. Batu ini boleh membesar seperti batu nisan kubur lama di Bukit Melawati dan yang ada di Kuala Pilah, Negeri Sembilan," kata Leong Chuan.

Basikal
LEONG Chuan sering mengangkut dan memindahkan batu nisan dan lesung batu menggunakan basikal tuanya.

Batu nisan kanak-kanak saiznya lebih kecil dan harganya lebih murah. Beratnya pula sekitar 10 hingga 15 kilogram (kg) sahaja.

Bagi yang bersaiz sederhana, harganya dalam lingkungan RM220 hingga RM320. Beratnya pula dianggarkan kira-kira 60kg satu set manakala batu nisan bersaiz besar, harganya antara RM300 hingga RM400.

"Ia memang berat, lebih kurang 80kg sepasang," kata Leong Chuan yang hanya menggunakan basikal untuk mengangkut batu-batu itu.

Semacam mengerti keraguan di hati penulis, lelaki ini menjelaskan, dia ada teknik tersendiri untuk mengangkat batu yang berat itu untuk diletakkan di pelantar tempat duduk belakang basikal. Malah, dia tidak kekok membawa batu nisan mahupun batu kisar tanpa perlu diikat.

"Biasanya apabila saya angkut batu ke kedai, pemandu lain pasti memberi laluan, terutamanya ketika saya membawa batu nisan yang sering dikaitkan dengan kematian," selorohnya yang tidak pernah bermimpi perkara yang pelik-pelik walaupun seringkali tertidur di sebelah batu nisan apabila kepenatan.

Jelas Leong Chuan lagi, dia dan abangnya kadangkala tidak menang tangan melayan pelanggan terutamanya ketika menjelang puasa dan seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Biasanya waris-waris akan beli batu nisan sempena hari raya kerana ketika itulah ramai sanak saudara akan pulang ke kampung dan menziarahi kubur.

"Untuk pembelian pada hari biasa, biasanya batu nisan ditempah seminggu selepas si mati meninggal dunia.

"Batu nisan akan dipasang pada hari ke-40 atau hari ke-100 pemergian si mati. Namun, ada juga waris yang beli batu nisan untuk menggantikan batu sedia ada yang sudah rosak," jelasnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan