Loading...
RAHITA SHARWA baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Sharwa Shivram di sebuah penempatan padat di pinggir New Delhi, India.
Namun, pada hari kedua perkahwinan mereka, Rahita nekad meninggalkan rumah mertuanya dan mahu tinggal bersama keluarganya yang tinggal di kawasan desa di Uttar Pardesh.
Alasannya, rumah mertua Rahita tidak mempunyai tandas. Untuk membuang air dan membersihkan diri, dia perlu berjalan kaki sejauh 500 meter melalui kawasan setinggan yang sesak, berlopak dan kotor.
Destinasinya bukanlah jeram di kawasan pinggir hutan yang menawarkan air bersih dan jernih sebaliknya hanyalah sebatang sungai yang sudah tohor airnya.
Lebih menyedihkan, tidak jauh dari tempatnya mencuci pakaian, terbina pelantar kayu memanjang yang menempatkan puluhan tandas terbuka.
Keadaan ini bukan perkara baharu di India malah hampir kebanyakan kawasan penempatan di negara kedua terpadat di dunia itu berdepan dengan masalah tandas yang cukup membimbangkan.
Menurut laporan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Youth Ki Awaaz Indian pada tahun 2011, hanya 366 juta penduduk India mempunyai akses kepada tandas persendirian, sementara baki 650 juta penduduk terpaksa membuang air di tempat terbuka.
Memburukkan lagi keadaan, penempatan miskin di tengah New Delhi yang mempunyai kepadatan 16 juta rakyat itu tidak mempunyai satu pun tandas bagi 10,000 penduduknya.
Demi mewujudkan persekitaran bersih dan mahu menggalakkan rakyatnya memiliki sekurang-kurangnya seunit tandas dalam sebuah rumah, kerajaan India menetapkan satu slogan yang perlu dipatuhi golongan lelaki yang ingin berkahwin di negara itu iaitu ‘tiada tandas, tiada pengantin perempuan’. Logik bukan?
Ketakutan
Masalah kekurangan tandas sering dikaitkan dengan tahap kesihatan dan kebersihan yang rendah namun ramai yang tidak sedar bahawa ia turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes cabul dan perkosa di India.
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Sekolah Kebersihan dan Kesihatan Tropikal London, Britain, Shirley Lennon, wanita yang tidak mempunyai bekalan air dan tandas dalam rumah masing-masing terdedah kepada risiko gangguan dan keganasan seksual terutamanya ketika dalam perjalanan pergi atau balik dari menggunakan tandas awam.
“Kelemahan infrastruktur asas tersebut memaksa ramai wanita mandi dan membuang air besar secara terbuka.
“Tidak ramai wanita yang berani untuk mandi dan membuang air pada waktu siang kerana enggan menjadi tontonan umum.
“Kebanyakannya memilih untuk ke sungai pada waktu malam walaupun mereka sedar ada bahaya sedang menanti, sama ada diganggu atau diperkosa,” kata Lennon.
Pengakuan beberapa responden yang ditemu ramah jelas menunjukkan mereka sering dihantui perasaan takut dan bimbang berpanjangan apabila perlu ke sungai pada waktu malam.
“Di New Seemapuri, beberapa responden mengadu ada sekumpulan lelaki yang gemar menunjukkan aksi lucah, membuli dan mengancam untuk merogol mangsa sekiranya tidak mengikut kehendak mereka.
“Di Bhalswa dan Sunder Nagri pula ada beberapa kes perkosa melibatkan kanak-kanak perempuan berumur bawah 10 tahun yang dilaporkan.
“Di sana juga, ramai lelaki berkeliaran di sekitar tandas dan suka mengganggu wanita terutamanya yang datang bersendirian.
Mustahil
“Ada juga kes membabitkan lelaki menyorok di dalam tandas sambil menunggu kedatangan mangsa untuk diperkosa.
“Lebih menyedihkan, ada responden yang pernah dirogol dalam semak dan diancam bunuh sekiranya menjerit dan melaporkan jenayah tersebut kepada pihak polis,” jelas Lennon dalam kajiannya yang dibiayai Jabatan Pembangunan Antarabangsa (DFID) yang beribu pejabat di Britain.
Sementara itu, hasil kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Wanita dan Jagori ke atas wanita di penempatan setinggan pada tahun 2010 mendapati sebanyak 66 peratus wanita menerima gangguan seksual secara lisan, visual (46 peratus) manakala gangguan fizikal sebanyak 32 peratus.
Biarpun ekonomi India semakin teguh namun tidak semua penduduknya dapat menikmati kehidupan yang benar-benar berkualiti.
Hari demi hari, New Delhi yang berstatus ibu negara India semakin sesak dan padat dengan kebanjiran rakyat yang ingin mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Penempatan setinggan semakin banyak dibangunkan secara haram untuk menampung kepadatan penduduk hinggakan membina seunit tandas di dalam rumah menjadi perkara yang mustahil.
Menurut laporan Bancian India 2011, terdapat 37,400 penduduk yang tinggal bersesak-sesak di satu penempatan setinggan yang luasnya hanya satu kilometer persegi.
Dari segi perundangan, kerajaan India wajib membekalkan air dan memberikan perkhidmatan sanitasi sempurna kepada penduduk setinggan yang diiktiraf.
Bagaimanapun, bagi kawasan miskin dan setinggan haram, kerajaan tidak dituntut untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.
p/s ''India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh."
4 Ulasan
Kesian juga tgok keadaan mereka ni..
BalasPadamteruk betul tgk keadaan mereka...kesian..
BalasPadambila hasil keuntungan negara tak diagihkan dgn adil, inilah hasilnya. yg kaya semakin kaya, yg miskin semakin tertindas.
BalasPadamya allah untung kita tinggal kat mlaysia nie. alhamdulillah
BalasPadamjerit kat sini