Organ Millie dibelit rambut

Organ Millie dibelit rambut

Loading...

MILLIE gemar menggigit rambutnya sejak berumur tiga tahun.


BAGI kebanyakan budak perempuan, perbuatan mengunyah rambut adalah satu tabiat buruk yang tidak berbahaya.

Tetapi bagi seorang kanak-kanak di Britain, Millie Wallis yang berumur lima tahun, perbuatan itu hampir membunuhnya.

Akibat menelan terlalu banyak rambut, terhasil satu struktur yang berbentuk tali yang menyebabkan organ dalamannya terlilit dengan rambut. Ia dikenal pasti sebagai Sindrom Rapunzel.

"Doktor memberitahu kami dia terdedah kepada bahaya besar dan boleh mengundang kematian jika dibiarkan berlarutan," ujar ibu Millie, Wallis.

Wallis juga mengatakan anaknya itu memang gemar bermain dan menggigit rambut sendiri sejak berumur tiga tahun lagi namun tidak pernah menyangka dia akan menelannya sebanyak itu.

Pada Ogos tahun lalu, Millie mengadu sakit perut. Empat lawatan dan berada semalaman di hospital juga masih gagal untuk mengenal pasti punca masalah Millie. Selera makan dan berat badannya pula semakin menurun.

Pada bulan Januari, dia telah dibawa ke Hospital Alder Hey di Liverpool di mana satu imbasan dalaman dilakukan.

Hasilnya, mereka menemui satu objek di dalam perutnya.

Wallis dan suaminya, Stephen, 40, yang bekerja seorang tukang kayu menyangka ia sejenis tumor.

"Namun apabila doktor menjalankan pembedahan ke atas Millie, mereka mendapati ia adalah objek besar yang dililit rambut sehingga memberi kesan terhadap saluran penghadamannya," kata Wallis.

Doktor memberitahu pembedahan akan mengambil masa lebih kurang satu jam tetapi disebabkan helaian rambut tersangkut di sekeliling organ-organ Millie, mereka terpaksa melakukannya dalam tempoh enam jam.

Jika rambut itu mencederakan usus dan menyebabkan ia berlubang, Millie mungkin akan meninggal dunia.

"Ia perlukan kerja yang teliti. Dan mereka terpaksa membedah sistem penghadamannya supaya makanan boleh melalui kawasan usus yang rosak.

"Syukur kini Millie telah menjalani proses pemulihan yang baik. Malah dia telah berjanji untuk tidak menelan rambutnya lagi," kata Wallis.

Sindrom Rapunzel dinamakan bersempena cerita Brothers, kisah seorang gadis berambut panjang yang dikurung di sebuah menara sehingga diselamatkan oleh seorang putera kacak dengan menggunakan rambut gadis itu yang panjang.

Catat Ulasan

4 Ulasan

jerit kat sini