Pokok Penuh Misteri.Lihat!!

Pokok Penuh Misteri.Lihat!!

Loading...
Ukiran pokok misteri
UNIK... ukiran ikan raja udang ini dianggap hasil seni paling hebat.

PENDUDUK Knaresborough, Yorkshire Utara, baru-baru ini gempar apabila beberapa batang pokok di sekitar bandar berkenaan dihiasi ukiran misteri.

Ukiran cantik dan penuh teliti itu menjadikan sebahagian pokok di Knaresborough bertukar wajah menjadi pelbagai imej, termasuk naga, burung dan hantu.


Beberapa penduduk setempat percaya, sekumpulan artis ala Banksy yang enggan dikenali, ‘menyerang’ bandar berkenaan.

PELBAGAI... pengukir misteri turut menghasilkan imej menakutkan.

Banksy adalah nama samaran bagi seorang seniman dan aktivis politik yang berpangkalan di England dan giat melakukan pernyataan satira melalui grafiti.


Secara umum, penduduk Knaresborough kagum dengan ketelitian ukiran setinggi di antara tiga hingga tujuh meter itu.


Menurut mereka, walaupun mungkin dianggap merosakkan tanaman, sebenarnya kemunculan ukiran itu membolehkan Knaresborough menjadi destinasi tarikan pelancong.

Sesetengah mereka berpendapat, penduduk Knaresborough wajar berterima kasih kepada pengukir yang bertanggungjawab mengubah pokok biasa itu menjadi arca luar biasa.


Dengan kewujudan ukiran berkenaan, Knaresborough kini boleh berbangga kerana popularitinya sebaris dengan Gua Mother Shipton yang juga terletak di bandar berkenaan.

Sejak kemunculan arca itu dua bulan lalu, tiada sesiapa melihat pengukirnya meninggalkan sebarang kesan atau bayangan bagi membolehkan orang ramai mengetahui siapa melakukannya.


Pengerusi Persatuan Sivik Knaresborough, Althea Farmer berkata, seluruh bandar itu bercakap mengenai kemunculan ukiran di pokok berkenaan.
TARIKAN... antara ukiran luar biasa di Knaresborough.

“Seorang daripada ahli persatuan ini melihat secara dekat ukiran itu. Katanya, ukiran terbaik adalah imej burung raja udang yang terbang menjunam bersama ikan di mulutnya,” katanya.


Menyedari kehalusan ukiran berkenaan, Althea yakin penciptanya mengambil masa lama untuk menyiapkannya.


Setakat ini, kata Althea, tiada sesiapa tampil untuk mendedahkan maklumat pencipta ukiran berkenaan.

“Ia memang misteri walaupun kemunculan imej berkenaan memberi publisiti baik kepada bandar ini. Misteri ini juga mungkin menjadi satu lagi sumber tarikan pelancong ke Knaresborough,” katanya.


Sementara itu, persatuan berkenaan dilaporkan cuba mengesan seniman yang bertanggungjawab di sebalik kemunculan imej berkenaan.


Mereka juga menggesa seniman terbabit menghubungi persatuan itu untuk membolehkan misteri itu diselesaikan.


Althea berkata, mereka memang berminat mengetahui identiti seniman berkenaan.


Katanya, hakikat tiada sesiapa tahu mengenainya menjadikan misteri Knaresborough itu seperti teka-teki lukisan Banksy.
“Bagaimanapun, mereka sangat berbakat dan kami memang berharap seniman terbabit tampil,” katanya.

p/s  aneh namun cantik dan penuh seni

Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini