Myn Owh Myn.....Myn Murtad!!Salah Siapa?

Myn Owh Myn.....Myn Murtad!!Salah Siapa?

Loading...
                                        Myn murtad gara-gara konflik keluarga

Myn menceritakan pengalamannya yang pernah murtad gara-gara termakan pujukan pelancong asing yang ditemuinya dalam kereta api.



"MEREKA berada di mana-mana dan segala pergerakan dilakukan secara senyap dan teratur." Itulah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut Myn (bukan nama sebenar) sebaik sahaja penulis menemuinya untuk bertanyakan kisahnya yang dikatakan telah murtad satu ketika dahulu.

Walaupun pada mulanya Myn agak keberatan untuk ditemui apatah lagi menceritakan kisahnya, tetapi setelah dipujuk dan diberitahu ceritanya untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain, akhirnya dia bersetuju.

Bagi Myn, walaupun kisahnya berlaku kira-kira 30 tahun lalu, ia masih segar di ingatan. Apatah lagi hari ini isu murtad sering terpapar di dada-dada akhbar.

Katanya lagi, dirinya amat bernasib baik dan mungkin juga tuhan masih menyanyanginya kerana walaupun telah 'bergelen-gelen' meminum air suci agama lain, dia masih lagi tahu mengucap dua kalimah syahadah.

Apa yang memeranjatkan, Myn juga telah menjalani upacara baptis (ritual pemurnian dengan menggunakan air yang melambangkan pembersihan dosa) sebanyak tiga kali.

Namun, ia masih gagal untuk Myn melupakn Allah SWT

"Terus terang saja katakan, saya telah dibaptiskan sebanyak tiga kali. Kemuncaknya mereka membawa saya ke laut, kononnya untuk membuang segala dosa-dosa lalu.

"Pasal air suci pula usah cakaplah, tidak terkira banyaknya. Tetapi alhamdulillah, saya masih lagi ingat tuhan. Tahu lagi sembahyang dan yang paling penting, saya masih lagi tahu mengucapkan dua kalimah syahadah.

"Apa yang paling mengagumkan tentang gerakan mereka. Mereka tidak pernah memaksa malah mengikut telunjuk kita sehinggalah kita benar-benar terpedaya dan akan ikut mereka secara sukarela," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai kisahnya, jelas Myn, segala-galanya bermula sejak dia masih kecil.

Ini kerana dalam keluarga, dia seolah-olah jadi 'kambing hitam' di mana boleh dikatakan semua kesalahan serta tanggungjawab terletak di bahunya.

Dia juga merupakan antara anak yang tidak disukai kedua ibu bapanya dan di mata mereka pasti ada saja yang tidak kena dengan setiap pergerakan mahupun perbuatannya.

Sebaik sahaja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengambil keputusan untuk bekerja sementara.

Apabila keputusan peperiksaan keluar, Myn mendapat kejayaan cemerlang sehingga ditawarkan belajar di dalam dan luar negara.

Malangnya, semua itu hanya tinggal cita-cita kerana dia dihalang sekeras-kerasnya oleh ibu dan bapanya.

Akhirnya berbekalkan sijil SPM dia hanya berupaya bekerja di sebuah kilang di ibu kota dan secara tidak langsung hubungannya bersama kedua ibu bapa serta adik beradik yang lain turut menjadi renggang.

Dijadikan cerita, suatu hari ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gemas dengan kereta api untuk bercuti, Myn telah dihampiri sekumpulan anak muda (pelancong luar negara).

Mulanya Myn sangkakan mereka sekadar ingin berbual-bual dan mencari teman sepanjang perjalanan. Tetapi jangkaan itu meleset kerana bermula daripada situ mereka mula berhubung antara satu sama lain.

Kumpulan tersebut secara perlahan-lahan cuba menarik Myn menganut agama mereka.

Bermula dengan bercerita mengenai agama mereka disusuli dengan pemberian Bible, akhirnya Myn dibaptiskan.

Kata Myn lagi, segala-galanya berjalan dengan lancar hinggakan dia sendiri tidak sedar.

"Bayangkan, mereka hanya bermula dengan bercerita mengenai agama mereka kepada saya. Akhirnya mereka berjaya membawa saya masuk ke gereja.

"Segala bacaan dan nyanyian turut diajar sehinggalah saya hafal. Mereka juga tidak ketinggalan mengajar saya doa-doa mereka.

"Saya turut membaca keseluruhan Bible yang diberikan dan pendapat saya, segala keterangan di dalamnya bukan sahaja mudah difahami tetapi bahasa serta ayat yang digunakan amat puitis dan indah," katanya lagi.

Berbicara lanjut, Myn memberitahu, ketika dia melarikan diri dari rumah untuk bekerja di utara tanah air, golongan itulah yang banyak membantunya.

Tambahnya lagi, dia dibantu dari semua aspek termasuk tempat tinggal dan juga kewangan.

Malah Myn memberitahu, soal duit mereka tidak pernah berkira. Malah selama dirinya berada dalam kumpulan tersebut, boleh dikatakan dia mewah dengan duit yang diberikan saban hari.

Tidak hanya setakat itu, Myn juga pernah tinggal di gereja dengan alasan rumah sewa yang dicari belum ditemui.

Pada dasarnya, ujar Myn, dia sebenarnya 'disorok' daripada keluarganya yang ketika itu turut mencarinya.

Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah, menurut Myn, pergerakan mereka bukan hanya di sekitar Lembah Klang ataupun mana-mana negeri tetapi ia boleh dikatakan di seluruh dunia.

"Anda bayangkan, saya berjumpa mereka dalam kereta api dan mereka bukan sahaja terdiri daripada sejenis kaum tetapi pelbagai.

"Saya juga ada ketikanya dibawa ke Singapura untuk berjumpa dengan rakan-rakan lain (mereka yang telah dimurtadkan).

"Yang paling mengagumkan, mereka ini berada di mana-mana sahaja. Sehingga hari ini saya dapat mengecam mereka (mubaligh) sekiranya terserempak," bicaranya lagi.

Sepanjang berada di dalam kumpulan tersebut, Myn memberitahu, hatinya tidak tenang malah sering menangis kerana memikirkan dia sememangnya telah melakukan dosa besar.

Alhamdulillah, Myn akhirnya berjaya dikesan oleh keluarganya seterusnya dibawa pulang semula ke Kuala Lumpur dan dibawa berjumpa dengan ustaz untuk 'memulihkan' semula dirinya.

Jelas Myn, walaupun sejak kecil dia tidak dibekalkan dengan ilmu agama yang kuat, tetapi dia amat bersyukur kerana masih diizinkan tuhan untuk kembali semula menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Dia juga telah diajar melakukan solat taubat selain 'diterima' semula dalam keluarganya.

Begitu pun, jelas Myn, pergerakan tersebut masih lagi 'berkeliaran' di serata tempat dan dia meminta terutama sekali kepada golongan remaja agar berhati-hati dan tidak terjerat dengan perangkap kumpulan yang mahu memurtadkan umat Islam.

"Saya amat berharap agar golongan muda hari ini tidak mengikut sangat kata hati dan mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya yang dibawa masuk.

"Apa yang dilakukan oleh kedua orang tua kita ada sebabnya yang tersendiri dan mereka sememangnya menyayangi kita.

"Jadilah anak yang mendengar kata kerana saya pernah berjumpa dengan seorang rakan di Singapura, anak seorang imam yang begitu berazam dan bercita-cita ingin membawa ayahnya menganut agama Kristian," katanya mengakhiri bicara.

Catat Ulasan

0 Ulasan