Loading...
Selepas hari raya, Mummy memang sibuk. Siang sibuk di pejabat dan malam pula sibuk dengan aktiviti sendiri. Menjenguk anak yang seorang pun kekadang terlepas. Nasib juga minggu lepas kita dapat cuti tiga hari dan tiga hari itulah Mummy cuba bersamanya biar pun bukan sepanjang hari.
Dalam kesibukan itu juga, Mummy dipanggil pula untuk menjadi saksi dalam satu kes seleberiti kita. Kita sekadar menurut perintah demi untuk menyelesaikan masalah. Mummy harap kes ini tidak terus berpanjangan dan berakhir dengan segera.
Minggu lepas Mummy sempat bertandang ke KRU Studios di Cyberjaya bersama lebih kurang 20 orang kawan-kawan bahagian grafik daripada Grup Buku Karangkraf. Tujuannya untuk bertukar-tukar fikiran dan juga menimba sedikit sebanyak ilmu daripada KRU.
Biar pun Norman dan Edry tidak sempat bersama kami tetapi Yusry (Duda Malaya) sempat melayani kami selama lebih kurang dua jam di sana. Biarpun hampir sejam berputar-putar mencari KRU Studios tetapi semuanya berpuas hati.
Bukan kerana dapat bergambar dengan Yusry tetapi kesudian berkongsi ilmu oleh Yusry di atas kejayaan dalam filem-filemnya seperti Cicak Man dan lain-lain. Begitu juga dengan ilmu-ilmu IT yang diketahui umum memang menjadi kepakaran Yusry.
Sebenarnya, sudah beberapa tahun juga Mummy tidak berjumpa dengan Yusry. Kami sekadar berinteraksi di twitter atau telefon sahaja. Sebenarnya, amat payah untuk berjumpa atau pun berbual dengan Yusry. Kesibukannya daripada dulu hingga kini tidak banyak berubah dan pertemuan ini pun telah di buat sejak lebih daripada lima bulan lalu.
Daripada pengalaman Mummy, jika telefon hari ini belum pasti dia akan membalas panggilan kita dalam waktu terdekat. Dan jika sms atau pun panggilan kita dibalas dengan segera, Mummy tahu yang dia tengah `free’ waktu itu.
Mummy mengenali tiga beradik KRU ini sejak album pertama lagi. Tetapi hubungan kami mula rapat sejak album kedua mereka berada di pasaran dan pertama kali dapat menggandingkan Norman dengan seorang selebriti (dah lupa siapa) di dalam hutan untuk menjadi penghias muka depan Media Hiburan waktu itu.
Sejak itu, Mummy rasakan tiga jejaka kacak ini memang berpotensi besar dan sentiasa memberi publisiti kepada aktiviti mereka. Daripada pejabat kecil di rumah kemudian ke Taman Melawati dan terus ke Jalan Jelatek, Setiawangsa hinggalah kini sudah mempunyai ibu pejabat di Cyberjaya, seharusnya sebagai seorang kakak, kawan dan wartawan Mummy berasa amat bangga.
“Kami bukan tak mahu sambung belajar kak, tapi kami mahu membuktikan bahawa dengan usaha dan pengalaman yang kami kutip nanti, kami juga akan berjaya,” itulah kata-kata semangat yang disimpan oleh Norman sebagai abang Long dan ketua kepada tiga beradik ini diawal kemunculan mereka dahulu.
Sebenarnya, mereka bukan tidak mampu menyambung pelajaran dan juga bukan tidak pandai untuk diterima oleh mana-mana universiti tetapi tiga beradik ini cuba menimba pengalaman dan menjadikan pengalaman sebagai pelajaran untuk mereka berjaya. Kini telah terbukti segalanya.
Hubungan Mummy dan Yusry bertambah rapat bila Yusry sering menjadi penghias muka depan Media Hiburan. Yusry akui, dia tidak banyak kawan tambahan lagi bila pulang dari London terus menubuhkan KRU. Kehidupannya lebih kepada Edry, Norman dan keluarganya di rumah. Tambahan lagi, Yusry adalah antara lelaki yang pendiam dan tidak banyak berbicara kalau kita tidak memulakannya dulu.
Bila KRU semakin berkembang, Yusry lebih banyak menumpukan perhatian di studionya sendiri (di belakang rumahnya di Keramat ketika itu). Tidak dinafikan, Mummy sering bertanyakan soalan cepu emas kepada Yusry ketika itu, ”sudah ada kekasih ke belum?” (maklumlah skop untuk Media Hiburan)
Dia pasti menjawab, “Carikanlah Kak..”
Hinggakan apabila Mummy bertanya dengan Mummynya (ibu Yusry) sendiri pun dia tidak tahu siapakah kekasih anaknya. Bahkan, dia suruh pula Mummy risik-risik dengan Yusry sendiri. Begitulah pendiamnya Yusry hinggakan banyak perkara dia lebih suka simpan sendiri.
Sepanjang mengenali Yusry juga, dia seorang yang kuat bekerja. Ketika membuat filem `Cicak Man’ dia tak tahu… hari siang atau pun malam. Berbulan-bulan juga kehidupannya hanya di dalam studio untuk menyiapkan CGI filem tersebut.
“Yus…you kena beri masa dan tumpuan juga kepada diri sendiri tau… Sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk diri sendiri. Kita bukan semakin muda dan akak rasa, you juga kena ada keluarga sendiri,”pernah satu ketika dulu, Mummy menasihatinya kerana saban waktu ada sahaja kerja hinggakan Edry dan Norman hendak bertemu dengannya juga susah.
Yusry akui, biar pun ada masanya dia pergi bercuti tetapi kalau ada komputer di depan mata, cuti pasti tinggal cuti sahaja. Dan kerana itulah, kalau dia bercuti dia tidak membawa `segala’nya dan baharulah dia mendapat kepuasan percutian yang sebenar. Itu pengakuan daripada Yusry sendiri. Tetapi Yusry bukanlah terlalu perahsia orangnya, jika sudah percaya dan saling mengenali, dia mudah bercerita dan meluahkan apa sahaja.
Mungkin jodoh tak panjang, selepas beberapa tahun berkahwin, perkahwinan pertamanya gagal. Bila kembali solo, Mummy tengokYusry semakin sibuk tambahan lagi dia semakin maju setapak lagi dengan menjadi pengarah filem dan dialah antara pengarah pertama yang menerbitkan filem menggunakan CGI.
Mungkin ramai tak tahu… air mata ini pernah tumpah kerana Yusry. Tetapi tak perlu diceritakan kerana seperti yang Mummy katakan, yang rahsia tetap rahsia. Yang pasti Yusry dan KRU sudah berada di kemuncak. Bukan sahaja sudah berjaya dalam kerjaya tetapi sudah ada buah hati.
Biarpun kisah cintanya dengan Lisa Surhaini sudah tidak ada rahsia lagi, tidak semua peminat yang suka. Bagi Mummy, pasangan ini cukup sepadan sekali dan kini biarlah jodoh dan pertemuan mereka ditentukan oleh Allah dan kerana itulah pasangan ini tidak mahu lagi bercerita tentang perkahwinan.
Untuk peminat Yusry dan Lisa, tunggukan sahaja. Ada jodoh tidak ke mana. Terima kasih sekali lagi kepada Yusry dan tahniah KRU dengan pencapaian hebat selama ini.
P/s penulis adalah intan Zubaidah,beliau adalah mantan Editor MH dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih daripada dua dekad.
1 Ulasan
Kakak bayangkan kalay Yusry jodohnya dgn Lisa Surihani mesti anak-anaknya cmel macam Lia Miasara hihi... comel
BalasPadamjerit kat sini