Nasib malang Baby 81

Nasib malang Baby 81

Loading...
Ramai yang menjangka Abilash Jeyaraj yang meraih populariti kerana terselamat daripada badai tsunami secara ‘ajaib’ akan membawa kekayaan kepada keluarganya, namun ia sebaliknya.
ABHILASH Jeyaraj sempat menonton televisyen di rumahnya sebelum ke sekolah.

TSUNAMI yang membadai Lautan Hindi pada tahun 2004 telah menyebabkan seorang bayi, Baby 81 meraih populariti antarabangsa. Tetapi, ibu bapa kepada bayi yang secara 'ajaib' terselamat daripada badai ombak itu berkata dia kini hanya membawa nasib malang.

Ditemui dalam debu yang ditinggalkan oleh ombak yang membinasakan pantai Sri Lanka dan membunuh 226,000 orang sepanjang pesisir Lautan Hindi, Abhilash Jeyaraj menjadi fenomena selepas media antarabangsa melaporkan sembilan ibu bapa telah tampil mendakwa Jeyaraj ialah anak mereka.

Kanak-kanak berusia dua bulan itu kemudian dibawa ke hospital oleh seorang penduduk kampung yang menemuinya. Memandangkan bayi itu tidak mempunyai sebarang pengenalan, dia dinamakan sempena angka kemasukannya ke hospital: Baby 81.

Selepas ibu bapanya yang tercedera di sebuah hospital lain keluar dua hari kemudian, lalu menuntutnya, ia hangat dilaporkan media. Kedua-dua ibu bapa Abhilash berjumpa polis dan tampil ke mahkamah untuk mendapatkan anak mereka semula.

Kisah mereka juga menjadi hangat apabila ditangkap kerana cuba 'menceroboh' hospital untuk mendapatkan anak mereka semula. Bagaimanapun mereka berjaya membawanya ke rumah selepas bapanya menyediakan sampel asid deoksiribonukleik (DNA). Ia berlaku kira-kira enam minggu selepas tsunami.

Filem Baby 81

Rentetan itu, perkara sebenar terbongkar dan sungguh mengejutkan apabila tidak ada pasangan lain yang mendakwa itu anak mereka pada masa itu.

Sebuah krew televisyen (TV) memfilemkan Baby 81 dan mendapat perhatian di kalangan akhbar antarabangsa. Sama ada ia kerana kesilapan terjemahan atau salah faham yang tidak diketahui, sembilan wanita kemudiannya dilaporkan kecewa kerana mendakwa itu anak mereka.

Bagi bapa Abhilash, Muruhappillai Jeyaraj, media yang tidak henti-henti mensensasikannya telah membawa kepada terlalu banyak salah faham. Ia sekali gus menjadikan pengalamannya itu hampir lebih buruk daripada tsunami sendiri.

"Saya harap kami semua mati dalam tsunami," katanya sambil memegang Abhilash, 5, di ribaannya. "Saya tidak mahu bercerita tentang perkara ini lagi dan lagi. Tidak ada siapa yang percaya bahawa hidup kami tidak berubah."

ABHILASH Jeyaraj pada umur satu tahun dimandikan oleh ibunya. Kanan: Jeyaraj bersama ibunya Jenita Jeyaraj sebelum dihantar ke sekolah.

Abhilash dan keluarganya telah diterbangkan ke Amerika Syarikat (AS) untuk lawatan selama 13 hari dengan satu temu bual bersama Good Morning America di NBC tidak lama selepas tsunami. Mereka tidak pernah dibayar untuk penampilan itu, tegas Jeyaraj.

Band rock AS Black Rebel Motorcycle Club menjudulkan album 2007 mereka, album Baby 81 dan dijual sebanyak 14,000 salinan dalam minggu pertama.

Mendapat perhatian media

Apa yang sepatutnya membawa kebaikan, hanya membawa keburukan, kata Jeyaraj yang bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut.

"Abhilash cuma dipergunakan media, hanya untuk mendapatkan gambar atau visualnya serta memberikannya publisiti. Tetapi, publisiti itu tidak bermakna bagi dia atau kami," kata Jeyaraj.

Orang menjangka kanak-kanak itu akan menjadi kaya akibat publisiti dan mula disimbahi wang. Jeyaraj tidak mendapat bantuan tempatan kerana badan kebajikan percaya dia dibayar untuk lawatan ke New York. Keluarga mereka telah berpindah dari kampung mereka di Kalmunai ke bandar Batticaloa di pantai timur Sri Lanka.

Tidak seperti mangsa tsunami yang terselamat yang diberikan rumah oleh kerajaan, Abhilash dan keluarganya tinggal dalam rumah mempunyai dua bilik separa siap di atas tanah milik ibu saudaranya.

MURUHAPPILAI tidak selesa dengan publisiti secara besar-besaran daripada media mengenai anaknya.

Kepada kanak-kanak lelaki itu sendiri, dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku kepadanya atau mengapa media asyik pergi kepadanya setiap kali ulang tahun tsunami.

Walaupun terdapat tanda-tanda kemusnahan tsunami yang boleh dilihat pada komuniti pesisir pantai, sesetengah mangsa yang terselamat masih perlu menyesuaikan diri dengan peristiwa kehilangan ahli keluarga, guru-guru dan kawan-kawan kerana tsunami.

Bilangan korban wanita yang tinggi, membuatkan pemuda-pemuda bujang kampung bergelut mengendalikan hal-hal rumah. Ibu-ibu yang berasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkan nyawa anak-anak mereka bertarung dengan depresi.

Nelayan-nelayan berpaling daripada melihat laut lagi. Untuk setiap cerita ada kepahitan dan kekecewaan. - Reuters

Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini