Rambut daripada makhluk yeti?

Rambut daripada makhluk yeti?

Loading...
LAKARAN artis yang menunjukkan bentuk tubuh badan Yeti.

SEKUMPULAN saintis menggunakan mikroskop untuk menganalisis sehelai rambut yang ditemui di kawasan berbatu di hutan dekat sempadan India-Bangladesh.
Ujian itu menunjukkan rambut yang tebal dan seperti dawai bukannya milik haiwan liar yang tinggal di kawasan tersebut.

Sebaliknya, mereka mendapati rambut itu terdapat persamaan dengan rambut yang dikumpulkan oleh penakluk Gunung Everest, Sir Edmund Hillary setengah abad lalu.

Penemuan itu dianggap satu perkembangan baru dalam usaha mengesan haiwan besar, berbulu lebat dan dikenali dengan nama Yeti.

Seorang penyelidik, Ian Redmond berkata: "Rambut itu merupakan bukti paling positif bahawa haiwan Yeti kemungkinan wujud.

"Ia mungkin menunjukkan bahawa rantau itu merupakan tempat tinggal haiwan itu yang terpencil dan menjadikannya tidak dapat ditemui sehingga kini.

"Kami amat teruja."

Ujian itu menunjukkan bahawa rambut yang tebal dan berpintal-pintal itu bukannya milik kebanyakan haiwan liar yang diketahui tinggal di kawasan berkenaan.

Pakar primat yang berumur 54 tahun itu menyatakan bahawa rakan-rakannya dari Universiti Oxford Brookes memutuskan menolak kemungkinan rambut itu berasal dari haiwan yang dikenali di kawasan berkenaan seperti beruang hitam, monyet, anjing dan babi liar.

"Rambut itu lengkap dengan kulit ari dan panjang antara 3.3 sentimeter dan 4.4 sentimeter, tebal, berpintal dan seperti wayar," katanya.

"Bagaimanapun, ia mempunyai persamaan dengan rambut yang dibawa balik oleh Hillary," tambahnya.

Ujian DNA mungkin mampu untuk membantu menyelesaikan misteri yeti.
GAMBAR ini menunjukkan tapak kaki besar yang menjadi misteri kawasan pergunungan bersalji antara Nepal dan Tibet pada 1951.

Redmond berkata: "Jika DNA tidak dapat untuk mengenal pasti identiti makhluk itu, ia sepatutnya boleh mengenal pasti apa yang mempunyai kaitan dengannya.

"Ia mungkin dengan mudah diketahui bahawa rambut itu milik primat yang tidak diketahui walaupun bukan yeti," jelasnya.

Namun, beliau mengakui penemuan yang menggembirakan itu mungkin diselubungi dengan ketakutan.

"Kebimbangan saya adalah jika kami menemui sesuatu yang luar biasa, ia mungkin dari populasi kecil haiwan dan saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan India bagi membolehkannya tidak 'melambakkan' orang yang mahu menangkapnya untuk dipamerkan di muzium," katanya.

Rambut itu ditemui di kawasan berbukit kecil di Garo Barat di negeri Meghalaya, India.

Pada 2003, terdapat seorang lelaki mendakwa melihat yeti selama tiga hari berturut-turut.

Gambaran pertama mengenai yeti dibuat pada 1889 oleh seorang penjelajah Britain, Mejar LA Waddell.

Sekumpulan saintis dan pendaki yang disokong oleh 200 Sherpa menjelajah kawasan pergunungan Himalaya selama berbulan-bulan pada 1954.

Mereka gagal mengesan yeti tetapi menemui tapak kaki yang tidak dikenali.

- Agensi

Catat Ulasan

1 Ulasan

jerit kat sini