Perkahwinan kanak-kanak 11 tahun tak sah!!

Perkahwinan kanak-kanak 11 tahun tak sah!!

Loading...
Perkahwinan kanak-kanak 11 tahun tak sah!!

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini tidak sah dari segi undang-undang dan kerajaan akan mengambil langkah untuk membela hak kanak-kanak tersebut.

Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, beliau memandang serius kes tersebut kerana wali kanak-kanak tersebut tidak mendapat kelulusan mahkamah untuk mengahwinkan anaknya dengan lelaki lebih tua.

“Dari segi undang-undang, perkahwinan ini adalah tidak sah kerana mendapat kelulusan mahkamah untuk bapanya mewalikan anaknya menjadi isteri kepada orang lebih tua daripadanya kerana dia bawah umur 11 tahun.

“Ini bukan warga Malaysia tapi kita mesti mengambil tindakan kerana semua kanak-kanak perlu dibela hak mereka… itu penting,” kata beliau semasa sidang media selepas menghadiri majlis sambutan hari raya bersama 2,000 anak yatim di Stadium Mini Setiawangsa hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, kementeriannya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberi bantuan kepada keluarga kanak-kanak tersebut memandangkan faktor kedaifan mungkin menjadi punca mereka terpaksa menerima lamaran lelaki tersebut yang juga merupakan majikan kepada bapa kanak-kanak tersebut.

“Pada Isnin ini, saya akan berjumpa dengan JKM bawah kementerian saya akan mengambil tanggungjawab memberi perlindungan kepada kanak-kanak tersebut.

“Kita mengambil maklum keadaan keluarga kanak-kanak tersebut yang hidup dalam kemiskinan… lelaki tersebut juga merupakan majikan kepada bapa kanak-kanak itu,” katanya.

Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun yang tersebar di media sosial sejak Jumaat telah mengundang reaksi banyak pihak.

Cerita mereka menjadi tumpuan meluas setelah isteri kedua lelaki itu, 34, memuat naik gambar perkahwinan madunya yang tersebar.

Difahamkan, suaminya bernikah dengan kanak-kanak itu di Thailand, pada 4 Syawal lalu.
Suaminya berkata, mereka hanya akan tinggal bersama lima tahun lagi.

Mengakui menyayangi lelaki 41 tahun itu, gadis sunti berkenaan enggan diceraikan walau dipertikai meluas selepas dikahwini 18 Jun lalu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius kes perkahwinan bawah umur melibatkan budak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan, yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu berkata, siasatan awal mendapati pendaftaran perkahwinan itu merupakan perkahwinan yang dimohon oleh pasangan dan anggota keluarga tanpa unsur paksaan dan dibuat secara sukarela.

Catat Ulasan

0 Ulasan