Breaking News

Kisah Individu Tarik Beg Berisi Mayat di Sungai Gombak

Loading...
loading...
Kisah Individu Tarik Beg Berisi Mayat di Sungai Gombak

Polis mengenal pasti seorang individu yang disyaki terbabit dengan kes mayat wanita yang dikerat enam dan ditemukan dalam dua beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata suspek berkenaan dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi berkenaan.
"Berdasarkan rakaman CCTV, seorang individu dilihat menarik beg pakaian berkenaan sebelum dibuang di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata pihaknya kini giat mengesan suspek terbabit berdasarkan rakaman CCTV di lokasi berhampiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
Katanya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim akan mengadakan sidang media berhubung siasatan kes berkenaan, Isnin ini.
Kira-kira 11.30 pagi semalam, mangsa berusia dalam lingkungan 30 ke 40 tahun dipercayai beragama Islam dan bukan warganegara Malaysia serta disyaki dibunuh itu ditemui seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran.
Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian yang mencurigakan.
Susulan laporan itu, polis menemukan anggota manusia yang dibungkus dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian pada jarak berasingan lebih kira-kira 20.6m.
Sementara itu, Shaharuddin berkata satu perhimpunan anjuran NGO Civil & Human Right Movement Malaysia (Charm) dan Pemantau Malaysia Baru berkaitan pembekuan akaun milik keluarga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah kompleks beli belah terkenal di Kuala Lumpur malam ini, tidak mendapat kebenaran polis.
"Bagaimanapun, polis sedang memantau keadaan di sekitar perhimpunan itu dan berharap ia berjalan dengan aman," katanya.
Shaharuddin berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan sekiranya mereka menimbulkan kekacauan dan sebarang kesalahan sepanjang perhimpunan itu.
Tinjauan Bernama di sekitar Kompleks Sogo mendapati kira-kira 50 peserta menyertai perhimpunan tersebut sejak pukul 9 malam.
Bernama

Tiada ulasan

jerit kat sini